Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Peringkat Kebangsaan 2012

Syukur, Alhamdulillah. Saya gembira mendengarkan berita bahawa wakil Sabah, Suhardi Hablee dan Muaz Mingu dari SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS), Kota Kinabalu, Sabah, menjuarai Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket (PTPR) Peringkat Kebangsaan 2012 yang baru sahaja berlangsung pada 13-15 Julai yang lalu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Atas nama saya, saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berkenaan.

Sebenarnya kontinjen SMKA TUNAS yang mewakili Sabah ke PTPR hampir setiap tahun menghadapi banyak rintangan dan dugaan. Saya tidak mampu bercerita mengenainya kerana hanya mereka yang lebih tahu tentang jerih-perih perjuangan mereka, dan Allah lebih tahu. Tambahan pula, saya ada jalan perjuangan yang berlainan dan berasingan. Saya hanya mampu menceritakan rentetan sejarah yang diceritakan oleh seorang pendidik yang sudah sebati dengannya. Sejarahnya amat panjang. Apresiasi untuk mereka yang melakar sejarah ini.


Perjuangan yang sebegini bermula pada tahun 2004. Pada penyertaan pertama, memang mereka tidak mendapat sebarang tempat. Pada tahun 2005, dalam kalangan 45 buah sekolah yang bertanding, merekalah yang ke-6. Lanjutan daripada itu, pada tahun 2007 dan 2008, mereka mendapat tempat ketiga. 


2009 adalah tahun yang signifikan. Pejuang roket menyertai Kem Aeroangkasa Peringkat Kebangsaan. Mereka mendapat tempat kedua dalam kem tersebut dan mendapat hadiah payung terjun (parachute) terbaik. Mereka, pada tahun selepasnya, menerima hadiah pembentangan terbaik; dan tempat ke-4 serta hadiah payung terjun terbaik, tahun lepas. Namun, tahun 2012 adalah tahun tuah buat SMKA TUNAS apabila berita ini sampai ke telinga sekolah itu sendiri, daripada Pengetuanya sampailah kepada bekas pelajarnya.

Sepanjang ingatan saya, peraturan PTPR berubah hampir setiap tahun. Pun begitu, semangat SMKA TUNAS tidaklah gentar dan mereka tetap meneruskan cabaran menyertai pertandingan tersebut. Allah dengar doa warga SMKA TUNAS yang ini. Akhirnya, Allah kabulkan.

Baru tadi, di kelas, pensyarah saya, Ustaz Mohd. Syauqi Mat Zahir, yang mengajar Tema Asas al-Quran, menerangkan bahawa Allah tidak pernah lupa doa kita walaupun doa itu kita bacakan sudah berbelas tahun lalu. Ilmu Allah adalah ilmu yang paling mutlak dan paling mantap. Itulah Allah SWT.

Ibrahnya di sini adalah manusia harus berdoa di setiap waktu. Jangan kecewa kerana Allah tahu permintaan kita meski kita sudah banyak berusaha untuknya. Namun begitu, ingat, adalah menjadi hak Allah untuk mengabulkannya secepatnya atau tidak.

Allah makbulkan permintaan agar SMKA TUNAS berjaya dalam PTPR Kebangsaan 2012. Alhamdulillah. Tahniah sekali lagi buat mereka yang berjaya mengharumkan nama SEMAI/TUNAS dan Sabah dalam PTPR 2012. Khabarnya mereka akan mewakili Malaysia dalam PTPR Antarabangsa. Menurut seorang sahabat, Malaysia adalah tuan rumah untuknya. (Saya perlu dapatkan kepastian mengenainya).

Selamat maju jaya kepada yang berkenaan.

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
16 Julai 2012

Comments