Dirgahayu, TUNAS International

Susulan kejayaan yang dilakar oleh sahabat kita, Suhardi Hablee dan Muaz Mingu, bersama jurulatih mereka, Pn. Hartini Asimin. SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS) sekali lagi melonjakkan nama di persada antarabangsa. Dirgahayu TUNAS International.

Semenjak saya mengenali mereka berdua, saya sudah jangkakan bahawa mereka adalah yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, mereka berdua mendapat semua A. Begitulah jua dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011. Masing-masing aktif dalam bidang kokurikulum semenjak menyertai SMKA TUNAS. Akhirnya, mereka lebih baik daripada kita. Kejayaan mereka memungkinkan TUNAS diantarabangsakan sekali lagi. Pada saya, jenama TUNAS International layak untuk mereka meskipun mereka hanyalah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Baru-baru ini, Pengetua TUNAS, Dr. Mohd. Kassim Tusin, mengiktiraf mereka berdua sebagai ikon negara dan antarabangsa atas kejayaan mereka mencipta nama di pentas nusa dan nanti membawa nama Persekutuan Malaysia ke astaka antarabangsa. TUNAS telah pun mengiktiraf mereka. Rentetan kejayaan tersebut, TUNAS telah menulis 3 artikel (termasuk kenyataan rasmi Pengetua) mengenai perkara ini. Hal ini menggambarkan betapa mereka gembira dan terharu dengan kejayaan yang digapai mereka dalam bidang kokurikulum sains. Saya ingin turut sama bergembira atas kejayaan ini. Suatu perutusan telah saya hantarkan secara rasminya minggu lepas (21 Julai).

Seingat saya, sebelum ini, TUNAS pernah diantarabangsakan oleh Pengetua terdahulu, Ust. Idrus Abdul Rahman, apabila TUNAS menandatangani kerjasama dengan British Council sehingga TUNAS berjaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan sebuah sekolah di United Kingdom. TUNAS juga pernah menyertai aktiviti dengan Pertubuhan Sains, Kebudayaan dan Pendidikan Bangsa-bangsa Bersatu
(UNESCO) beberapa tahun lepas juga melalui penyertaan Ustaz Idrus.

Berdasarkan fakta ini, saya lebih suka untuk memperkatakan bahawa TUNAS International sekali lagi melonjakkan namanya di persada antarabangsa. Usaha ini dilihat menjadi pemudahcara kepada usaha untuk menjadikan TUNAS sebagai sebuah sekolah berprestasi tinggi (SBT) menjelang tahun 2016. Pada pandangan saya, TUNAS (sebelum menjadi SBT) sudah sesuai untuk menjadi Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dengan kebitaraan dalam subjek Sains dan aktiviti teknologi pelancaran roket. Saya rasa perkara ini perlu diusulkan pada tahun hadapan untuk membuktikan bahawa TUNAS adalah SMKA yang paling cemerlang di Sabah dan seterusnya membuktikan bahawa TUNAS sudah pun berada dalam fasa pengantarabangsaan.

Dirgahayu, TUNAS International.

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
Naib Setiausaha, Jawatankuasa Perwakilan Mahallah Abu Bakar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Petaling Jaya

26 Julai 2012

Comments