Perutusan sempena Ramadhan 1433

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang menyampaikan kita untuk melaksanakan perintahNya untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Selawat dan salam kita sembahkan ke hadrat Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabatnya yang amat mulia.

Sempena menyambut Ramadhan 1433, saya ingin mengucapkan Salam Ramadhan Kareem kepada semua ahli keluarga, sanak saudara, para pendidik, para sahabat dan semua yang mengenali diri ini. Semoga kita semua dapat memperbetulkan diri dalam Ramadhan ini dan akan menjadi insan yang lebih baik setelah Ramadhan pergi kelak.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Mari kita sama-sama ucapkan Selamat Datang (Welcome) (مرحبا) kepada bulan Ramadhan al-Mubarak, penghulu segala bulan. Bulan yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda. Bulan yang memungkinkan pesta ibadah, pesta kerahmatan dan pesta keampunan bagi umat Islam. Bulan untuk kita banyak-banyak perbetulkan diri.


Saya pernah mengungkapkan rasa tentang kedatangan Ramadhan dalam satu puisi bertajuk Ramadhan, Syahrul Mubarak.

Ramadhan, Syahrul Mubarak.
Aku kangan akan dirimu!
Kau menjelitai hayat insani
dengan rahmat dan maghfirah Ilahi
bahkan, kau hiasi kami
dengan pesta ibadah
dengan pesta ukhuwah
dengan pesta tijarah


Rabbi,
Andai saja Ramadhan ini kerianganku
kurniakanlah, hadiahkanlah
saujana barakah sesaujana ihsanMu
kerna Kau, aku, insan tahu
rapsodi ria Syahrul Mubarak
ada pada hadiahMu buat umatMu
simbol kasihMu...


Ma'asyaral Muslimin,
kiranya Ramadhan keriaan kalian
Kita hargailah bersama!
Kerna kalian tahu
Yang Agung itu masih menyayangi.


Jentayu Ramadhan hanya bertebaran
mengikut titah Tuhan
menyinarkan kasih untuk insan
Hargailah kita bersama
walau jentayu molek itu
pulang menyertai masa
akan kembali kepangkuan kita dengan izinNya.


Ramadhan, Syahrul Mubarak.
Rapsodi riang ria
seluruh umat merasa bersama
berijtihad mencari redhaNya.


(22 Ogos 2009)


Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Ramadhan menjanjikan pahala berlipat kali ganda. Ramadhan menjanjikan Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan. Allah menjanjikan semua ini untuk semua yang bersungguh-sungguh beribadah dalam bulan Ramadhan. Saya mahu mengajak diri saya dan semua untuk beriltizam dan berijtihad dalam Ramadhan ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda,

من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Barangsiapa yang beribadah di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunilah segalanya yang telah dia lakukan.

Ramadhan juga menggalakkan kita untuk lebih merasa dekat dengan al-Quran. Maklumlah, Ramadhan merupakan bulan turunnya al-Quran. Tetapi, bukan kerana itu kita digalakkan mendekati al-Quran sebagai medium ibadah. Kita digalakkan mendekati al-Quran dengan cara membacanya, memahaminya, bahkan lebih daripada itu kerana setiap huruf al-Quran yang dibacakan membawa pahala yang berlipat kali ganda.

Ramadhan juga mengajar kita untuk memperbetulkan dan memperbaiki diri. Puasa melatih kita menahan diri daripada melakukan perkara yang bersalahan dengan ibadah puasa mahupun bersalahan dengan syariat Islam. Ibadah-ibadah sunat yang lain amatlah digalakkan sebagai tambahan pahala kerana ibadah sunat di bulan Ramadhan diberi pahala setara seperti pahala ibadah wajib bahkan akan dilipatgandakan dengan izin Allah SWT.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara saudari sekalian,

Sesuai dengan peradaban negara Malaysia. Setiap kali Ramadhan tiba, pasti tiba pesta makanan dan pesta niaga. Akan adalah pasar Ramadhan sepanjang bulan Ramadhan di setiap tempat di seluruh negara. Akan adalah rancangan berunsurkan sajian sebagai persiapan untuk juadah sahur, juadah berbuka puasa dan juadah sempena Hari Raya Aidilfitri. Akan adalah jualan murah sebagai persiapan menyambut hari raya Aidilfitri. Pasti ada jualan baju raya, langsir raya dan segalanya dengan diskaun yang berpatutan dan menarik hati pelanggan. Silakan asalkan tidak lupa untuk menunaikan ibadah wajib mahupun sunat di bulan Ramadhan.

Cuma satu perkara yang saya perlu ingatkan. Ingat pada orang-orang yang memerlukan. Masih ada yang kelaparan. Masih ada yang menjadi gelandangan. Masih ada yang nasibnya amat menyayat hati di pusat kebajikan sana. Oleh itu, kepada yang mampu berzakat fitrah, berzakatlah. Kepada yang mampu bersedekah, bersedekahlah, kerana zakat dan sedekah bagi yang memerlukan itu amat berharga. Di sisi Allah, zakat dan sedekah lagilah berharga. Harganya hanya Allah SWT yang tahu. Semoga zakat mampu menyucikan harta daripada zarah-zarah kecelaan seterusnya memungkinkan kita sedar bahawa harta itu amanah Allah dan bukanlah milik kita kesemuanya. Sebahagian harta yang kita punyai mengandungi bahagian orang lain. Semoga zakat dan sedekah menggembirakan kita yang memberi dan mereka yang menerima selari dengan peribahasa Arab, "Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima." [اليد العليا خير من اليد السفلى]. Semoga zakat dan sedekah dihargai dan direstui Allah.

Jangan terlalu awal menantikan Aidilfitri. Ada sesetengah golongan menantikan Aidilfitri di waktu Ramadhan baru sahaja berkunjung dalam catatan harian. Seawal 1 Ramadhan, lagu raya dikumandangkan sedang fajar Ramadhan baru sahaja menyinsing. Persiapan menyambutnya, jika dilakukan seawalnya, tidak salah. Cuma, harap kita beringat dahulu bahawa sempadan Ramadhan masih jauh dan banyak cabaran. Namun, kita raikanlah Aidilfitri apabila kita hampir di hujung Ramadhan dalam waktu kita sedar bahawa kita sudah melaksanakan yang terbaik untuk Ramadhan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Fajar Ramadhan akan menyinsing di waktu anak bulan Ramadhan sudah muncul kelihatan, terlihat oleh para orang kanan kerajaan negara yang meneropongnya dan yang memaklumkannya di kaca televisyen juga di corong radio. Semoga kita semua sudah bersedia untuk menghadapi Ramadhan yang serba mencabar dan menduga ini. Kita mohon pada Allah SWT supaya Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk bersungguh-sungguh berbuat baik dan beribadah di bulan Ramadhan.

Salam Ramadhan Kareem kepada semua Muslimin dan Muslimat khususnya yang mengenali diri ini.

Wassalam.

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
Petaling Jaya, Selangor
18 Julai 2012

Comments