Melaka Maju Negeriku Sayang

Setelah 3 tahun, saya lihat Melaka tak banyak berubah.

Bas RapidKL yang berlegar di sekitar Lembah Klang turut berlegar di Melaka dengan nama Panorama Melaka. Perkhidmatan bas di Melaka dulunya hampir lumpuh. Sekarang, tidak lagi. Bas lama dikekalkan, bas baru disewa daripada Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana).

Dulu, hotel di sebelah Dataran Pahlawan belum siap. Sekarang, saya perasan ia sudah siap. Pun begitu, Dataran Pahlawan tak banyak berubah. Cuma, apabila saya lalu depan Stadhuys dan Menara Taming Sari, saya nampak Melaka makin meriah. Pelancong makin meriah. Maka, saya tidak hairan sekiranya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka bertaraf Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran. Baru nampak Melaka ini amat maju berbanding negeri lain.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ) mentadbir daerah Melaka Tengah. Bangunan tadbir hanya bersebelahan - seberang jalan. Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mentadbir daerah Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mentadbir daerah Jasin.

Kelmarin, saya fikir saya takkan melalui kawasan bersejarah. Rupanya, saya tetap akan melaluinya. Bas 17 Panorama Melaka dari Melaka Sentral ke Ujong Pasir antara bas yang amat mendapat sambutan. Apa tidaknya. Bas itu akan bergerak setiap 10-15 minit untuk memenuhi keperluan penduduk sekitar dan pelancong. Bas itu akan melalui Little India Melaka, Menara Taming Sari, Mahkota Parade, Dataran Pahlawan, Stadhuys, Muzium Samudera, Medan Samudera, Bukit St. Paul dan lain-lain tempat bersejarah. Apabila sistem pengangkutan sesuatu tempat itu efisien, bilangan penduduk yang keluar ke bandar akan bertambah dan bilangan pelancong yang melancong ke sesuatu tempat turut akan bertambah.

Cuma, fokus saya bukanlah di sana sebenarnya. Syukur, Alhamdulillah. Allah sampaikan saya ke Melaka setelah saya tidak datang Melaka untuk suatu tempoh yang boleh dikatakan lama. Sekurang-kurangnya ada satu dua objektif saya mendatangi Melaka ini tercapai.

Tapi, saya amat sedih. Antara tujuan saya datang Melaka adalah untuk bertemu dengan dua orang senior di Melaka - kekanda Muhammad Syafiq M. Radzali dan kekanda Yusof Yunus. (Yang saya tahu, mereka saja yang berada di Melaka; menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Rupanya ada lagi yang di UTeM, itulah kekanda Mohd. Sahrul Muntasil.) Saya tidak berkesempatan untuk menemui mereka. Apa tidaknya; seorang berada di Bukit Beruang; seorang lagi berada di Alor Gajah. Masing-masing ada kerja. Tak mengapa, saya mengerti. Pun begitu, saya tetap sampaikan diri ke Durian Tunggal yang kecil tetapi mendamaikan.

Saya fikir saya mahu juga bertemu dengan sahabat-sahabat di Melaka - Akmal Faqihuddin dan Aqma Nafeera. Saya bukannya tidak mahu ke Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) bertemu dengan Aqma Nafeera. Tetapi, saya kurang tahu KUIM letaknya di mana dan jikalau saya tahu pun, saya tak berteman. Minta maaf. Akmal Faqihuddin juga berada di UTeM tetapi saya tiada nombor telefonnya.

Saya cuba tenangkan diri di Graha Makmur dekat Ayer Keroh sana. Graha Makmur itu adalah kawasan pejabat MBMB. Namun begitu, lamannya amat cantik terutamanya di waktu matahari akan terbenam. Landskapnya menarik. Jarang kawasan pejabat PBT mempunyai kawasan yang cantik.

Sebelum itu, pertama kali saya terlihat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad di Batu Berendam. Rupanya sekolah itu ada sejarahnya yang signifikan.

Itulah antara yang saya nampak yang menarik di Melaka.

Setelah pulang ke Petaling Jaya nanti, Melaka pasti akan saya rindui. Jikalau berkesempatan, saya ingat saya mahu menziarahi Melaka sekali lagi bersama kakak selepas tamat Final Exam pada 18/10 ini. Tengok keadaan dulu.

Kepada yang berada di Melaka, dari Gabenornya, Ketua Menterinya, para orang besarnya, para pekerjanya, para peniaganya dan penduduknya; semoga Allah terus merahmati dan merestui Melaka Negeri Bersejarah.

Kepada semua yang saya kenali dan sahabati - famili Melaka, abang Syafiq, abang Yusof, abang Sahrul, Akmal Faqihuddin, Aqma Nafeera, Luqman, Arash dan lain-lain, semoga Allah merahmati kalian semua.

Taman Aman, Ujong Pasir, Melaka.
Ahad, 23 September 2012, jam 11.17 pagi.

Comments