Merindukan Kemesraan

Sebagai seorang saudara dan sahabat, saya amat rindukan kemesraan kerana dengan kemesraanlah hubungan terus terjalin.

Saya beruntung dan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dikurniakan ramai sahabat dan kawan sepanjang hidup. Terus terang saya katakan. Saya merasa sengsara untuk menjaga persahabatan dengan ribuan orang di seluruh nusa. Pun begitu, apabila mengenang hadis Rasulullah SAW mengenai persahabatan, saya tidak merasa sengsara bahkan saya merasa gembira. Sabda Baginda, sesiapa yang mahu dipanjangkan umurnya dan dimurahkan rezekinya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.

Terima kasih, Allah, atas rahmatMu.

Saya terima sesiapa sahaja yang ingin bersahabat dengan saya, tetapi dengan syarat bahawa orang itu mempunyai akhlak yang baik kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa akhlak seseorang adalah menurut akhlak seseorang yang lain. Jika kawannya baik, maka baiklah orang itu; dan sebaliknya.

Saya bersahabat dengan yang lebih atas daripada saya supaya saya mendapat manfaat daripada persahabatan tersebut. Di waktu saya bersahabat dengan antara yang terpintar dalam negara, saya harap saya mendapat sedikit ilmu daripadanya.

Saya pula bersahabat dengan yang lebih bawah supaya saya dapat mendidik diri bersyukur atas nikmat yang Allah berikan dan gandakan kepada diri ini. Di waktu saya bersahabat dengan yang kurang pandai dari saya, saya harap saya dapat mendidiknya - suatu cara mensyukuri Allah atas nikmatNya.

Pendek kata, persahabatan dan persaudaraan, semua itu kerana Allah.

Cuma, terus terang saya katakan. Di waktu seorang sahabat jauh dari diri saya sini, juga di waktu seorang sahabat ada urusan lain meski waktu itu senggang baginya, saya amat rindukan kemesraan. Saya turut merindukannya di waktu seseorang hanya boleh dihubungi melalui telefon juga laman muka buku, juga di waktu diri ini amat sibuk dengan pelajaran dan tugasan.

Saya rindukan kemesraan, terutamanya di waktu saya menziarahi sahabat sebab saya amat mencintai ziarah. Pepatah Arab mengatakan, "Ziarahlah sekali-sekala, nescaya bertambah kasih sayang." Tanpa kemesraan, saya sedih meski sahabat itu bukanlah sahabat rapat saya - kawan sahaja.

Dalam ziarah, saya tidak meminta apa-apa melainkan kemesraan. Dalam pusat pengajian sini, saya (dengan terus terang) suka menziarahi sahabat, terutamanya di waktu senggang. Saya suka bercerita. Itulah saya. Saya tak pernah meminta itu dan ini. Saya hanya mahukan kemesraan...

...sebab saya tahu kemesraan meneruskan persaudaraan dan persahabatan.

Di waktu kita akan dewasa nanti, kemesraan amatlah diperlukan terutamanya di kejiranan, persaudaraan dan persahabatan. Sebab itulah saya amat menitik beratkan kemesraan di waktu ini. Masa dewasa semakin dekat meski waktu itu masih jauh.

Apalah erti diri ini nanti menjadi seorang doktor, guru, arkitek dan sebagainya, jika tidak pandai bermesra dengan insan yang lain selain pasangan dan keturunan? Saya bimbang kalian berdosa hanya kerana tidak pandai bermesra.

Kemesraan adalah sifat bertegur sapa, mengambil berat, memuliakan yang lain dan kasih sayang.

Saya tanpa kemesraan adalah seorang yang cepat merasa sedih. Sebab itulah saya suka bermesra dengan orang. Dengan kemesraan, sahabat saya bertambah.

Teruskanlah kemesraan sebab Rasulullah SAW juga suka bermesra dengan para sahabat. Kisah mesra itu terakam dalam al-Quran, mafhumnya, "Mereka (Nabi SAW dan para sahabat) itu tegas dengan orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka."

Terima kasih kepada semua yang menerima dan mensahabati diri ini seadanya.

Maafkan diri ini sebab saya bukanlah kawan mahupun sahabat yang terbaik. Saya punya banyak salah sama kalian. Saya hanya ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian mengenai kemesraan sebab kalianlah sahabat saya.

Saya sayang kalian, sahabat.

Surau, Kolej Abu Bakar, UIAM, Petaling Jaya, Selangor.
Ahad, 30 September 2012, jam 1.18 pagi.

Comments