Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah SeMalaysia 2012

Saya menjejak kaki ke SMKA Kuala Selangor (SMKAKS), Selangor, lebih kurang jam 12.40 tengahari. Saya keluar dari SMKA Kuala Selangor itu kurang 2 jam kemudian selepas saya mengimamkan solat jamak qasar Zohor dan Asar untuk warga Sabah. Walaupun saya tinggal di Petaling Jaya, saya tetap bersolat jamak dan qasar kerana sedar bahawa perjalanan saya hari ini, jaraknya lebih 2 marhalah. Apa tidaknya, saya dari Petaling Jaya pergi ke Kuala Lumpur, mengambil bas, pergi ke Kuala Selangor, berpusing semula ke Klang, pulang sebentar ke Kuala Lumpur semula dan akhirnya pulang ke Seremban. Saya rasa perjalanan saya hari ini jaraknya 3 marhalah atau lebih sedikit daripada itu.

Sesampai saya di tempat itu. Saya perasan. Hami Hamizul seakan tergamam bila ternampak diri ini yang memakai kad matrik pelajar dan baju ungu. Bertemulah kami di sini. Dialah yang pertama saya temui di SMKAKS itu. Kemudiannya Shahid, sahabatnya.

Bertemu tak lama. Masa mencemburui. Tetapi hati amat senang sebab dia yang tidak saya jangka berada di situ, saya temuinya. Melihat wajah remajanya, terkenang sebuah memori lalu.

Saya hanya bertemu dengan sahabat-sahabat, perwakilan Sabah di Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah (MISS) Peringkat Kebangsaan 2/2012, setelah bertemu mereka berdua. Saya masih ingat itu mereka. Sabri, Umar Kamil, Anas, Adib, Zaznizam, Ahmad Amri, Syed Ridzuan (SMKA Tun Ahmadshah), Noor Syukri dan Rifqi (SMKA Kota Kinabalu). Tidak dilupakan, Ustaz Hafizy yang pernah mendidik diri ini kemahiran al-Quran. Saya tidak berkesempatan untuk menemui Ustaz Amir Hussin yang turut mendidik diri ini kemahiran al-Quran.

Saya hanya menyusul pergi sebelum mereka melancong ke Bukit Melawati tanpa saya merakam sebarang kenangan dengan mereka. Saya akan menyusul ke sana suatu hari kelak, InsyaAllah.

Saya mencari Suhardi dan Muaz yang turut menyertai MISS Kebangsaan. Cuma, sayang, mereka berada di UM. Mereka menyertai Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket (PTPR) Peringkat Kebangsaan di UM.

Kalau berkesempatan, saya bertemu pula mereka. Harap berkesempatan.

Tentang MISS Kebangsaan 2012, saya tidak dapat berkata apa-apa. Namun, menurut Hami Hamizul, saingan dalam acara Kalimatus Sobah (Menengah Atas) sahaja dilihat sengit dengan kehadiran 2 orang peserta yang pernah menjadi Pendebat Terbaik keseluruhan dalam Debat Bahasa Arab Sekolah-sekolah SeMalaysia.

Pada pandangan saya, persaingan dalam MISS Kebangsaan, semakin tahun, semakin sengit kerana kemahiran peserta dalam sesuatu acara dalam MISS semakin berkembang.

Bagi saya, jikalau saya masih dalam MISS, kemenangan bukan yang pertama saya angkasakan sebagai harapan. Yang pertama adalah penguasaan dalam sesuatu kemahiran. Bagi yang menyertai acara Bahasa Arab, semoga dengan penyertaan dalam MISS, penguasaan dalam Bahasa Arab meningkat. Begitulah juga dengan penguasaan dalam subjek Kemahiran al-Quran, Syariah, Pengajian al-Quran dan as-Sunnah serta Pendidikan Islam.

Saya ucapkan tahniah kepada semua yang menyertai MISS Kebangsaan 2/2012 kali ini. Saya percaya kalian sudah buat yang terbaik.

Saya, sebagai pemerhati daripada Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM), beruntung dapat berkunjung ke MISS Kebangsaan 2/2012 di SMKA Kuala Selangor, Selangor, walaupun masa amat mencemburui. Sudahlah lama saya berjalan dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor, sebentar sahaja pula saya berada di Kuala Selangor yang jauhnya sekitar 60 kilometer dari Kuala Lumpur.

Kalau ikutkan perasaan yang asal, memang saya gembira sebab bertemu mereka semua, dan sedih kerana berpisah. Cuma, oleh sebab masa mencemburui, saya kurang menjiwai perasaan itu. Saya mahu mereka bersenang dalam berjuang walaupun pada hakikatnya perjuangan itu payah.

Saya ucapkan salam sayang dan selamat maju jaya buat semua yang terlibat dalam MISS Kebangsaan 2/2012, khususnya sahabat-sahabat tersayang dari Sabah dan Sarawak.

Kita laungkan Allahu Akbar, Allah Maha Besar
Seiring sehaluan, satu cita dan impian
Susah dan senang kita tempuhi bersama
Bertemu, berpisah kerana Allah.

Ya Allah, kuatkanlah ikatan persaudaraan antara kami. Kekalkanlah kasih sayang antara kami. Amin.

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN
Naib Setiausaha, Jawatankuasa Perwakilan Mahallah
Mahallah Abu Bakar, UIAM
Petaling Jaya, Selangor.

14 Julai 2012

Dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Klang
(Jalan Kapar, Klang, Selangor.)
Sabtu, 14 Julai 2012, jam 3.52 petang.

Comments