Friday, 2 November 2012

Tahniah, Bicara Berirama SMKAKK!

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Pasukan Bicara Berirama SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) kerana menjuarai Pertandingan Bicara Berirama Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2012 yang telah dilangsungkan pada 27-30 Oktober 2012 di Melaka.

Sebagai seorang alumni SMKAKK, saya amat gembira mendengarkan kejayaan ini setelah pelbagai dugaan dan cabaran mereka tempuhi dengan tabah dan sabarnya. Dugaan itu mereka lebih fahami daripada kita yang mendengarnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Mereka nyaris tersingkir daripada pertandingan tersebut berikutan kekangan kewangan yang dihadapi oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPN Sabah) yang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan segala kemudahan dalam menyertai aktiviti kokurikulum peringkat kebangsaan.

Kata Pak Haji Samin, "Sabar, mendaki memang payah kerana puncak itu indah."

Namun begitu, suara hati mereka didengar. Ada budiman yang sudi menjadi dermawan. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj. Aman turut bertanggungjawab atas masalah ini dan membantu mereka sebaiknya. Kerajaan Negeri Sabah yang baru meluluskan Belanjawan Negeri Sabah 2013 sudi mengeluarkan waran berpuluh ribu ringgit kepada pasukan tersebut dengan harapan agar mereka memanfaatkan pertandingan itu sebaiknya. Dalam erti kata lain, mereka buat yang terbaik untuk SMKAKK dan Sabah.

Namun, kini, segalanya berubah. Kejuaraan itu adalah durian runtuh bagi SMKAKK. Berita gembira bagi Wisma Innoprise, Dewan Undangan Negeri dan seluruh wilayah Sabah.

Jikalau SMKA Tun Ahmadshah (SMKA TUNAS) berjaya mencipta nama di astaka Malaysia dalam Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket (PTPR), SMKAKK juga sama dalam Pertandingan Bicara Berirama Sekolah-sekolah Menengah.

SMKAKK menutup kalendar persekolahan 2012 tahun ini dengan berita yang sangat gembira. Alhamdulillah. Terima kasih, Allah, atas kejayaan ini.

Tahniah juga kepada Irfan Elahee. Beliau dipilih sebagai Konduktor Kumpulan Terbaik dalam pertandingan tersebut.

Harapan saya, semoga kejayaan ini diteladani dan dicontohi semua. Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Pengorbanan pula perlu diteladani. Saya rasa inilah hadiah bermakna di bulan Zulhijjah meski Hari Raya Aidiladha dan 3 Hari Tasyrik sudah berlalu.

Sebagai mahasiswa universiti, saya terdorong atas kejayaan mereka. You all inspire me.

Tahniah, sekali lagi.

7 comments:

  1. tahniah. Saya menonton persembahan mantap pasukan Sabah. Menghiburkan. Sabah layak menjadi juara.Pasukan kami turut bertanding. Kalau masalah Sabah ada orang yang baik budi membantu tapi masalah kami, kami tangani sendiri. Kami datang bertanding dengan tangan kosong. Tiada bantuan kewangan mahupun khidmat nasihat pakar. Guru dan murid keluar belanja sendiri untuk persiapkan pasukan termasuk beli baju 'T' pasukan biar nampak seragam. Kami cuba jaga imej jabatan walaupun JPN negeri tak jaga kebajikan kami yang datang atas tiket negeri. kalah memang sedih tetapi kami belajar menjadi manusia yang tabah.kami menyaksikan kehebatan pasukan sabah dan kami belajar banyak perkara. tahniah sekali lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya merasa simpati atas masalah yang dihadapi pihak puan dan pasukan puan. Saya fikir JPN kami sahaja yang menghadapi masalah sebegini. Rupanya JPN lain juga begitu. Semua yang mereka terima adalah atas izin dan rahmat Allah jua. Semua yang mereka dan kalian hadapi adalah kehendak Allah jua. Pun begitu, syukur, Alhamdulillah. Pasukan puan dapat jua menyertai pertandingan sedemikian. Itu pun kemenangan sebenarnya sebab saya di UIAM sendiri tahu, bukannya mudah seseorang mahupun sekumpulan dapat menyertai aktiviti peringkat kebangsaan. Tahniah, puan, dan pasukan puan dari saya di UIAM Kampus Petaling Jaya.

      Delete
  2. Tahniah Sabah!!! Saya juga menonton persembahan. Sangat memukau hati saya sehingga terleka, apatah lagi watak Syahid dan lagu Gunung Kinabalu dlm persembahan tersebut. Tahniah again kepada SMKA Kota Kinabalu...

    ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebagai bekas pelajar SMKAKK, saya bersyukur dan gembira mendengarkan berita kejayaan tersebut. Bagi pihak SMKAKK, terima kasih, adik, atas ucapan tersebut. Saya yang melihat melalui YouTube pun kagum dengan persembahan adik-adik junior saya.

      Lagu Sayang Kinabalu adalah antara identiti negeri Sabah. Sebagai warga negeri Sabah, saya gembira apabila adik yang di Semenanjung tertarik dengan lagu Sayang Kinabalu. Semoga Allah sampaikan adik ke Sabah, negeri di bawah bayu.

      Terima kasih sekali lagi, ^_^

      Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu,
      tinggi lagi sayang sama kamu.
      Biru-biru hujung Kinabalu
      tengok dari jauh, hati saya rindu.

      Delete
  3. Abg Muizz ada x video persembahan bicara berirama yg abg tngok tu? Aliff pun tgh cuba cari, tapi masih x jumpa jumpa. Harap abg muizz tolong sbb masih terkenang dgn persembahan negeri sabah ^_^

    ReplyDelete