Dekat Padamu Setelah 3 Tahun

Setelah 3 tahun, tadi, sempena 3 tahun persahabatan saya dengan SMKA Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ), Kuching, Sarawak, saya bertemu semula dengan sahabat saya, Izzul Izzat Thalasa, di Kolej MARA Seremban dekat Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau kini mengikuti program International Baccalaureate (IB), pengkhususan Perubatan di situ selama 2 tahun. Tahun sudah, beliau merupakan Ketua Pelajar TUNAZ.

Izzul Izzat yang terkini (2012)
Pertemuan itu tidaklah terlalu terancang memandangkan masa terlalu singkat. Saya hanya sempat menghantar notis singkat (short notice) untuk memaklumkan kedatangan saya (yang pada waktu itu bermalam di Kepayang, Seremban) ke sana. Pun begitu, syukur, Alhamdulillah. Saya berjaya bertemunya di kala beliau baru sahaja seminggu bermukim di Seremban dan di kala beliau masih sibuk berprogram.

Saya perasan beliau banyak berubah setelah 3 tahun tak bersua. Jikalau dihubungi, hanya sempat membaca berita dan mendengar suara. Tak pernah pun bersua lagi dengan orangnya melainkan pada waktu yang tadi. Memang beliau banyak berubah. Terus terang saya katakan, beliau memang banyak berubah. Hampir-hampir tidak kenal walhal itulah Izzul Izzat yang saya kasihi.

Izzul Izzat (2 dari kanan) yang dahulu (2009)
Dahulunya beliau jarang memakai kaca mata. Sekarang, kaca mata, bagi Izzul, adalah suatu keperluan. Dahulunya beliau kecil, sekarang beliau sudah besar. Seolah-olah beliau seorang bapa. Beliau yang 3 tahun sudah dengan yang kini amat berbeza. Begitulah seorang saya ini, baginya. Beliau kata saya matang walhal saya kurang merasa bahawa saya matang kerana saya masih rasa saya ini budak-budak. Saya yang 3 tahun sudah dengan yang kini pun berbeza.

Namun begitu, apabila ditanyakan tentang kepandaian, beliau hari ini mengingatkan saya bahawa kita sama. Kita sama. Sama sahaja kita ini. Saya turut bertanya tentang keluarga. Rupanya kami sama. Kami adalah anak ke-2 daripada 3 orang adik-beradik. Tinggal lagi saya seniornya sebulan, yakni lahir pada 13 Jun.

Saya mendatangi beliau tadi atas dua simbolik secara kebetulan. Pertama, sebagai meraikan ulangtahunnya yang ke-18 (14 Julai). Kedua, sebagai meraikan 3 tahun persahabatan saya dengan TUNAZ.

Saya berhasrat untuk menemuinya sekali lagi dalam waktu terdekat. Sebagai sahabat, saya amat menghargai pertemuan itu setelah 3 tahun perpisahan. Saya harap Allah izinkannya sekali lagi di waktu lain yang terdekat.

Comments