Maafkan Kedukaan Ini

Syukur dan Penghargaan sempena Aidilfitri

Famili dalam Aidilfitri 1433
Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana limpah dan kurniaNya, saya dapatlah pulang ke Kota Kinabalu dan Tuaran, Sabah, pada 18 hingga 25 Ogos baru-baru ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Saya berjaya menziarahi semua rumah sanak saudara di Kampung Lokub, Menggatal; dan Kampung Kuala Menggatal, Teluk Sepangar, Kota Kinabalu. Di samping itu, saya juga berjaya menziarahi beberapa buah rumah sahabat handai sepanjang kepulangan saya ke KK dan Tuaran.

Saya dan keluarga juga telah berjaya mengadakan rumah terbuka di Kampung Timbok, Tuaran, pada 20 dan 22 Ogos. Pada 20 Ogos, rumah di Kampung Timbok, Tuaran, telah dibuka secara rasminya menerusi satu kenduri bacaan doa selamat. Ucapan penghargaan saya dan keluarga ingin kami berikan kepada semua yang menjunjung ziarah ke rumah kami pada 20 dan 22 Ogos – sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga kami sekeluarga.

Saya dan Suhardi Hablee
Ucapan penghargaan juga saya ingin berikan kepada semua yang menerima ziarah saya sepanjang seminggu Syawal ini – saudara dan saudari Siti Syahirah Norbeh (Bukit Nabila, Tuaran; 21 Ogos), Suhardi Hablee (Taman Kuala Menggatal, KK; 21 Ogos), Mohd. Qusyairie Ruslan (Taman Sinar Jaya 2, Tuaran; 22 Ogos), Kamal Habib Norakim (Kampung Sabandar, Tuaran; 23 Ogos) dan Wan Nur Shuhaida Wan Mahadi (Kampung Mengkabong, Tuaran; 23 Ogos).

Persaudaraan dalam Syawal

Pada Syawal kali ini, saya merasa amat bertuah kerana saya menyambut Aidilfitri saya kali ini bersama sahabat-sahabat yang pernah bersama saya di Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) (dahulunya Sekolah Agama Islam Sabah, SUIS) Pekan Tuaran. Saya tidak pernah menyangka itu semua. Itu pun saya sedar ketika saya menziarahi rumah Qusyairie pada 22 Ogos.

Sahabat-sahabat dari SMK Badin.
Sebahagiannya sahabat di SUIS Pekan
Tuaran suatu masa dahulu.
Apa tidaknya? Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai kawan Qusyairie di SMK Badin. Kemudiannya sebagai yang sama di SK Pekan Tuaran. Barulah mereka memperkenalkan diri mereka pula sebagai yang sama di SUIS Pekan Tuaran. Ditanya nama mereka. Mereka amat saya kenali meski waktu dulu kurang dirapati! Betapa sucinya kasihMu, Tuhan. Peristiwa itu membuatkan saya menjiwai pepatah Arab [زر غبا تزداد حبا] “Sekali sekala berziarah, bertambah kasih sayang.” Oleh sebab itu, saya pada Syawal ini amat meraikan hubungan yang senior ini. Hubungan 11-12 tahun.

Saya dan Kamal Habib Norakim
Syawal kali ini juga memungkinkan saya berjaya menemui beberapa orang. Saya ada berhajat untuk meraikan Syawal bersama beberapa orang dan akhirnya hajat itu Allah kabulkan. Alhamdulillah. Saya berjaya menziarahi Suhardi dan Kamal Habib dan keluarga masing-masing. Saya raikan persahabatan saya dengan mereka (meski mereka ini junior sekolah saya) dengan ziarah.

Syawal di Rumah Baru

Syawal kali ini juga menyaksikan pembukaan rumah kami yang baru di Kampung Timbok, Tuaran. Pun begitu, rumah di Kuarters Hospital Tuaran di Kampung Berungis, Tuaran, masih kami kekalkan sebagai kemudahan kepada kami, terutamanya kepada ayahanda yang kini kembali bekerja secara syif dan atas panggilan (on-call). Staf hospital yang bekerja secara syif diberi keutamaan untuk tinggal di perumahan staf di Hospital Tuaran.

Dahulunya, ayahanda bekerja pada waktu pejabat (7.30 pagi hingga 4.30 petang). Sekarang, tidak lagi. Ayahanda kembali seperti dahulu – perlu bekerja mengikut syif. Syif pagi (7 pagi hingga 2 petang), petang (2 petang hingga 9 malam), malam (9 malam hingga 7 pagi keesokannya) dan atas panggilan (biasanya 24 jam bermula jam 8 pagi). Sebab itulah rumah di Berungis masih kekal, cuma rumah itu diletakkan sebagai rumah persinggahan.

Rumah di Kampung Timbok, Tuaran, mula dibina sejak awal tahun ini dan siap 95 peratus kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri. Rumah yang terletak di atas tanah berkeluasan setengah ekar ini mengandungi 5 buah bilik tidur dan 3 buah bilik air. Rumah ini terletak berdekatan dengan bulatan kuda menghala ke Jalan Sulaman, jalan ke Kampung Gayang.

Nasib Syawal

Syawal kali ini, bagi saya, sedikit merugikan kerana saya tidak sempat beraya bersama sahabat-sahabat sebaya. Dalam 2 hari rumah terbuka, tiada sahabat saya yang datang berziarah. Dalam seminggu Syawal, tiada saya berkesempatan untuk menziarahi rumah sahabat-sahabat sebaya kecuali di Bukit Nabila, Tuaran; sampai saya berkata bahawa setiap tahun, saya tidak ada bersama kalian. Saya minta maaf.

Syawal kali ini juga, bagi saya, sedikit mengharukan dan menyedihkan kerana saya terkenang akan zaman-zaman persekolahan. Terus terang saya katakan. Di waktu saya bertemu semula dengan orang yang telah terpisah hampir sedekad, saya terharu. Di waktu perpisahan, saya terkenang memori waktu budak-budak, lantas saya sedih. Maafkan kesedihan ini.

Dalam Syawal ini, saya juga sedih kerana tidak dapat beraya bersama sebahagian besar sahabat, terutamanya sahabat sekolah menengah. Maafkan diri ini. Di waktu saya mahu bersama kalian, ada yang mahu bertamu di rumah. Di waktu hari sudah petang, saya sudah tiada kudrat untuk berjalan jauh.

Saya juga sedih kerana hanya dapat beraya untuk seketika. Terus terang saya katakan. Saya sedih untuk meninggalkan Sabah. Saya menulis ucapan selamat tinggal dalam keadaan sedih. Saya menulis nota-nota mengenai Syawal juga dalam keadaan sedih. Jikalau yang membaca itu merasa terharu atas apa-apa yang dibacanya, yang menulis itu lebih terharu atas apa-apa yang ditulisnya kerana semua tulisan lahir daripada hati. Maafkan kedukaan ini. Pun begitu, saya beruntung dan bersyukur kerana dapat menyambut Aidilfitri dan seminggu Syawal di KK dan Tuaran, Sabah.

Andai Berkesempatan

Jikalau berkesempatan, saki-baki Syawal ini ingin saya gunakan dengan menziarahi keluarga di Seremban dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan; dan di Cheras, Kuala Lumpur; dan dua tiga orang sahabat di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semua itu menjadi harapan; kepada Allah saya pohonkan keizinanNya.

SALAM SYAWAL
MAAF ZAHIR BATIN

Comments