Akhirnya Itulah Dirinya

Pertama kali berkenalan dan bertemu di Sepang. Terus terang. Saya sangat menyampah apabila dia berkata-kata dengan saya dalam Bahasa Indonesia.

Sebenarnya dia mahu bertutur loghat Sabah dengan saya. Mahu mengajuk saya, katakan. Tapi tak mengapalah.

Meski kisah itu terakam dalam pita perakam yang abadi dalam hati, semua itu saya tolak tepi.

Petang 1 September seakan-akan suatu hari yang indah buat saya.

Petang itu saya menyampaikan taklimat di Kolej Halimatus Saadiah di Gombak. Brother Rahman minta saya berikan taklimat kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana Program Baktisiswa Tempatan Pusat Asasi UIAM tentang Ranau, Sabah.

Sejurus selepas taklimat tersebut, saya adalah seperti ‘anak’ kepada ‘bapa’. Dialah yang saya mahu kata walau hanya dengan secebis bahasa.

Saya dan 'abang', Muhammad Adib Asyraf
Muhammad Shafiai
(Foto: Mohamed Noor Fadzly Hj. Ameerudeen)
Saya sayang seorang sahabat di Gombak sana meski dia setahun senior daripada saya.

Saya selepas ini akan kehilangannya – dalam terma yang rasmi – meski bidang tugasnya tidaklah meliputi wilayah Petaling Jaya sebelah sini. Tanggungjawabnya di Gombak amat besar. Pun begitu, tugas bukanlah pemisah persaudaraan antara kami.

Sifat tafahum akhirnya menyatukan kami. Begitulah jua dengan yang lain.

Dan kini, tugasnya memerintah wilayah Maryam sudah selesai. Nazmi kini Premier di Kolej Maryam.

Dialah dahulu Premier Kolej Maryam yang khas untuk pelajar persediaan Ekonomi dan Sains Pengurusan.

Suatu hari di sebelah sini, di Kolej Zainab. Terlintas di akal untuk berkata bahawa dia adalah abang saya. Suatu hari juga di sebelah sini, di Kompleks Annex. Dia menerimanya tanpa saya meminta.

Abang, saya sungguh tak pernah meminta ini semua melainkan kemesraan. Saya beruntung sebab saya mempunyai seorang sahabat seperti abang.

Ada waktu saya menziarahi Kolej Maryam, Gombak. Penduduknya amat beruntung kerana Kolej Maryam adalah kolej yang sangat selesa diduduki oleh bakal ekonomis sepertinya. Juga seperti sahabatnya, sahabat saya yang lain – Brother Ridzuan, Brother Syamil, Sister Najah, Sister Syifa, Sister Shahniza, kawan saya Zaimah, ada lagi – maaf, saya ta dapat nak sebut semua.

Saya juga amat beruntung kerana orangnya boleh dikatakan mesra. Asal saya datang, mereka tahu yang saya datang dari Petaling Jaya. Sebab itu jarang nampak muka.

Asal saya datang, ada yang sudah siap menyambut dan menyapa.

Suatu hari di Kolej Maryam, saya mengadakan konsultansi dengan dua orang ahli jawatankuasa saya mewakili Gombak. Saya mewakili Petaling Jaya. Saya tidak pernah meminta apa-apa. Rupanya mereka bawa saya adakan konsultansi di Bilik Mesyuarat Kolej – bilik yang sukar digunakan oleh pihak selain Pengetua mahupun Pengurus Kolej.

Konsultansi itu usai setelah hampir sejam berlangsung. Dia yang kebetulan menonton filem di ruang tamu Pejabat Kolej menunggu saya di situ. Saya tidak tahu.

Barulah saya sedar bahawa kemesraan itu segalanya. Lebih dari segalanya.

Dengan kemesraan, wujudlah persaudaraan; wujudlah kekeluargaan dan wujudlah kemasyarakatan. Bayangkan basyariah tanpa kemesraan. Masing-masing dengan diri masing-masing. Keadaan itu lebih relevan di hadapan Hakim segala Hakim di Padang Mahsyar.

Saya sedar waktu itu.

Tapi, kini, saya, kita semua masih di atas dunia.

Saya menjengah biliknya di kolej itu. Waktu itu dia masih Premier Kolej.

Dia orangnya sibuk. Sesibuk sibuk saya, dia lagi sibuk. Pun begitu, saya amat beruntung sebab dia ada waktu untukku meski waktu itu sepatutnya dia siapkan tugasan akademiknya.

Waktu itu saya bersedih mengenangkan kisah lalu saya. Pun begitu, dia mengingatkan saya bahawa itulah hakikat kehidupan. Saya memahaminya.

Waktu saya mendatanginya, mesti dia menawarkan sebuah motosikalnya untuk saya boncengi, di waktu datang mahupun di waktu pulang. Saya tak mahu menyusahkan dirinya sebenarnya. Kasihan.

Di waktu saya merasa kasihan akan orang lain, saya lebih menginsafi diri sendiri. Dia dan yang lain ahsan dari saya. Tapi, dalam waktu yang sama, seluruh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman saya hargai sebab mereka semua sahabat saya seperjuangan.

Tapi, waktu amat membatasi. Dia memberitahu saya bahawa beliau akan gred di semester ini setelah setahun setengah mengaji persediaan Ekonomi. InsyaAllah, nanti dia akan terus di Gombak di Fakulti Ekonomi. Namun, nanti dia bukan lagi pelajar asasi.

Itulah kehilangan. Saya selalu merasa kehilangan.

Pun begitu, saya tetap menghargai seorang ini, senior ini. Di waktu bidayah sebuah perkenalan, dia amat sukar saya fahami. Setelah perlahan-lahan berkenalan, dialah antara yang saya senangi.

Kefahaman itu segalanya setelah perkenalan.

Sabda Rasulullah SAW, “Berhati-hatilah dalam menyayangi orang, kelak nanti orang itu jadi yang paling dibenci; dan berhati-hatilah dalam membenci orang, kelak nanti orang itu jadi yang paling disayangi.”

Semoga dia maafkan saya selalu di waktu saya sudah maafkan dirinya kesemuanya. Begitu jua dengan kalian yang lain.

Kepada yang keluar Pusat Asasi semester ini, semoga berjaya di pengajian sarjana muda, InsyaAllah. Bunga apresiasi saya kalungkan buat semua yang menerima dan mensahabati saya seadanya.

Untuk berada bersama MRC bukanlah mudah. Semua yang dahulu sampai kini adalah dengan kehendak Allah jua.

Maafkan saya. Bukan saya tidak meraikan yang lain dalam kitabah ini. Saya teringat, maka saya bercerita untuk manfaat kita semua.

Terima kasih, kalian. Terima kasih, abang.

Terima kasih, Allah.

Kolej Abu Bakar, UIAM, Petaling Jaya, Selangor.
Jumaat, 12 Oktober 2012, jam 10.51 malam.

Comments