Perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1433

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول امين وعلى اله وصحبه اجمعين

Muizz di Pejabat Kolej Abu Bakar,
UIAM Kampus Petaling Jaya
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam, yang memungkinkan kita melalui bulan Ramadhan dengan penuh pengharapan dan bulan Syawal yang menjelang dengan penuh kesyukuran. Selawat dan salam kita panjatkan ke hadrat Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabatnya yang amat mulia.

Salam Akhir Ramadhan 1433 Hijrah dan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang kepada keluarga, sanak saudara, para pendidik, para sahabat dan semua yang mengenali dan bersaudara dengan diri ini.


HARAPAN RAMADHAN

Fajar Ramadhan yang menyinsing akhirnya akan terbenam jua. Ramadhan itu datang dan pergi. Beruntunglah kita kerana kita disampaikan jua ke dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Tidak semua diizinkan sampai ke dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Kepada yang sempat menghabiskan Ramadhan kali ini, marilah syukuri Allah SWT. Semua itu atas izin dan rahmat Allah SWT jua.

Mari kita gariskan sama-sama harapan Ramadhan ini biarpun Ramadhan akan pergi dan hanya akan datang kembali selepas 11 bulan.

PERTAMA, semoga kita sudah menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunilah segala dosanya yang lalu.”

KEDUA, semoga kita telah sempurna menyelesaikan dua rukun Islam di bulan Ramadhan, iaitu puasa dan zakat, terutamanya zakat fitrah. Semoga kedua-duanya telah berjaya bertindak untuk membersih, menambahbaik dan memperbaharui diri dan kehidupan.

KETIGA, semoga kita telah memanfaatkan bulan Ramadhan dengan perkara wajib, sunat dan segalanya yang berfaedah dan mendatangkan pahala. Seperti yang umum ketahui, ibadah wajib diberi pahala 70 kali ganda; ibadah sunat diberi pahala ibadah wajib; dan setiap amalan yang disertai dengan ikhlas, Allah boleh gandakannya sehingga 700 kali ganda (dan mungkin lebih dari itu).

KEEMPAT, semoga kita telah lakukan yang terbaik untuk Ramadhan ini. Bagi yang telah melakukan amalan lebih banyak berbanding sebelumnya, semoga Allah tetapkan diri untuk beristiqamah akannya. Bagi yang masih kekal atau kurang amalan berbanding sebelumnya, semoga Allah terus membantu kita untuk terus menambahbaik diri dengan amalan-amalan lain di bulan lain pula. Paling tidak, semoga amalan yang sedia ada kita kekalkan pengamalannya kerana umum mengetahui bahawa biarpun sedikit amalan, tetapi ganjaran tetap besar kerana rasa istiqamah terhadap amalan tersebut.

KELIMA, semoga Allah mempertemukan semula kita dengan bulan Ramadhan yang akan datang. Bagi yang diberi kesempatan untuk bertemu semula dengan bulan Ramadhan yang berikutnya, semoga kita diberi peluang untuk terus memperbaiki diri dan menambahkan amalan pada bulan tersebut. Pun begitu, setelah Ramadhan ini, kita berdoa dan berharap, semoga Allah terus menetapkan diri kita untuk terus beribadah dan beramal kepadaNya keranaNya.

Sebahagian daripada kita ada yang tidak sempat bertemu dengan bulan Ramadhan dan ada yang tidak sempat untuk menamatkan bulan Ramadhan. Itu semua ketentuan Allah SWT yang tidak dapat kita tolak. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Tuhannya. Kepada mereka yang berkenaan, kita doakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh para al-Marhum dan al-Marhumah sekalian.

Ramadhan sudah di penghujung. Apabila kita mengira kembali akaun Ramadhan kita, kita rasa kita masih tidak cukup amalan kita di bulan Ramadhan ini. Kita sibuk bekerja, sibuk belajar, sibuk melaksanakan program dan sebagainya.

Ada pun bagi mereka yang telah banyak beramal dalam bulan Ramadhan, amalan mereka turut kurang pada perasaan mereka sehingga mereka sedih kerana Ramadhan akan pergi. Mereka rasa mereka belum layak untuk berhari raya meski hari raya itu wajib ke atas seluruh umat Islam. Bertemunya semula di masa lain belum tentu. Mereka merasa rindu untuk bertemu semula dengan Ramadhan.

Jikalau golongan Muttaqin merasa begitu, kita apatah lagi. Pun begitu, Ramadhan itu wajib bagi kita dan Aidilfitri itu juga wajib bagi kita. Semoga kita menempuhi kedua-duanya dalam kerahmatan, keampunan dan kasih sayang Allah SWT.

ANUGERAH AIDILFITRI

Umat Islam pasti gembira apabila Aidilfitri datang lagi untuk kali yang berikutnya, terutamanya yang telah melakukan yang terbaik di bulan Ramadhan dan yang memang menantikan Aidilfitri yang seterusnya. Sudah pasti Hari Raya Aidilfitri ini hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam kerana Ramadhan sudah berlalu.

Sempena Aidilfitri yang akan menjelang, marilah kita sama-sama mensyukuri Allah SWT. Allah SWT mengizinkan kita untuk sekali lagi meraikan hari kegembiraan, hari kemenangan, hari kesyukuran bagi umat Islam. Kita raikan kemenangan dengan takbir. Kita raikan kesyukuran dengan rasa kegembiraan dan berterima kasih kepada Allah SWT. Kita raikan kegembiraan dengan amalan ziarah-menziarahi dan rumah terbuka.

Namun begitu, kita perlu raikan Aidilfitri dengan keinsafan. Kita telah tinggalkan yang buruk dalam Ramadhan yang baru lepas. Maka kita insafi diri ini kerana Allah sudah mengizinkan kita agar diganti dengan diri yang serba baru. Ada insan yang telah pergi selama-lamanya sekaligus tidak dapat lagi berhari raya bersama yang lain. Sedih rasanya. Kita ziarahilah kuburnya, kita doakan kesejahteraannya di alam baqa’ di sana.

Sempena Aidilfitri juga, marilah kita saling eratkan persaudaraan, kekalkan hubungan sesama insan tanpa lupa hubungan dengan Allah SWT dengan amalan ziarah dan rumah terbuka. Tidak salah untuk saya katakan bahawa hari raya Aidilfitri adalah hari 1 Malaysia. Walaupun Aidilfitri itu perayaan khusus umat Islam, namun perayaan itu disambut oleh seluruh rakyat Malaysia atas semangat perpaduan dan persaudaraan. Allah SWT memerintahkan kita untuk terus bersatu padu di samping memupuk semangat persaudaraan sesama insan, lebih-lebih lagi sesama umat Islam.

UCAPAN SALAM

Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang kepada semua yang mengenali dan bersaudara serta bersahabat dengan diri ini. Terutamanya kepada:


  1. Kaum keluarga dan sanak saudara di Tuaran, Kota Kinabalu (Sabah), Kuala Pilah, Seremban (Negeri Sembilan), Melaka, Kluang (Johor) dan Cheras (Kuala Lumpur).
  2. Semua guru dan pensyarah yang pernah dan masih mendidik saya di Tadika JHEAINS Pekan Tuaran, SAN Pekan Tuaran, SK Berungis (Tuaran, Sabah), SMKA Tun Ahmadshah, SMKA Kota Kinabalu (Kota Kinabalu, Sabah), SMKA Tun Ahmad Zaidi (Kuching, Sarawak) dan Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Petaling Jaya, Selangor). Juga kepada staf yang mengenali diri ini.
  3. Para sahabat yang bersaudara dan bersahabat dengan saya di seluruh Malaysia. Maaf, saya tidak dapat sebut satu persatu.


Saya dengan ini memohon maaf zahir dan batin daripada kalian atas salah silap saya sepanjang perhubungan kita ini. Saya akan cuba untuk memperbaiki diri pada masa yang akan datang. InsyaAllah.

Kepada anda semua, terima kasih atas segalanya yang telah kalian berikan kepada saya. Saya amat meraikannya dan menghargainya.

Semoga Allah menerima amalan kita di masa lalu dan mengampuni dosa-dosa kita; dan semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat dan kasih sayangNya. Amin.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

Awang Abdul Muizz bin Awang Marusin
Petaling Jaya, Selangor
18 Ogos 2012

Comments