Yang Mahu Mengejutkan Dikejutkan

Hafiz dan saya di
Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.
(Foto: Muhamad Hafiz Ramlee)
"Kita berpisah di sana, bertemu di sini."

Di Midvalley Megamall, begitulah kata bos saya, sahabat saya yang tercinta.

Sekitar jam 3.00 petang tadi, ketika melalui Kafe E menuju ke blok SMAWP 3. Seorang pelajar perempuan (sister) bagitahu saya bahawa pensyarah Bahasa Inggeris yang sepatutnya mengajar waktu itu kurang sihat. Maka, saya dengan tidak semena-mena terus berjalan keluar dari kampus dengan izin.

Keluar dengan izin bermaksud keluar seketika ke sesuatu tempat dengan mengenakan pakaian yang bersesuaian berserta kad matrik.

Seperti biasa. Kalau mahu keluar, saya kena cari bas ke Stesen LRT Universiti dekat Kerinchi, Kuala Lumpur. Stesen itu dengan kampus saya yang sebelah sini jauhnya hanya sekitar 3 kilometer. Tujuan saya waktu itu adalah untuk ke Stesen Monorel Tun Sambanthan, tak jauh dari KL Sentral.

Lanjutannya, saya mahu ke Wisma Belia di Jalan Syed Putra. Saya sampai di sana sekitar 20 hingga 30 minit selepas sampai di Stesen Monorel Tun Sambanthan. Sesampai saya di sana, saya perasan ada perkumpulan di sebelah kanan berhadapan dengan kaunter meja depan (reception/front office) dan saya belok ke sebelah kiri waktu itu. Rupa-rupanya...

"Muizz!"

Saya yang terkejut, bukannya dia. Toleh belakang, itu dia!

Saya perkenalkan bos saya juga sahabat saya, Muhamad Hafiz Ramlee, penduduk Kota Belud, Sabah. Berasal dari Kuala Lipis, Pahang. Senior saya dua bulan. Lahirnya pada 11 April dan saya pada 13 Jun. Pernah sekelas sekejap sebelum saya bertukar jurusan.

Dulu, dalam Kelab Koperasi sekolah, saya setiausahanya; dalam Bulan Sabit Merah sekolah, saya juniornya; dalam aktiviti Bahasa Arab di sekolah, sayalah fasilitatornya. Dalam beberapa waktu, dialah pula fasilitator saya.

Sepatutnya saya datang menjenguknya di Wisma Belia, Kuala Lumpur, dalam keadaan memang dia tidak patut tahu bahawa saya datang. Saya fikir saya mendatanginya waktu dia ada sebarang program. Sebaliknya rupanya. Dia hanya menunggu waktu untuk memasuki Kolej Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), mengaji A-Level, mulai hari pertama Julai ini.

Semoga sukses yang berikutnya mendatanginya setelah dia sukses untuk ditaja oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) yang dinaungi oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri; sebab saya tahu dia lebih baik daripada saya.

Sepatutnya sepanjang petang hingga malam, saya santai. Syukur, Alhamdulillah. Tadi itu kiranya memang waktu santai. Cuma, tadi, saya terkejar dengan 2 buah aktiviti yang akan diadakan di kampus dan melibatkan saya, iaitu taklimat program Perkumpulan Ukhuwwah Persatuan Pelajar Asasi Bahasa Arab (BARSS) dan Kursus Induksi anjuran Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PEERS).

Bersama kami tadi ada dua orang yang lain turut sama berjalan.

Saya tadi tidak merancang pun untuk ke Midvalley Megamall. Saya hanya merancang untuk bertemu dengannya dalam keadaan dia tidak tahu bahawa saya akan datang. Rupanya, dia yang pada waktu itu tengah duduk bermain telefon bimbitnya bersama teman-temannya yang lain, tetap tahu. Dari belakang, dia tahu itu saya.

Kebetulan macam terbaca hasrat dari hati bahawa dia mahu ke Midvalley Megamall walaupun dalam keadaan dia (pada waktu itu) sibuk bertelefon dengan seseorang yang turut saya kenali. (Waktu lain, Tuhan saja yang tahu.)

Kami sempatlah jua merakam kenangan di Midvalley Megamall itu tadi. Saya harap peristiwa itu kekal dalam kenangan.

Sebenarnya, untuk bertemunya kembali, nampak senang tetapi payah. Yang di permulaan tadi, itu katanya. Benar, dahulu di Tuaran (sekitar bulan April yang lalu) kami bertemu dan berpisah seketika. Rupanya, di sini (Lembah Klang), kami bertemu semula. Cukuplah untuk seketika. Seketika yang lain pula kami bertemu, mogakan.

Terima kasih, Allah.

Mahallah Abu Bakar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Sabtu, 30 Jun 2012, jam 1.34 pagi.

Comments