Tiada Aku Pernah Menduga

Terima kasih, Qusyairie, kerana mengalu-alukan ziarah saya ke rumahnya di Taman Sinar Jaya 2, Tuaran, petang tadi.

Qusyairie memang sudah lama saya kenali sejak kami bersama di sekolah rendah agama. Teringat saya Sekolah Agama Negeri (dulunya Sekolah Ugama Islam Sabah) Pekan Tuaran. Sekolah itulah tempat saya menyemai minat terhadap bahasa Arab, bahasa al-Quran. Tempat saya dididik dengan keagamaan.

Teringat jua saya bahawa saya adalah "abang" sekitar tahun 2000 hingga 2002. Padahal saya muda daripada sebahagian daripada mereka.

Waktu itu. Sekitar jam 3 petang. Ada 4 orang mendatangi pula rumah Qusyairie. Yang saya tahu itulah kawan-kawan Qusyairie.

Setelah beberapa waktu duduk bersama. Mereka bertanya tentang saya. Saya tanya Qusyairie. Itu kawan-kawan Qusyairie yang sama sekolah rendah dengannya (SK Pekan Tuaran) dan SMK Badin.

Saya terkejut bagaimana mereka kenal saya sedang saya tidak kenal mereka. Saya berjemaah saja dengan mereka. Ikut-ikut.

Ada suatu waktu saya bertanya. Mereka kata itu kawan-kawan SUIS Pekan Tuaran. Saya tanya nama. Rupa-rupanya...

Terharu dalam hati.

Mula-mula, saya rasa saya kenal orang ini jikalau mengimbau zaman budak-budak dulu.

Terkenang sebuah memori lalu
kisah persahabatan kita bersama
di dalam satu pengajian
menuntut ilmu dan pengalaman
mengingatkanku pengorbananmu
terpahat padu di kalbuku.

(Nostalgia, Shoutul Amal)

Itulah pula pemilik nama Hajshaari. Saya ingat orang itu sebab saya pernah jadi ketua mereka masa budak-budak dulu. Mereka tahulah si "abang" ini nakal dan pelik masa budak-budak. Hatta sampai sekarang.

Kami pernah sama-sama Darjah 1 dan 2 di SUIS Pekan Tuaran dulu. Tahun 2001 dan 2002. Setakat yang saya ingat, ini sahajalah nama-nama yang saya ingat pernah bersama saya di SUIS Pekan Tuaran dahulu (yang sebaya) - Wan Nur Shuhaida, Norfarahain, Afiratul Adawiyah, Roziah, Aiman Fauzi, Qusyairie, Marzuki, Hajshaari - rasanya itu sahaja. (Tolong ingatkan saya yang lain dulu yang sempat dengan saya di SUIS Pekan Tuaran.)

Tahun 2003, saya senior mereka. Saya masuk Darjah 4. Saya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) pada tahun 2005. Alhamdulillah, mendapat Pangkat 1 (Penggredan sekarang: Mumtaz).

Kami terpisah pada tahun 2003. Jikalau pernah bertemu, kami bertemu semula tahun 2004 dan 2005. Entah ingat ke tidak. Sudah lupa saya kisah 9-10 tahun lalu. Sebab saya sudah tua walaupun umur baru 2 bulan dalam usia ke-18.

Tadi jua, saya perasan bahawa ada jua orang bernama Rezwan. Dia kawan saya, sama-sama ditemuduga untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG), baru bulan April lepas. Rupanya berjumpa lagi. Saya sudah tidak perasan. Rupanya, itu kamu.

Sebab sahabat dan kawan saya ada di seluruh Malaysia. Hidup saya banyak merantau dalam negara. Bukanlah bermaksud rumah kami ini berpindah-randah.

Teringat saya hadis Rasulullah SAW bercerita mengenai pengembaraan. Daripada Ibnu Umar RAnhuma, Rasulullah SAW bersabda, [كن في الدنيا كأنك غريب او عابر السبيل] "Jadilah di atas dunia seperti orang asing atau pengembara."

Hidup saya banyak mengembara meski hanya dalam Malaysia. Mencari redhaNya. Mencari yang hilang. Memanjangkan silaturrahim. Belajar benda baru. Itulah hakikat kehidupan. (Tahun depan barulah mahu ke Kemboja untuk program Baktisiswa Antarabangsa Pusat Asasi UIAM, InsyaAllah.)

Saya banyak berjalan. Rupanya dunia ini kecil. Yang sudah lama hilang, akhirnya bertemu jua.

Baru tadi, saya muat naik gambar ziarah saya tadi ke Taman Sinar Jaya 2, Tuaran, di mukabuku.

Fakhrullah Akmal, sahabatku; rupanya kita saling berkaitan. Saya tahu kau belajar di Kolej Matrikulasi Labuan (KML). Hajshaari pun menuntut di KML. Berkawan kamu di KML dengan nama Allah atas nama perjuangan. Tapi, aku sudah terlebih dahulu mensahabati Hajshaari sudah hampir 10 tahun, barulah kau, Fakhrullah, yang baru setahun.

Aku terlihat segitiga antara kita di mukabuku ini. Berkat persaudaraan.

Al-Quran ada menyebut, [هذا من فضل ربي] "Semua ini adalah dengan izin Tuhanku (Allah) jua."

Pun begitu, aku tetap meraikan semua sahabatku. Kamu sungguh bermakna bagi saya.

Saya masih mahu mencari yang hilang, yang sudah lama terpisah; sebab pernah Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang ingin dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia memanjangkan silaturrahim."

Dari hati yang tulus, demi Allah, saya menyayangi sahabat-sahabat saya.

Kampung Timbok, Tuaran, Sabah.
Rabu, 22 Ogos 2012, jam 11.06 malam.

Comments