Sahabatku Saudaraku

Sahabatku Saudaraku

Kelmarin (4 Ogos), Allah berikan kesempatan kepada saya untuk menziarahi semula Izzul Izzat Thalasa di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan. Kebetulan saya memang mahu pulang ke rumah sanak saudara di Sikamat, Seremban; jadi sebelum pulang ke Sikamat, saya singgah dahulu ke KMS dekat Rahang untuk menziarahinya. Asal saya pulang ke Seremban, jika saya mampu dan berkesempatan, saya seakan bertanggungjawab untuk menziarahinya biarpun beliau belum pernah dan sempat menziarahi saya dan sahabat-sahabatnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Petaling Jaya, Selangor.

Saya hanya berfikir untuk menziarahinya ketika saya berada dalam perjalanan menuju ke Seremban menggunakan MyKomuter Keretapi Tanah Melayu (KTM). Di waktu komuter yang saya naiki baru sahaja meninggalkan Labu, saya terus berhajat untuk menziarahinya di Rahang sana. Saya hanya sampai di Rahang sekitar jam 5.15 petang. Saya menemuinya 15 minit kemudian setelah saya menunaikan solat fardhu Asar.

Jikalau saya bertemu Izzul Izzat, saya yang akan bercakap banyak. Begitulah cara saya bermesra melalui percakapan. Oleh sebab beliau baru sebulan duduk Seremban, saya bercerita kepadanya tentang keadaan sekeliling. Saya mampu bercerita sedikit demi sedikit tentang Seremban walaupun saya orang Kota Kinabalu sebab saya ada ramai saudara mara di Seremban. Setiap kali saya pulang kampung di Kuala Pilah, Seremban mesti dalam perhatian. 5-10 peratus hidup saya bertumpu di Seremban di samping 15-20 peratus kehidupan saya di kampung di Kuala Pilah. Kelak Izzul Izzat yang lebih kenal akan Seremban berbanding saya sebab beliau menuntut di KMS untuk tempoh 2 tahun. Mustahil Izzul Izzat kurang arif tentang Seremban dalam tempoh 2 tahun.

Seperkara yang saya mahu cerita. Baru-baru ini, saya pernah berkata dengan senior saya, sahabat saya, saudara Mohamed Noor Fadzly Ameeruddeen. Saya kata, sebahagian daripada sahabat saya, saya anggapkan seperti abang sendiri, saudara sendiri dan adik sendiri. Kata-kata ini saya ulang semula di hadapan Izzul Izzat. Lalu, Izzul Izzat berkata kepada saya, saya ini seperti abangnya; walhal beliaulah abang dari segi fizikalnya. Dari segi senioriti, saya adalah seperti yang Izzul Izzat katakan. Saya mendahuluinya sebulan sehari dalam tarikh kelahiran.

Nilai murni yang saya mahu ceritakan di sini adalah nilai silaturrahim. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahimnya." Memanjangkan silaturrahim memberi definisi yang agak luas. Bagi yang baru memulakan persahabatan dengan seseorang, memanjangkan silaturrahim bermaksud berkenalan dan berkawan dengan yang baru. Tambah kawan dan sahabat. Bagi yang sudah lama bersahabat, frasa ini bererti mengekalkan hubungan persaudaraan dan persahabatan serta melestarikan rasa kasih sayang sesama sahabat dan saudara.

Sebab itulah saya bersetuju jika Izzul Izzat menganggap saya ini saudaranya (terutamaya di waktu saya ada di Seremban) biarpun saya duduk di Petaling Jaya; sebab beliau juga saudara saya, saya anggapkan. Di waktu bertemu, saya layan beliau macam sahabat, saudara dan adik sendiri. Begitulah jua dengan sesetengah yang lain terutamanya sahabat dengan hubungan istimewa. Ada sahabat yang saya raikan kerana hubungan istimewa - silaturrahim yang dijalin secara khas dan istimewa.

Di waktu saya bersahabat, saya masih ada ayahbonda, sanak saudara dan para pendidik yang perlu diutamakan kasih sayang dan penghormatan.

Kerana kasih Allah, kita saling mengasihi keranaNya. Terima kasih, sahabatku. Terima kasih, Allah.

Sahabat

Kau ada di kala ku suka
di kala ku duka
setiap tangisan dan juga ketawa
kau ada di kala ku perlu
setia menemaniku
pegang erat tanganku bila aku jatuh

Kau ada di kala ku jatuh
di setiap bangunku
terus menemaniku tanpa rasa jemu
kau ada di setiap tawa
di kala bahagia
kau menjadi sahabatku selamanya

Ku tahu ku akan selalu ada
ada dirimu
dan ku harap
kau juga rasa begitu.

Kaulah yang selalu
selalu menemaniku
mendengar kisah pahit manis hidupku
kaulah yang di situ
setia menungguku
kaulah yang satu
menjadi sahabatku.

NAJWA LATIF

Comments