Sepetang di Garis Udara

Saya dan Aiman Fauzi
(Foto: Nur Aiman Fauzi Ahmad)
"Assalamualaikum, Aiman. Kau mana sudah? Aku di KLIA sudah ini. (Muizz.)"

Saya mesejnya selepas saya menunaikan solat Asar di Surau Balai Ketibaan, KLIA. Saya waktu itu baru sahaja tiba dari Putrajaya.

"Aku di Arrival Hall (Balai Ketibaan); di Delifrance. Makan kejap. Abang pergi sinilah."

Saya tak pergi terus-terusan. Saya mencari kepastian. Saya fikir Aiman Fauzi itu yang berambut panjang duduk berseorangan. Rupanya, sangkaan saya salah.

Sebelum itu, saya fikir Aiman Fauzi itu berada di Balai Perlepasan, Aras 5 KLIA. Rupanya beliau berada di Balai Ketibaan. Saya yang sudah naik di atas terpaksa turun semula. Saya hanya menemuinya sekitar 10-15 minit sebelum Maghrib.

Saya temui Aiman Fauzi bersama seorang sahabatnya, duduk berhadapan dengan gerai Delifrance. Saya temuinya seperti yang saya rancangkan. Allah izinkannya akhirnya. Alhamdulillah.

Aiman Fauzi tak ubah wajahnya macam dulu. Senang dikenali. Ada sahabat-sahabat saya yang lain yang pernah bersama saya di Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) Pekan Tuaran, wajah mereka sudah berubah. Berbeza.

Hari itu, 14 September. Itulah pertemuan pertama dan terakhir setelah 6 tahun tak bertemu. Aiman mengira waktu itu; sudah 6 tahun. Saya bersetuju sebab saya dulu pernah sama dengan mereka sepanjang 2001 hingga 2002. Saya menjadi senior mereka bermula tahun 2003 sampailah saya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Agama (SRU) 2005.

Saya kenal mukanya sebab di SRAN Pekan Tuaran dahulu, beliau munsyid (penyanyi nasyid) dengan sekumpulan yang lain; seingat saya sekitar tahun 2003 dan 2004. Beliau tamat sekolah di SRAN Pekan Tuaran pada tahun 2006.

Beliau kemudian menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John, Tuaran dan di Maktab Rendah Sains MARA Kota Kinabalu di Papar. Sebelum ini, beliau menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

Beliau adalah antara yang bertuah kerana dipilih oleh Kementerian Pelajaran (KPM) untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pengajian Asing Beijing (Beijing Foreign Studies University, BFSU) di Beijing, China, dalam bidang Bahasa Cina sebagai Bahasa Asing. Pengajian beliau ditaja oleh KPM.

KPM pernah menandatangani perjanjian pertukaran pelajar dengan BFSU beberapa tahun lepas.

Baru tengah malam tadi (15 September) beliau berlepas ke Beijing. Saya adalah antara sahabatnya yang meraikannya.

Suatu saat beliau akan kembali menjadi guru bahasa Cina yang berjaya kelak, InsyaAllah. Saya meraikan orang-orang bahasa sebab saya juga orang bahasa dan sastera. Semua yang mengenalinya dan mensahabatinya mendoakan perkara yang demikian.

Saya teringat panggilan "abang" itu. Panggilan itu membawa saya mengimbau zaman kecil. Di SRAN Pekan Tuaran, guru-guru dan kawan-kawan memanggil saya "abang". Itu datang dari pengaruh ibu bapa; sebab saya dalam keluarga turut dipanggil "abang". Terus terang saya katakan. Saya merasa lebih dekat dengan seseorang apabila saya dipanggil "abang" sebab saya tahu nilai sejarah mengenai hal itu amatlah tinggi dan bermakna.

Saya titipkan sejarah itu sebagai sesuatu yang amat bermakna.

Maafkan kedukaan ini. Terus terang saya katakan. Saya sedih mengenangkan sejarah ini sebab masa itu sudah jauh meninggalkan kita semua. Saya juga sedih kerana saya tak tahu bila lagi dan di mana pula saya akan bertemunya selepas ini. Hanya doa dan harapan menjadi persandaran pada kita, di sebelah sini mahupun di sebelah sana.

Mungkin dia membaca persuratan saya ini, mungkin tidak. Republik Rakyat China menyekat laman-laman web yang terbuka seperti Facebook, Twitter dan Blogger ini. Cuma, saya harap, kami; kita tidak putus hubungan terus dengannya. Jikalau terputus hubungan komunikasi, jangan terputus hubungan persaudaraan. Kita sahabat selamanya.

Saya sempat bercerita sedikit dengan Aiman Fauzi sebelum saya pulang.

Saya ada beritahunya yang saya akan pulang Sabah pada 24 Oktober ini. Beliau bertahmid, Alhamdulillah. Namun, saya boleh baca wajahnya bahawa beliau sedih kerana beliau akan menyambut Aidiladha di Beijing - meski mukanya ceria - dan bukannya di Sabah.

Saya masih ingat katanya. "Harap ini bukanlah (hari) raya (Aidilfitri) terakhir di Sabah."

Saya ingat saya mahu berada di situ lebih lama. Tetapi, saya harus pulang cepat. Kononnya ada mesyuarat di universiti pada jam 10.00 malam. Rupanya dibatalkan. Pun begitu, saya tetap pulang cepat. Kebetulan beliau harus mendengar taklimat daripada KPM sebelum berlepas sekitar tengah malam tadi.

Sebelum berlepas, saya yang sudah berada di universiti sempat bermesej. "Assalamualaikum, Aiman. Selamat jalan. Baik-baik kau di sana nanti, ya. Kalau dah ada nombor handphone (telefon bimbit) baru, sound-sound (beritahu) kami, ya. Semoga Allah merestuimu dan menyayangimu. Jangan lupa kami di sini. For Allah we love you (Kerana Allah, kami sayang kamu.)"

"Waalaikumussalam. Terima kasih, abang. Jumpa lagi."

Sekarang, beliau sudah selamat sampai di Beijing. Diri dan identitinya moga berkekalan tak lapuk ditelan zaman. Namun, beliau masih boleh dihubungi dengan Facebook sekiranya beliau melayari Internet menggunakan talian Virtual Private Network (VPN). Paling tidak pun, beliau masih boleh dihubungi melalui Skype.

Ya Allah, gantikanlah yang hilang; tumbuhkan yang telah patah. Amin.

Sahabat, saya sayang kamu.

Kolej Abu Bakar, UIAM, Petaling Jaya, Selangor.
Sabtu, 15 September 2012, jam 9.51 malam.

Comments