Mesej sempena Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia 55/2012

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله
الله اكبر الله اكبر الله اكبر ولله الحمد

Terima kasih, Allah, atas rahmat dan kasih sayangMu ke atas Malaysia. Betapa sucinya kasihMu, Tuhan.

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55 kepada semua yang mengenali, mensahabati dan bersaudara dengan diri ini, dan juga seluruh rakyat Malaysia. Salam Syawal jua buat semua, sempena Syawal yang mulia yang masih berbaki ini. Kebetulan Hari Merdeka jatuh pada bulan Syawal, bulan merayakan kemenangan setelah sebulan beriltizam dalam beribadat di bulan Ramadhan.

Alhamdulillah. Malaysia kini sudah 55 tahun merdeka. Dahulunya, dalam tempoh 446 tahun, kita dijajah dan diikat dengan tali-tali penjajahan. Kini, untuk tahun ke-55 Malaysia kita sudah merdeka. Kita di Malaysia mampu hidup aman dan damai biarpun ada sesetengah yang cuba menggugatnya dari dalam mahupun luar Malaysia. Saya mohon agar kita semua bersyukur kepada Allah SWT atas limpah kurniaNya ke atas Malaysia. Tanpa kasih sayangNya, tidak akan merdekalah dan tidak akan terbentuklah Malaysia. Tanpa rahmatNya, mana mungkin rakyat Malaysia akan hidup dalam kerukunan dan perpaduan. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 12, [ولقد اتينا لقمان الحكمة ان اشكر لله ومن يشكر فانما يشكر لنفسه ومن كفر فان الله غني حميد] "...dan telah kami berikan Luqman itu hikmah (nasihat) agar bersyukur kepada Allah. Sesiapa yang bersyukur kepadaNya, sesungguhnya dia mensyukuri dirinya sendiri; dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

Terima kasih kepada para pemimpin dan pahlawan yang telah banyak berjasa kepada Malaysia. Sama ada kita sedar atau tidak, Malaysia ini merdeka dan tertubuh dengan izin Allah dan atas usaha para pemimpin, perwira dan pahlawan yang berjasa. Sebahagian mereka terabadi nama dan jasanya dan sebahagian daripada mereka menjadi wira yang tidak didendang. Pun begitu, Allah SWT tetap meraikan dan mengabadikan jasa-jasa mereka di dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa, ayat 22, [ان هذا كان لكم جزاء وكان سعيكم مشكورا] "Sesungguhnya balasan baik ini semua adalah untuk kamu dan usaha baik kamu diterima."

Saya berpesan kepada diri saya dan semua, sempena Hari Merdeka ini, agar tidak kufur akan nikmat Allah SWT dan tidak lupa akan jasa orang-orang yang telah banyak mempertahankan negara, memerdekakan negara dan seterusnya memajukan negara sehingga Malaysia berjaya di tahap yang signifikan waktu ini. Usaha-usaha ini bukan mudah untuk dilakukan. Semua ini memerlukan perjuangan dan pengorbanan rakyat Malaysia sendiri yang cintakan tanah air. Cintailah Malaysia kerana sabda Rasulullah SAW, [حب الوطن من الايمان] "Mencintai negara itu sebahagian daripada iman."

Tidaklah bersalahan bagi kerajaan persekutuan dan kebanyakan kerajaan negeri kini meletakkan tema "55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati" sebagai tema Hari Merdeka 2012 kerana janji pemimpin dan pahlawan kepada negara telah banyak dikotakan walaupun tidak semua. Pengotaan janji itulah merupakan jasa-jasa mereka. Jasa-jasa itu tercipta semua dengan usaha mereka dan dengan izin dan rahmat Allah SWT. Manusia hanya mampu merancang; Allah penentu segala-galanya. Ingin dipesan bahawa setiap janji kita kepada Allah mahupun kepada orang lain hendaklah dikotakan. Umum mengetahui bahawa orang yang mungkir janji itu munafik. Berhati-hatilah ketika berjanji dan berhati-hatilah dengan sebuah perjanjian. Yang pasti, Allah tidak akan memungkiri janjiNya.

Saya juga berpesan agar kita semua bersatu dan terus mengeratkan hubungan silaturrahim sesama rakyat Malaysia, khususnya sesama umat Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 103, [واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا] "...dan berpegang teguhlah kamu pada tali Allah SWT (Islam) dan janganlah kamu berpecah-belah." Perpaduan dan persaudaraan banyak membantu dalam menjayakan sebuah negara juga sebuah pemerintahan. Sebuah negara Islam Madinah yang ditadbir oleh Rasulullah SAW sebagai ketua negara, berjaya diciptakan dan distabilkan kerana perpaduan dan persaudaraan sesama rakyat. Sejarah tamadun Islam juga mencatatkan bahawa sesebuah negara mahupun kerajaan dianggap berjaya apabila wujudnya dan lestarinya semangat perpaduan dan persaudaraan.

Tidaklah jua bersalahan bagi sesetengah kerajaan negeri memakai tema "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" sebagai tema Hari Merdeka 2012 kerana semangat kesatuan dilihat amat penting. Pada zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat RAnhum bersatu hati dan jiwa mendaulatkan dakwah Islamiyyah dan kestabilan negara Madinah. Kesatuan hati mereka itu terakam dalam al-Quran. Negara tidak akan membangun dalam keadaan berpuak-puakan dan huru-hara. Rakyat kini terlalu mengutamakan jurang pemisah dari segi agama, bangsa, budaya dan fahaman walhal Allah menyeru ke arah kesatuan. Oleh itu, bersatulah kerana perpaduan teras kejayaan.

Sempena Hari Merdeka jua, marilah sama-sama kita tingkatkan azam dan tekad untuk sama-sama membangunkan Malaysia dari segi fizikal, mental dan spiritual. Malaysia tidak akan terus maju jika negara hanya dibangunkan dengan bangunan-bangunan infrastruktur. Malaysia juga tidak akan terus maju jika agama sahaja yang membangun, ataupun jika ilmu sahaja mengalir tanpa amal. Wawasan 2020 itu suatu pandangan yang jauh tetapi ia semakin menghampiri. Oleh itu, marilah, kita lestarikan dan bangunkan Malaysia dengan keseimbangan fizikal, emosi, rohani dan jasmani.

Akhirnya, kita berdoa, semoga kita semua, rakyat Malaysia, dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kepada yang telah pergi, kita doakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua.

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55
Terima Kasih Allah

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
Petaling Jaya, Selangor
31 Ogos 2012

Comments