Bahasa Arab: Saya di Jalanan Berliku

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Syukran jazilan, Ustaz Zul Nawawi.

Sebentar tadi, saya menghadiri Program Pecutan Akhir Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Sabah di Dewan Serbaguna, Institut Latihan Perindustrian, Kota Kinabalu, Sabah, siang tadi. Program tersebut dihadiri sekitar 300 orang mewakili beberapa buah sekolah di negeri Sabah.

Saya datang tanpa mengulangkaji apa-apa pun daripada subjek Bahasa Arab. Apa-apa yang saya ada itu sahajalah yang saya dapat bagi. Ilmu bahasa Arab masih kurang, bukan, Hidayat? Sampaikan saya perlu bawa bahan ilmiah Bahasa Arab di waktu saya sedang mengajar orang lain.

Syukran jazilan, Ustaz Azrul. Beliau ada ingatkan saya, [العلم في الصدور ولا في السطور] "Ilmu itu di dalam dada, bukannya di atas buku." Ya, ilmu itu di dada. Pun begitu, sebelum mencurahkan sesuatu ilmu pada orang lain, lebih-lebih lagi ilmu yang telah lama saya tinggalkan, saya akan mengingatinya terlebih dahulu dengan membacanya sejenak.

Terus terang saya katakan. Saya kekurangan ilmu yang saya ingin bagi, sampaikan soalan yang mudah pun saya lupa jawapannya. Memang layaklah mereka mentertawakan saya meski saya mengajar dan mereka diajar. Saya harus menelitinya semula, mengingatinya dan meyakinkan sesuatu ilmu itu dengan bertanyakan para muallim yang lebih muktabar. Walau bagaimanapun, para ustaz dan ustazah masih ada di dewan itu tadi untuk dijadikan rujukan dan tempat bertanya kerana mereka lebih berilmu dalam Bahasa Arab berbanding saya yang baru sudah satu semester asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Saya minta maaf. Setakat yang saya tahu, itu sahajalah yang saya bagi. Saya sudah lama tidak membantu orang dalam Bahasa Arab.

Pun begitu, Alhamdulillah. Saya sedikit sebanyak dapat menimba ilmu dan pengalaman melalui program ini.

Pertama kali berucap di hadapan pelajar-pelajar sekolah menengah sebagai bekas pelajar sekolah menengah dan mahasiswa universiti, saya kekurangan modal, sekali lagi. Saya di pentas di Dewan Serbaguna ILP tadi hanya bertemankan dua buah mikrofon yang ada pada rostrum dan sedikit ilmu. Pun begitu, saya cuba menyampaikan pesanan kepada semua agar mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan SPM terutamanya dalam subjek Bahasa Arab. Terima kasih banyak-banyak kepada yang sudi mendengar kata-kata yang tidak seberapa ini.

Tadi, ada yang meminta saya berkata-kata dalam Bahasa Melayu. Saya boleh; lagi saya suka. Namun, tadi saya dan mereka berada dalam Biah Arabiyyah (suasana Bahasa Arab). Jadi, saya berkata-katalah sedikit dalam Bahasa Arab. Sudah dipesan awal-awal oleh ustaz dan ustazah.

Orang yang belajar Bahasa Arab perlu digalakkan bercakap kerana dengan percakapanlah ilmu Bahasa Arab bertambah. Di samping itu, minat terhadap Bahasa Arab perlu disemai dan minat perlu disertai dengan pembacaan, pemahaman dan penggayaan melalui latihan. Ingatan untuk diri saya dan sahabat-sahabat sekalian; juga buat junior-junior.

UIAM banyak mengajar kami Bahasa Arab menerusi percakapan. Para ustaz dan ustazah saya, alumni UIAM, pasti sudah maklum sebab merekalah yang mendahului kami.

Tadi, ceramah disampaikan oleh Ustaz Adnan Ishak dari SMK Dato' Perdana, Bachok, Kelantan. Saya nampak manfaatnya dan kemudahannya yang diterangkan. Saya harap semoga kemudahan yang beliau terangkan dalam ceramah beliau tadi membawa manfaat besar terutamanya kepada semua yang akan menduduki kertas ini dengan format yang baru. (Sebenarnya format baru peperiksaan subjek ini tidaklah berubah secara besar-besaran. Hanya Kertas 2 [2361/2] yang saya perasan terlibat dengan perubahan. Betulkan saya jikalau salah.)

Begitulah harapan saya yang berada di situ tadi. Begitulah juga harapan para pendidik.

Tahun sudah, saya mendapat A dalam Bahasa Arab SPM 2011. Alhamdulillah. Saya mahu dan saya harap kalian, junior-junior SPM 2012, lebih baik daripada saya. Jikalau demikian berlaku, saya tabik dengan sepenuh hati. Jikalau sebaliknya berlaku, dengan Allah kita meredha.

Cuma, saya mahu persoalkan satu perkara. Sebilangan peserta yang menyertai program itu tadi kurang serius dan kurang memberikan perhatian pada apa-apa yang disampaikan. Saya jumpa orang tidur ketika ceramah - biasalah. Mereka masih boleh tertawa dalam belajar. Ketawa kerana seronok, tak apa. Saya lagi suka. Tapi, kalau ketawa kerana lalai atau benda lain, ada yang tak kena.

Seorang penyair di zaman Khalifah Abbasiyah pernah bertanya, [أنلهوا وأيامنا تذهب؟] "Masihkah engkau lalai sedang hari itu semakin berjalan?" Maksudnya, saya nak tanya mereka, masihkah mereka ini lalai sedang masa pantas berlalu, masa semakin menghampiri?

Saya harap mereka sedar bahawa SPM itu semakin hampir. Langkah menghampiri sempadan. Semakin hampir saat itu. (Ingatan juga buat diri sendiri.)

Alhamdulillah. Meski sejarah yang saya bawa bukanlah sejarah Pusat Asasi UIAM (CFS IIUM), tetapi sekurang-kurangnya dapatlah ditunjukkan bahawa mahasiswa universiti juga bekas pelajar sekolah turut memainkan peranan membantu sekolah mencapai kejayaan melalui usaha dan kemampuan yang dimiliki. Rupanya hari ini saya datang membawa bersama nama CFS IIUM.

Kenangan mengusik jiwa para ustaz dan ustazah yang pernah menuntut juga di UIAM sama ada di Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan (KIRKHS), Institut Pendidikan (INSTED) juga di CFS [dahulunya Pusat Matrikulasi (MC)]. Tidak rugi saya datang. Teringat mereka pada Ustaz Che Abdul Majid, Syeikh Maad al-Hakim, Syeikh Yunus Mazheng, juga Ustazah Mazlina, juga ustaz dan ustazah lain di CFS IIUM sama ada di Jabatan IRKHS juga di Jabatan Bahasa al-Quran (QLD).

Terima kasih, semua, kerana menerima saya dan ilmu saya di ILP KK tadi. Minta maaf atas salah dan silap diri ini, keterlupaan, keterlebihan dan segalanya yang salah. Saya berazam untuk memperbaiki diri sendiri, InsyaAllah.

Saya beruntung kerana di situlah saya bertemu dengan lebih ramai guru dan pelajar dari sekolah lain selain SMKAKK dan SMKA TUNAS - SMKA Muhammad Ali, Ranau (SEMEKAR); SMKA Tun Said, SMKA Tun Datu Mustapha (TDM); SMKA Limauan, Kimanis, Papar (SMALNIS); Maktab Sabah, SMK Perempuan Likas, SMK Gadong, Beaufort dan SMK Benoni, Papar.

Saya juga beruntung hari ini kerana bertemu dengan para junior SMKAKK dan SMKA TUNAS. Juga sahabat-sahabat dan rakan-rakan Pra Universiti. Juga guru-gurunya.

Doa saya, semoga semua berjaya dalam peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Akhirnya, semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat dan kasih sayangNya.

بارك الله فيكم أجمعين

Comments