Saturday, 9 June 2012

Petaling Jaya di Sebelah Sini

Ku biar kalam berbicara
menghurai maksudnya di jiwa
agar mudah ku mengerti
segala yang terjadi
sudah suratan Ilahi.

Frasa-frasa ala-ala puitis ini bermain di minda.

Tuhan, betapa sucinya kasihMu; betapa agungnya kebesaranMu.

Aku dan yang lain terutus ke bandaraya Petaling Jaya di wilayah Darul Ehsan, wilayah kedaulatan Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kampus Petaling Jaya.

Mengimbau sirah masa lalu mengenai sebelah sini. Dulunya, inilah berasal tanah sebelah sini di Jalan Universiti. Kampus asal. Di sinilah hajat Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) tercapai.

Hari itu, TV3 yang duduk di Bandar Utama di bandaraya sebelah sini membawa seorang Menteri Negara Gambia mengimbau memori halwanya di sini. Tempoh hari, beliau adalah Hakim Mahkamah Rayuan di watannya yang serba sederhana. Kini, Tuan Yang Terutama Presiden mengangkatnya menjadi Menteri Kehakiman di Gambia.

Mendengarkan falahnya seorang beliau, Yang Berhormat Yang Amat Arif, sesiapa yang menteladaninya pasti akan mahu menjadi sepertinya.

Pengajian Undang-undang masih bertapak di sini. Cuma, tanah ini digazetkan sebagai Pusat Asasi UIAM yang dipimpin oleh Pak Dekan. Aku di sebelah sinilah mengaji Bahasa Arab.

Semua mahasiswa asasi mengaji di sebelah sini, kecuali mahasiswa Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan yang menuntut di kehutanan Gombak, Kuala Lumpur, sana.

Dulunya sebelah sini adalah Kolej Islam Malaya, sebuah institut pengajian tinggi (IPT) yang diamanahkan kepada Raja-raja Melayu. Kolej itu sudah tiada. Namun, kolej itu diadakan balik secara tidak rasmi oleh Majlis Raja-raja dengan nama Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM). Kampus baru sedang diteroka di sekitar Lembah Klang. Menteri dipohon oleh Raja-raja Melayu untuk menarafkan MUIM sama ada sebagai IPT awam atau swasta.

MUIM, Kolej Islam Malaya yang baru, lebih aku sukai kiranya dijadikan IPT awam. Bukan sekadar untuk mengembalikan sinaran lama kolej tersebut yang sudah gelap kehitaman, tetapi untuk menjunjung duli Raja-raja Melayu, ketua-ketua besar dalam negara DiRaja Malaysia sebagai ketua agama Islam.

Semua bangunannya adalah bangunan lama. Yang terkini aku perasan adalah Kolej Zainab al-Jahsyi. Kamsis wanita. Satu lagi, mungkin, Kolej Khadijah, juga kamsis wanita.

Yang melalu Pejabat Yang Mulia Dekan. “Assalamualaikum, Pak Dekan. Tuan apa habaq? Kaif al-hal? How do you do, sir?” Cuma, amat terhad bagi warga sini untuk bertembung dengannya. Maklumlah, beliau itu Profesor Madya. Dekan lagi itu.

Masuk ke tanah sebelah sini. Aku gembira – sujud syukur. Bukan mudah untuk diterima masuk di sini. Aku sedih – famili, guru, sahabat, tanah air sudah kejauhan lebih dari seribu batu. Aku terharu – bertuahnya aku dan mereka di sini.

Begitulah aku. Yang lain jua.

Saat ini, aku bermukim di Kolej Abu Bakar, bangunan kolej kediaman 4 tingkat yang serba lama tetapi masih selesa dan selamat untuk diduduki. Bilik 420. Tingkat yang a’ala.

Bersama aku serumah di sini, aku cuba ceritakan.

Shafiq Hasbollah. Mohd. Shafiq Hasbollah yang pernah aku senaraikan sebagai Orang Yang 15 bagiku. Pada julung kali multaqa’ kami dengan yang lain, bila kami berdua ada, kami sama sekolah. Kami sama daerah. Mukim sahaja yang berbeda. Penduanya. Syafiq Daud. Mantan warga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Yang bersama berjuangku ada jua di sini. Ada seorang Afif, seorang Aus Hijri dan seorang Syahir. Sama-sama berusaha untuk mendaulatkan bahasa syurga.

Aku gembira untuk bersama mereka dan yang lain yang semanzil denganku – Amir Fauzan, Arash, Arif Jamil, Hafizuddin Sobri, Hanif Jaafar dan Razak Alias.

Aku pun ada pendua di sini. Putera Muhammad Muizz. Duduk dalam jurusan yang sama denganku, bahasa warga Islam.

Bersama denganku sekampus di sini ada beberapa insan. Firman, Awang Mohd. Ashraffarhan, Amirul Ashraf, Abdul Qayyum, Fuad Fauzi, Daniel dan Nurul Zaimah. Setakat ingatanku, ini sahajalah.

Aku bukanlah suka-suka mahu bercerita tentang sang insani sebelah sini. Syukur, Alhamdulillah, kebetulan aku dapat bertemu mereka. Bukan senang mereka dicari kerana ada ribuan manusia berkampung di 6 buah kolej di sini.

Kalaupun berjamaah di Masjid Kolej Islam Malaya milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan diuruskan oleh Pertubuhan Kemajuan Islam Malaysia (PERKIM), bukan mudah orang itu dicari dan ditemui.

Cuma, harapanku, yang aku bai’ahkan bersama yang lain akan cuba terlaksana secara progresif dan efektif. Di sini, aku mahu mewasilkan dan melestari silaturrahim. Juga aku mahu menuntut ilmu.

Biar wisma itu lama asal hati sentiasa berubah baru.

Bagaimana Petaling Jaya menjadi bandaraya, bandar hati hendaklah lebih maju dari bandaraya dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Bilik 420, Mahallah Abu Bakar, UIAM, Petaling Jaya, Selangor.
Rabu, 6 Jun 2012, jam 12.32 tengah malam.

0 comments:

Post a Comment