Mesej sempena Tahun Baru 1433 Hijrah


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang menyampaikan kita ke hujung tahun 1433 Hijrah dan yang akan menyampaikan kita ke 1434 Hijrah. Selawat dan salam kita panjatkan ke hadrat Rasulullah SAW yang mengilhamkan peristiwa hijrah, juga kepada kaum keluarganya dan para sahabatnya yang amat mulia.

[Di kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan selamat ulangtahun ke-19 buat sahabat saya, abang saya, Muhammad Adib Asyraf Muhammad Shafiai, di Teluk Intan, Perak. Semoga Allah merestui beliau, ayahbonda beliau, keluarga beliau, para pendidik beliau dan para sahabat beliau dengan rahmat dan kasih sayangNya. Amin ya Rabb al-Alamin.]

Waktu ini kita sudah sampai di penghujung tahun 1433 Hijrah. Saya harap kita semua telah menggunakan tahun 1433 Hijrah ini dengan sebaiknya - kita manfaatkan masa ke arah mempertingkatkan keimanan, memperkukuh ketaqwaan, memperbaiki diri dan seterusnya memberi manfaat kepada orang lain.

Jikalau menghitung kembali tahun 1433 Hijrah, saya yakin kita semua merasa kerugian kerana kita di sisi Allah SWT sering berdosa. Sabda Rasulullah SAW, [كل بني أدم خطاء وخير الخاطئين التوابون] "Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan sebaik-baik pesalah adalah orang yang bertaubat." Oleh itu, sempena hujung tahun 1433 Hijrah, marilah kita sama-sama menghitung kembali diri kita. Tak mungkin seseorang tidak pernah buat salah sepanjang 1433 Hijrah. Mustahil. Atas kesalahan dan kesilapan yang kita ada, marilah sama-sama kita kembali kepada Allah SWT. Dalam erti kata yang lain, kita insafi diri ini dan kita mohon ampun kepadaNya atas salah dan silap kita.

Kepada yang telah banyak berbuat kebaikan sepanjang tahun 1433 Hijrah, tahniah saya ucapkan. Saya amat yakin tanpa syak bahawa Allah SWT akan raikan segala kebaikan yang dikerjakan oleh kita semua, umat Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Insaan, ayat 22, [إن هذا كان لكم جزاء وكان سعيكم مشكورا] "Sesungguhnya semua balasan ini adalah untuk kamu dan segala kebaikan kamu amatlah dihargai." Semoga kebaikan yang ada akan diteruskan dengan penuh istiqamah; dan semoga kebaikan akan dituruti dan diteladani oleh orang lain.

Sempena tahun 1434 Hijrah, marilah sama-sama kita memperbaiki diri kita. Kita berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan dan daripada yang baik kepada yang lebih baik. Saya teringat bahawa mantan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Seri Dr. Hasbullah Mohd. Taha, di sekitar tahun 2000an, pernah menulis mengenai Beyond Excellence. Beyond Excellence disebut seperti berikut, "Hari ini lebih baik daripada semalam. Esok lebih baik daripada hari ini. Lusa lebih baik daripada esok. Tulat lebih baik daripada lusa. Langkat lebih baik daripada tulat. Tahun ini lebih baik daripada tahun lepas; dan tahun depan lebih baik daripada tahun ini." Saya ambil kata-kata ini sebagai suatu suntikan semangat untuk menghijrahkan diri ke arah yang lebih baik.

Biarlah waktu nanti lebih baik daripada waktu sudah. Kalau waktu lepas lebih baik daripada waktu ini, kita sebenarnya sedang merasa kerugian yang amat besar kerana pepatah Arab pernah mengatakan, [الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك] "Masa itu laksana pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka dia akan memotong kamu." Oleh itu, marilah kita menjadi yang lebih baik daripada dahulu.

Sempena tahun 1434 Hijrah jua, marilah kita teruskan perpaduan dan persaudaraan sesama manusia amnya dan sesama umat Islam khasnya. Selaras dengan tema Maal Hijrah 1434 Hijrah, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, adalah menjadi harapan agar kita semua terus memperkukuh persahabatan, persaudaraan dan perpaduan tanpa mengira apa-apa jua jurang perbezaan. Marilah kita amalkan kesederhanaan kerana dengan kesederhanaanlah kita mampu menyeimbangi diri kita sendiri dan yang lain.

Terima kasih, Allah. Saya, kita semua beruntung kerana dapat hidup dalam tahun 1433 Hijrah. Ada yang telah meninggalkan kita terlebih dahulu dalam tahun tersebut. Kita doakan semoga mereka yang mendahului kita dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.

Saya dapat rasakan bahawa tahun 1433 Hijrah amat bermakna dalam hidup saya. Saya dilimpahi rezeki. Saya harap rezeki itu bukanlah istidraj kerana istidraj menambahkan kesesatan terhadap kita semua. Saya berharap agar rezeki itu membawa rahmat dan hidayah dariNya.

Alhamdulillah. Dalam tahun 1433 Hijrah, saya mendapat keputusan 4A, 3A-, 2B+ dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011. Saya kemudian diterima masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pengajian Asasi Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Saya kemudian mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK/CGPA) 3.67 dalam Semester 1, 2012/2013 sekaligus membolehkan pengajian asasi saya yang memakan masa selama 2 tahun dipendekkan kepada satu tahun setengah. Dalam tahun 1433 Hijrah, sahabat dan kawan saya bertambah sampaikan saya tidak kenal orang yang kenal saya.

Saya tunjukkan semua ini bukanlah bermaksud untuk memberitahu bahawa sayalah yang terbaik dalam kalangan yang lain. Saya sedar bahawa ramai lagi yang lebih baik daripada saya. Tetapi, saya tunjukkan ini semua sebagai suatu sunnah Rasulullah SAW. Sabda Baginda, "Sampaikanlah berita-berita baik kepada yang lain kerana berita baiklah yang menyenangkan hati." Kepada yang lebih baik daripada saya, tahniah saya ucapkan. Semoga kita menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Izinkan saya meneladani apa-apa yang kalian ada.

Sempena hujung tahun 1433 Hijrah, izinkan saya mengucapkan dan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang sudi mengenali diri ini, mensahabati diri ini dan memahami diri ini. Kalian semua, InsyaAllah, telah banyak menyinari kehidupan saya sepanjang 1433 Hijrah. Alhamdulillah, ini semua datang dengan izin Allah jua.

Pun begitu, di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf daripada semua atas salah dan silap diri ini. Saya tahu saya banyak dosa dan salah. Namun begitu, saya tetap berazam untuk memperbaiki diri ini seadanya supaya diri ini sentiasa diredhai oleh Allah SWT.

Saya sedih untuk meninggalkan 1433 Hijrah kerana saya tahu 1433 Hijrah tersimpan pelbagai kenangan. Sebahagiannya menjadi teladan di masa hadapan, sebahagiannya lagi akan menjadi pengajaran di masa hadapan. InsyaAllah.

Apa pun, di hujung 1433 Hijrah dan di ambang 1434 Hijrah, saya doakan semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita semua; dan seterusnya merestui kita semua dengan rahmat dan kasih sayangNya. Amin ya Rabb al-Alamin.

"Tuhan, Kaulah yang Pertama, Kaulah yang Terakhir, Kaulah yang Dahulu dan Kaulah yang Abadi..."

Ya Allah, Maha Kuasa, padaMu kami meminta
perlindunganMu di tahun ini
dari godaan syaitan durjana.

Ya Allah, Maha Kuasa, padaMu kami meminta
kebaikan di tahun ini
berkekalan ke tahun depan.

Saya panjangkan salam ini buat semua yang saya sayangi dan semua yang menyayangi saya kerana Allah SWT.

Salam Maal Hijrah
Maaf Zahir dan Batin
Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

والله ولي التوفيق
وفي أمان الله
وسلام الله عليكم ورحمته وبركاته

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
Petaling Jaya, Selangor
14 November 2012

Comments