Suatu Saat Saya Kembali

Sepatutnya semalam (30 Oktober) saya keluar bersama sahabat-sahabat saya di SMKAKK - Shafiq, Khalid, Izharuddin - menziarahi sekolah. Tetapi, saya sahaja ini yang menziarahi SMKAKK. Kebetulan bersama saya di SMKAKK semalam adalah rakan puteri, Amni Syauqina.

Semalam juga, penantian menjadi kenyataan. Ada yang bertanya kepada saya tentang ziarah saya ke SEMAI (SMKA TUNAS). Saya kata tunggu. Itu sahaja. Ziarahnya sudah pada semalam petang. Saya bersolat Asar di sana.

Suatu saat saya akan kembali.

Saya, semalam, menziarahi SMKAKK. Kebetulan semalam diadakan Majlis Graduasi SMKAKK bagi meraikan pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan Pra Universiti 2 yang akan tamat persekolahan di SMKAKK tahun ini. Majlis semalam dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Islam), Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Ustaz Saifulzaman Sangul.

Saya masuk SMKAKK secara menyusup, masuk dari belakang (jalan dari tepi flat guru yang dijadikan asrama perempuan seketika). Pun begitu, ziarah saya ke SMKAKK sudah saya umumkan 2 hari sebelum kedatangan melalui Facebook.

Saya berjaya mengejutkan sebilangan warga SMKAKK yang rata-ratanya kurang tahu ziarah saya termasuk sahabat saya yang mengaji di Tingkatan Pra Universiti 1 di situ - Zainulariffin, Abunian, Khairul Abid, Abu Ruis dan ada lagi. Juga yang berjaya dikejutkan termasuklah Ustaz Saifulzaman sendiri, Pengetua Ustazah Jaimis, Pengerusi PIBG Pak Hj. Samin, semua penolong kanan dan sebilangan guru.

Saya berjaya menjejaki Dewan Ibnu Taimiyyah di waktu Ustaz Saifulzaman berucap merasmikan Majlis Graduasi. Ya. Selepas para 'graduan' menerima 'ijazah' masing-masing, saya pula yang dihujani ucapan tahniah walhal saya bukan graduan. Saya alumni. Bekas pelajar. Pun begitu, saya faham, ucapan tahniah itu atas kejayaan menziarahi SMKAKK sekaligus membolehkan diri ini menghadiri Majlis Graduasi dan kejayaan menempatkan diri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kursus Asasi Bahasa Arab.

Saya di UIAM baru sebelah kaki memasukinya. Tambahan pula, saya di UIAM baru mahu melintasi gerbangnya, belum lagi masuk ke tamannya, Taman Ilmu dan Budi (Garden of Knowledge and Virtue). Pusat Asasi UIAM itu baru sahaja sebuah sempadan, Gerbang ke Taman Ilmu dan Budi (Gateway to the Garden of Knowledge and Virtue). Semoga saya berjaya meninggalkan gerbangnya untuk berhidup di tamannya yang cantik dan berjaya keluar dari taman tersebut bersama Ijazah Sarjanamuda.

Semalam juga, saya bertemu kebanyakan pelajar Tingkatan Pra Universiti 1, juga junior-junior. Kamal Habib yang dikasihi, sahabat sejak kecil, kini sudah dilantik sebagai Penolong Ketua Pelajar SMKAKK. Saya tahu dia boleh. Dia bukanlah perwaris saya, tetapi saya rasa saya mempunyai sesuatu saya tinggalkan dan wariskan di situ. Kamal Habib.

Fakhrulrazi Asmat, di waktu saya melihatnya, saya rindu abangnya, Taqiyuddin, yang kini kejauhan. Perantau di bumi Anbiya, Jordan, bersama sahabatnya, sahabat saya, Zulfikar dan Fakhrullah Akmal.

Di SMKAKK pagi tadi, Alhamdulillah, saya jumpa Ramzi Taufik juga untuk seketika. Ramzi makin comel.

Semalam juga, saya menziarahi SEMAI tanpa sesiapa pun tahu ziarah diri ini.

Setibanya saya di SEMAI, saya terus menjengah Pejabat Penolong Kanan HEM. Ustaz Shariful. Begitulah dia. Begitulah juga dengan Cikgu Matdiris dan Ustaz Hafizy.

Saya datang sebab mahu solat Asar di Masjid at-Taqwa. Alang-alang menziarahi SMKAKK, singgahlah SMKA TUNAS sekali.

Waktu Azan solat Asar. Saya masuk masjid tanpa sesiapa pun menyedari diri ini. Hanya selepas junior-junior SPM masuk, barulah ada yang menyedari. Solat Asar diimamkan Timbalan Premier SEMAI, Khairul Nizam.

Petang semalam, saya jumpa sekejap Ammar Hakim setelah 2 tahun tak jumpa. Dia, yang berbaju t-shirt hijau berlengan panjang, datang kepada saya selepas ternampak diri ini duduk tunggu jemaah Asar di tepi masjid. Dia tak banyak berubah tapi saya nampak Ammar Hakim semakin matang.

Saya datang kedua-dua sekolah semalam sebagai usaha meneruskan silaturrahim sesama dua sekolah. Sekurang-kurangnya saya dapat tunjukkan bahawa saya masih mengasihi tanpa saya perlu minta dikasihi.

Pun begitu, saya berterima kasih kepada semua yang mengasihi diri ini. Saya rasa masih ada yang menyayangi di kedua-dua sekolah berkenaan. Semoga Allah menyayangi kalian semua.

Kepada yang akan menduduki SPM dan STPM, semoga berjaya saya ucapkan.

Saya sayang kalian semua.

Comments

Post a Comment