Tiada Rugi dalam Memimpin yang Lain

Orang lain sangat risau apabila saya menganggotai Jawatankuasa Perwakilan, Kolej Abu Bakar (Petaling Jaya), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Jikalau kalian risau, saya berkali-kali lebih risau kerana yang menanggungnya saya, bukannya kalian. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Tetapi, setelah satu semester menganggotainya, saya tidak rasa rugi apa-apa bahkan merasa untung sebenarnya.

Kerja-kerja kepimpinan banyak membantu saya dalam mengembangkan prestasi akademik. Saya dalam jawatankuasa tersebut memegang peranan sebagai Penolong Setiausaha. (Sebenarnya saya Setiausaha 2 - nama rasminya Naib Setiausaha - sebab peranan kesetiausahaan dijalankan fungsinya oleh Setiausaha dan penolongnya.) Kerja kesetiausahaan banyak membantu saya dalam memperbaiki mutu penulisan, mutu komunikasi dan mutu gaya bahasa. Sebagai seorang ahli bahasa dan sastera, penambahbaikan amatlah saya perlukan dalam melestarikan bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa juga bahasa agama.

Kerja-kerja kepimpinan juga membuatkan saya mendapat sesuatu setelah memberi sesuatu. Adat memimpin untuk memberi. Setiap pemimpin harus memberikan sesuatu kepada setiap yang dipimpinnya. Itulah nilai tanggungjawab. Rasulullah SAW pernah bersabda, [كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته] "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab atas pimpinannya." Tetapi, harus diingat; memimpin hendaklah membawa bersama sifat ikhlas, iaitu tidak mengharap balasan daripada yang lain dan hanya mengharap balasan Allah SWT semata-mata atas sebarang kebaikan yang telah kita kerjakan.

Apabila kita membantu orang, Allah SWT akan membantu kita semula; orang pun akan membantu kita semula tanpa perlu kita memintanya. Lebih bermakna lagi, apabila kita membantu Allah SWT, Allah SWT akan membantu kita semula. Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad, [إن تنصروا الله لينصركم ويثبت أقدامكم] "Jika kamu tolong Allah, Allah akan tolong kamu dan Allah akan tetapkan langkahmu." Inilah antara yang disebut dalam amalan kepimpinan. Dalam kepimpinan, konsep tolong-menolong adalah satu keperluan sepertimana firman Allah SWT, [وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان] "...dan tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan..."

Sekadar perkongsian. Dalam Semester 1, 2012/2013, Alhamdulillah, saya sudah mencapai pengecualian dalam subjek Bahasa Inggeris (subjek kod LEM) dan mencapai Tahap 6 dalam subjek Bahasa Arab (Kod: LQM 0616). Nilai Gred Purata (NGP) pada semester tersebut adalah 3.67 setelah mengambil kira bahawa hanya satu subjek wajib universiti diambil pada semester tersebut (Tema Asas al-Quran) (Kod: FIM 1233). Tahniah kepada semua yang mencapai NGP (Bahasa Inggeris: GPA) lebih baik daripada saya. Ada yang mendapat NGP 4.00 sekaligus mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK/CGPA) 4.00.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan saya di sini. Pun begitu, saya sedar bahawa perjalanan masih panjang. Jikalau tiada halangan, saya akan melanjutkan pengajian ke kursus Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan (Bahasa Arab dan Kesusasteraan) bermula pada Februari 2014, InsyaAllah. Doa kalian saya pohonkan, semoga Allah mempermudahkan langkah diri ini.

Nilai yang saya ingin sampaikan di sini adalah setiap kebaikan tetap dihitung dan dibalas oleh Allah SWT. Semua yang membantu tetap akan dibantu. Kepimpinan membantu dalam peningkatan akademik seorang mahasiswa universiti. Itupun bergantung kepada carakerja seseorang mahasiswa universiti.

Comments