Monday, 13 August 2012

Apabila Cinta Bercerita

Alhamdulillah. Saya baru sahaja selesai menduduki Peperiksaan Pertengahan Semester 1, 2012/2013. Satu subjek sahaja saya duduki - Tema Asas al-Quran (BTQ) - kelmarin (11 Ogos). Cuma, maafkan saya jika ada yang terkejut dengan penulisan saya kali ini yang berkisar mengenai cinta. Saya khususkan cerita ini kepada cinta antara dua jantina, fitrah asal insan.



Sengaja saya letakkan klip video bertajuk Kasih Kekasih, nasyid nyanyian kumpulan In Team. In Team berasal dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebab itulah klip video lagu ini dirakam di UIAM Kampus Gombak, Selangor, tempat yang menggalakkan pelajarnya berkahwin. Di kala pelajar UIAM mendengar dasar ini, pasti ramai yang mahu kahwin awal.

Baru-baru ini saya mengunjungi sahabat saya di Shah Alam. Terima kasih, sahabat, kerana meraikan ziarah saya di Shah Alam, Sabtu lepas (11 Ogos). Sebagai sahabat, saya bertanggungjawab untuk menziarahi sahabat yang lain mengikut kemampuan saya. Pepatah Arab mengatakan, "Sekali sekala melawat bertambah kasih sayang." [زر غبا تزداد حبا]

Dalam ziarah saya itu, saya perasan bahawa dia sedang mencintai seseorang. Akhirnya beliau mengesahkannya dengan berkata bahawa ramai yang tahu tentang hubungan tersebut termasuk ibu bapanya. Ibu bapanya sudah merestui hubungan tersebut dengan syarat bahawa beliau sudah berjaya dalam pelajaran kelak. Saya gembira jika itulah berita baik baginya. Saya tidak marah pun. Saya doakan semoga Allah temukan mereka berdua dalam ikatan yang suci.

Cerita tambahan. Sebulan dua yang sudah, saya cuba menghubungi seorang sahabat saya di Keningau tetapi beliau tidak menjawabnya. Saya menghantar mesej kepadanya tetapi tidak berbalas. Akhirnya, saya terpaksa menghantar surat bertulis tangan kepada orang tersebut. Hal ini saya katakan semasa saya di Shah Alam, Sabtu lepas. Responnya, yang di Keningau itu seolah-olah lupa kawan. Sebelum ini, yang di Keningau itu pernah menyorok apabila kedapatan beliau itu bermesra dengan kekasihnya.

Cerita ini membuatkan saya sedih. Sebab pertama, mereka mendahului saya dalam percintaan berlainan jantina. Sebab kedua, hubungan itu sudah diberi restu walaupun restu itu bersyarat. Saya perasan ada yang sudah mendahului saya dalam percintaan berlainan jantina. Hubungan sudah direstui. Ada yang sudah bertunang. Ada akhbar yang menceritakan bahawa lelaki berumur 18 tahun telah berkahwin dengan perempuan berumur 16 tahun.

Pada pandangan saya, dalam umur yang sekitar 18 dan ke atas ini, soal percintaan berlainan jantina dan soal perkahwinan bukan lagi perkara yang main-main. Dulu, masa zaman sekolah, cinta yang terjalin itu cinta monyet semata-mata. Yang kekal daripada kecil sampai besar pun amatlah sedikit bilangannya. Sekarang, cinta itu serius, pada saya. Di sesetengah negeri, kebenaran perkahwinan diberikan kepada lelaki semuda 18 tahun dan perempuan semuda 16 tahun. Pada pandangan pemerintah Islam di negeri tersebut, umur itu dikira umur matang perkahwinan bagi penduduk di negeri tersebut.

Pesan saya, silakanlah bercinta dengan kekasihmu itu dengan syarat. Pertama, cinta itu masih berada atas landasan syariat. Kedua, cinta itu tidak membelakangkan cinta kepada Allah; dan ketiga, cinta itu tidak mengakibatkan sikap lupa keluarga, pendidik dan sahabat. Semoga Allah kekalkan pilihan hati itu sehingga Allah mengizinkan kalian melalui kehidupan bahagia dengan cinta yang sempurna.

Saya pun mahu jua bercinta dengan perempuan. Cuma, saya tidak tahu siapakah yang patut saya cintai lalu saya boleh membawanya hingga ke jinjang pelamin. Jikalau ada, saya tidak tahu diakah itu yang akan saya bawa sehingga tersimpul ikatan suci. Oleh sebab itu, pernah saya katakan kepada sahabat saya yang lain. Saya kata, jika diberi pilihan antara mencintai sahabat dengan mencintai kekasih, saya akan mencintai sahabat dahulu, barulah kekasih, kerana jalinan persahabatan (dalam hayat sebegini) lebih lama berbanding jalinan perkahwinan. Jalinan persahabatan lebih lama terjalin berbanding jalinan perkahwinan biarpun jalinan perkahwinan itu amat suci di sisi Islam. Sebab itulah saya banyak mencintai sahabat.

Saya hanya akan direstui untuk berkahwin setelah cita-cita saya tercapai kelak, InsyaAllah. Buat masa ini, perkahwinan masih terlalu awal bagi saya sebab masih berat amanah yang perlu dipikul oleh saya sebelum memikul amanah perkahwinan dan kekeluargaan. Di samping amanah sebagai ahli keluarga, saya ada amanah sebagai saudara, sahabat dan kawan. Saya juga ada amanah sebagai pelajar universiti dan sebagai pemimpin pelajar universiti. Amat sempit masa untuk berbicara tentang perkahwinan. Semua orang mahu kahwin awal. Tetapi, di balik hasrat tersebut, amanah masih banyak yang perlu dipikul. Apa pun, jodoh di tangan Allah SWT. Kita hanya berusaha sahaja.

Dalam waktu ini, saya amat mencintai sahabat kerana Allah. Saya mendahulukan cinta saya terhadap sahabat. Suatu saat, saya akan bertemu jua dengan jodoh saya yang sebenar. Semoga Allah mengurniakan jodoh dan keturunan kepada kita yang akan melangkah ke usia dewasa kelak. Amin.

0 comments:

Post a Comment