Ujian dalam Waktu Baru

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang memberikan pelbagai ujian kepada hambaNya untuk mengukur nilai keimanan hamba-hambaNya. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabatnya yang dimuliakan.

Hidup di universiti dengan hidup di sekolah amatlah berbeza. Yang pasti, mahasiswa baru universiti akan menempuh cabaran demi cabaran yang baru sehinggalah mahasiswa universiti mampu membiasakan diri dengan kehidupan di universiti.

Dalam universiti, wang sentiasa tidak mencukupi, terutamanya pada ketika seseorang tidak atau belum menerima wang tajaan daripada penaja sama ada daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta mahupun badan bukan kerajaan. Jikalau di kampus saya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Asasi Petaling Jaya, Selangor, mungkin duit cukup sebab kos makan minum untuk seorang mahasiswa di UIAM Petaling Jaya hanya berjumlah sekitar RM 15 sehari, itu pun bergantung kepada pengendali makanan di sesuatu kolej kediaman. Mungkin di kolej lain, belanja makan minum berjumlah lebih dari itu tetapi tidak melebihi RM 20 sehari. Tetapi, duit sudah tidak cukup kerana wang tajaan (Biasiswa Asasi Kementerian Pengajian Tinggi) sedang diproses dan hanya akan dimasukkan selewat-lewatnya 29 Julai ini. Belanja yang saya terima daripada keluarga hanya cukup untuk makan minum tetapi tidak cukup untuk membeli alat tulis, buku dan barang keperluan lain sedangkan barang-barang tersebut perlu dibeli untuk dipakai, terutamanya apabila berada dalam sesi kuliah. Walaupun keluarga saya berpendapatan sederhana, namun kehidupan boleh dikirakan sebagai berada dalam tahap kemiskinan. Beruntunglah bagi yang pandai berjimat dengan caranya yang tersendiri. Pun begitu, belanja masih tinggi masa kini sehinggalah biasiswa dikreditkan ke dalam akaun. Kepada yang benar-benar kesulitan wang, Jabatan Hal Ehwal Pelajar atau Pejabat Kolej Kediaman ada penyelesaiannya yang tersendiri. Mungkin wang kebajikan boleh diberi, itu pun jika memenuhi syarat kelayakan.

Jadual belajar universiti tidaklah sepadat jadual belajar sekolah. Saya hanya belajar 24 jam, 5 hari seminggu. Jikalau di sekolah, jadualnya sekitar 30 jam, 5 hari seminggu, dan mungkin lebih dari itu. Yang sulitnya adalah pada waktu sesuatu subjek terlibat dalam pertembungan jadual dan masalah susunan kumpulan subjek. Jika masalah ini berlaku, sila jumpa penasihat akademik atau penyusun jadual belajar. Jika tidak, kita yang terima padahnya walaupun perkara itu berlaku akibat kesilapan orang lain.

Hidup di universiti adalah antara hidup yang boleh dikira bebas. Kolej kediaman tidak ada warden. Cuma kolej kediaman hanya ada Pengetua dan felo. Felo kolej kediaman tidak sama fungsinya dengan warden asrama. Jika ada masalah berlaku, boleh cari felo. Tetapi, dalam kehidupan di kolej kediaman, felo hanya memantau, tidaklah seperti warden yang memantau dan mengawal. Felo mengawal juga pelajar, tetapi tidaklah setegas warden asrama. Penduduk kolej kediaman bebas keluar masuk kampus, tetapi universiti masih ada peraturan.

Comments