Sempena 18 Tahun

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT yang menjadikan kita sebagai manusia di samping memberi kita nikmat kehidupan di dunia.

Saya menghargai dan berterima kasih atas dorongan, sokongan dan doa sepanjang 18 tahun kehidupan saya. Kepada ayahbonda, kaum keluarga, sanak saudara, para pendidik, sahabat-sahabat dan semua yang mengenali diri ini, terima kasih saya ucapkan.

Pasti bukan mudah bagi kita untuk hidup selama 18 tahun, juga lebih dari itu. Umur kehidupan kita adalah ketentuan Allah SWT. Urusan umur kita serahkan terus kepada Allah SWT kerana umur itu hak mutlakNya. Pun begitu, semoga umur yang Allah SWT berikan, kita manfaatkan ke arah kebaikan dan untuk memperbaiki diri kerana kita sedar kita tidaklah sempurna. Maha Sempurna Allah.

Saya telah menempuhi banyak cabaran dan dugaan sepanjang 18 tahun berhidup di atas dunia. Ada suatu masa kita mahu mati kerana kehidupan di dunia amatlah tidak berguna. Akan tetapi, adalah haram untuk membunuh diri lagikan berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada suatu masa kita perlu sedar bahawa kita akan mati. Maka, kita perbeulkan diri sendiri di samping memperkayakan diri dengan amal kebaikan sebagai bekalan menuju akhirat nanti.

Saya pernah jadi orang baik, mungkin terbaik pada mata orang lain. Saya juga pernah menjadi orang yang teruk, mungkin amat teruk pada orang lain. Pada saya, seorang insan ada kelebihan dan kebaikannya dan seorang insan ada keburukan dan kekurangannya. Beginilah. Yang buruk kita cantikkan, yang kurang kita tambah-tambahkan. Yang lebih, kita kekalkan atau kurangkan sedikit, dan yang baik kita teruskan dan tambahkan.

Sempena umur baru nanti, saya berazam untuk terus menjadi insan yang baik, berjaya mencapai cita-cita dan diredhai Allah. Begitulah jua azam kalian, mogakan. Kita tidak ada apa-apa azam melainkan azam agar tercapai cita-cita dunia dan mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Akhirnya, setiap yang hidup pasti bertambah usianya. Usia semakin panjang, kematian semakin hampir. Semoga Allah merestui kita semua di mana jua kita berada. Amin.

Terima kasih kerana menerima diri ini (yang sebenarnya biasa-biasa sahaja dan tiada apa-apa) seadanya.

Comments