Kepada yang Merantau

Ku biar kalam berbicara
menghurai maksudnya di jiwa
agar mudah ku mengerti
segala yang terjadi
sudah suratan Ilahi.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sahabat,

Aku masih ingat kata Rasulullah SAW, [كن في الدنيا كأنك غريب او عابر السبيل] “Jadilah kamu di atas dunia seperti pengembara atau orang asing.” Jangan kita terlalu selesa di atas dunia sebab perjalanan kita di atas dunia amat jauh. Perjalanan kehidupan.

Aku banyak berhidup di bumi sendiri. Begitu jua kalian. Tapi ada dalam kalangan kalian mahu memijak bumi yang lebih jauh. Menjadi pengembara di bumi asing. Aku kekal di bumi sendiri kerana aku punya banyak tanggungjawab dalam negara. Aku masih nak ajar diri menyayangi negara.

Tetapi, orang Malaysia bermusafir di bumi asing tidaklah bererti mereka itu sudah tidak sayang nusa. Kalau ada pun, sebahagian kecil saja. Mereka mahu belajar budaya asing. Mungkin ada manfaatnya kepada kehidupan rakyat negara. Dalam erti kata yang lain, buang yang keruh, ambil yang jernih. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Firman Allah SWT, [افلم يسيروا في الأرض فتكون لهم قلوب يعقلون بها او اذان يسمعون بها فانها لا تعمى الابصار ولكن تعمى القلوب التي في الصدور ] “Bukankah ada baiknya mereka mengembara (umat Islam) mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang hatinya akan faham dengannya dan yang telinga akan dengar dengannya? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun, tidak berguna juga) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta; tetapi yang buta itu mata hati yang ada di dalam dada.” Surah al-Hajj, ayat 46.

Orang yang bermusafir di luar negara beruntung sebab hidupnya sudah meliputi nusa ini dan nusa sana. Nusa sana nanti pasti menjadi memori setelah mereka berpulang di desa nan damai sebelah sini. Tempat jauh lagikan dikenang, katakan. Desa nan permai pasti akan menunggu kepulangan mereka kerana mereka sudah tentu membawa banyak manfaat kepada yang menanti.

Aku harap orang yang bermusafir keluar negara masih mencintai negara, tanah tumpah darah kita. Kampung sendiri kelak pasti menjadi kasih sayang warga yang kejauhan. Mahu berpulang bukannya mudah. Hanya doa dan harapan menjadi persandaran di perantauan. Hidup mati, baik buruk tempat asal juga tempat bermusafir hanya Allah yang lebih tahu dan berkuasa ke atasnya. Firman Allah SWT, [وما تدري نفس ماذا تكسب غدا] “...dan manusia tidak tahu apa yang akan berlaku keesokan harinya.”

Beberapa tempat di rantau sana itu ada barakahnya yang tersendiri. Di Timur Tengah, ilmu Islam amat mudah untuk didapati kerana maktabah dan syeikh ada di segenap penjuru dalam negara-negara sebelah situ. Di Eropah, kebanyakan umat Islam ini orang asing. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Islam datang dalam keadaan dagang (terasing) dan akan pergi dalam keadaan dagang. Maka, beruntunglah orang-orang yang dagang.” Frasa ‘orang-orang yang dagang’ diertikan sebagai orang-orang yang berpegang kepada cara hidup Islam di waktu Islam semakin terasing. Di sebelah timur seperti China, Islam semakin diterima biarpun negara itu diperintah oleh orang-orang yang menafikan kewujudan tuhan.

Sahabat,

Aku mahu mengucapkan tahniah kepada semua yang akan dan sedang menuntut di luar Malaysia. Bagi aku, semangat jihad kalian amat tinggi. Kalian sanggup memisahkan diri daripada segala-galanya yang ada dalam negara demi menyahut seruan menuntut ilmu. Kami yang masih dalam negara bukanlah tidak mahu berjihad seperti kalian. Kami juga mujahidin di lapangan ilmu seperti kalian. Kami jauh dari kampung halaman, kalian lagilah pula. Kita sama-sama jauh cuma jarak, waktu dan takdir Allah yang membezakan.

Antara peranan iman yang terlintas di fikiranku adalah memupuk semangat berkorban. Aku fikir kalian sanggup belajar jauh-jauh kerana menuruti ketinggian iman; menyahut seruan Allah SWT agar berjihad di jalanNya. Bukan mudah untuk seseorang mendapatkan iman yang tinggi.

Kami redha sekiranya kalian lebih berjaya daripada kami. Itu semua atas izin Allah dan rahmatNya jua. Namun begitu, kami tetap berazam untuk menjadi yang berjaya seperti kalian. Pendek kata, kita nak sama-sama berjaya meski kita berada di tempat dan lapangan yang berbeza. Kata pepatah Arab, [من سار على الدرب وصل] “Sesiapa yang berjalan di atas landasan, dia akan sampai.”

Setelah ketiadaan kalian di sebelah sini, aku; kami sudah tidak mampu mengukir memori indah bersama kalian. Semua pertemuan kita yang sudah berlalu pasti tinggal kenangan. Aku yakin kalian akan lebih mengingati sebelah sana berbanding sebelah sini kerana yang sana pasti menjadi kesayangan.

Pun begitu, jangan lupakan kami semua di sini; kelak kamu jua menjadi memori bagi kami di seberang sini, sehingga mengheret kita bersama untuk menyandarkan doa dan harapan kepada Allah SWT. Ingatlah, kita bertemu kerana Allah; dan kini kita berpisah kerana Allah jua. Semoga suatu saat kalian akan kembali ke sebelah sini. Semoga Allah mempertemukan kita sekali lagi nanti meski yang dinanti itu amat lama; meski entah tidak tahu bilalah pertemuan yang berikutnya.

Kami jua redha sekiranya kami mendahului kalian bertemu Yang Maha Selamanya. Kami jua redha andai kalian mendahului kami bertemu Yang Maha Abadi. Teruskan berdoa sesama kita kerana doalah lambang sebenar perhubungan persaudaraan sesama kita. Doaku dan kami semua, semoga Allah memelihara hubungan antara kita selamanya.

Terima kasih atas segalanya yang kau beri dan kau korbankan kepada kami, wahai kalian. Kalian selama ini aku rasakan amat bermakna. Kalianlah yang menyinari kehidupanku dalam persaudaraan. Maafkan aku; maafkan kami; maafkanlah segala salah dan silap yang aku; yang kami lakukan.

Selamat jalan, sahabat sekalian yang bermusafir ke luar negeri. Selamatlah kalian menuntut ilmu dan pengalaman di sana. Doa kami semoga kalian pulang dengan kejayaan yang membanggakan. InsyaAllah. Ada waktu, sampai ketemu. Tidak pun, di waktu hidup dan mati kamu, semoga Allah terus merahmatimu dan merestuimu.

Aku telah maafkan kalian dan aku redha untuk melepaskan kalian, kerana demi Allah dan kerana Allah, aku sayang kamu semua.

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
Petaling Jaya, Selangor
10-11 September 2012

Comments