Permulaan bagi Debat Bahasa Arab Pusat Asasi UIAM

Saya ucapkan tahniah kepada semua warga Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) yang telah mendaftarkan diri menjadi ahli Kelab Debat Bahasa Arab (ADC) dan yang telah berjaya menghadiri Sidang Khas (Demo) Debat Bahasa Arab di Dewan Kuliah A CFS sebentar tadi. ADC berbangga kerana mempunyai ahli terkini yang ramai dan ahli-ahli lama yang telah berjaya dalam bidang masing-masing berbantukan aktiviti debat Bahasa Arab.

Terima kasih saya ucapkan kepada Penasihat ADC CFS, Ustaz Hassan Ahmad Hassan Haggag, kerana menawarkan saya peranan yang penting sebentar tadi, iaitu untuk menjadi Speaker Parlimen. Terima kasih jua kepada pensyarah dan ahli Jawatankuasa ADC kerana menerima saya menjadi Speaker Parlimen sebentar tadi. Cuma, saya ingin meminta maaf kepada semua kerana saya hari ini terlebih tinggi semangat yang saya ada sehingga debat tadi hampir hilang kawalan. Saya juga minta maaf kerana buat lawak bodoh dan perilaku yang saya rasa keterlaluan sebentar tadi. Begitu juga atas silap lain, saya minta maaf jua. Saya, pelajar tahun pertama jurusan Bahasa Arab, baru pertama kali mempengerusikan debat yang melibatkan pelajar tahun dua di pelbagai jurusan di CFS IIUM. Apapun, Alhamdulillah, debat itu tadi tetap berjalan dengan lancar dan hasilnya menarik.

Antara komen yang saya terima sebagai Speaker Parlimen sebentar tadi termasuklah tentang cara pengendalian yang dilihat masih baik cuma kurang memuaskan, tentang keberanian untuk mengendalikan debat dan tentang kekurangan kosa kata. Terus terang saya katakan. Saya terlalu bersemangat sehinggakan saya hampir hilang kawalan terhadap perdebatan itu tadi. Cuma, syukur, Alhamdulillah, debat yang menampilkan usul "Facebook Mendatangkan Lebih Banyak Keburukan berbanding Kebaikan" terkawal. Cuma yang kurang terkawal sedikit adalah saya, Speaker Parlimen, dan seorang dua dari kalangan pendebat yang senior daripada saya. Untuk mempengerusikan debat itu tadi, saya perlu berfikir dan mencari dahulu kosa kata bahasa Arab yang masih ada di minda untuk saya katakan dalam debat itu tadi. Saya sudah lama meninggalkan debat Bahasa Arab. Setahun. Pun begitu, saya rasa saya beruntung apabila mendengarkan bahawa ADC akan mengadakan latihan sekali dua seminggu. Saya mahu dan perlu belajar semula dan ulangkaji semula tentang teknik dan pengendalian debat Bahasa Arab sama ada saya menjadi pendebat mahupun saya menjadi Speaker Parlimen.

Perdebatan tadi amat menarik dan menyeronokkan. Cuma, saya harap pada diri saya dan semua agar kesalahan tatabahasa dapat diminimakan dan penggunaan kosa kata dapat dimaksimakan. Kefasihan dalam kalangan kita masih perlu ditambahbaik. Seorang pendebat perlu fasih dalam berkata-kata walaupun pada hakikatnya kita, warga Malaysia, tidaklah sefasih orang Arab dalam bertutur bahasa Arab. Pun begitu, jangan risau. ADC ditubuhkan sebagai satu inisiatif untuk membolehkan warga UIAM bertutur bahasa Arab dengan lebih fasih dan berani di samping melatih ahli untuk mempertahankan sesuatu pendapat.

Pada saya, tahap kefasihan bahasa Arab yang paling tinggi dalam kalangan orang Malaysia hanyalah pada kadar 85 hingga 90 peratus. Kefasihan tahap ini hanya wujud dalam kalangan warga Malaysia yang pernah menuntut di negara Arab dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab. Yang fasih pada tahap ini biasanya akan menjadi guru, pensyarah juga penterjemah bahasa Arab.

Pengisian usul amat menarik dan mencakupi peraturan debat. (Dalam Parlimen, peraturan debat disebut sebagai Peraturan Mesyuarat atau Parliament Standing Order.) Sepanjang ingatan saya, barisan kerajaan membangkitkan isu kelalaian dalam menggunakan Facebook, manakala barisan pembangkang membangkitkan isu Facebook sebagai medan dakwah. Teknik perdebatan juga masih baik walaupun masih berlaku beberapa kesilapan dalam teknikal perdebatan. Namun begitu, perlu saya ingatkan diri saya dan semua bahawa dalam debat Bahasa Arab, masa yang diberikan adalah 7 minit. Izin laluan (point of information, POI) hanya dibenarkan pada minit ke-2 hingga minit ke-6.

Setakat ingatan saya, inilah komentar saya sebagai Speaker Parlimen Moot (olok-olok) sebentar tadi. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan ADC dan Demo Debat Bahasa Arab itu tadi. Minta maaf atas kesilapan dan kekurangan. Saya manusia seperti kalian. Lagipun, saya masih baru (newbie) dalam ADC. Saya bukan orang yang hebat (expert) dalam debat ini. Setakat yang saya tahu, itulah yang saya amalkan; selebihnya, saya masih mahu belajar. Tadi, keberanianlah yang mendorong saya yang masih baru ini untuk menjadi penengah dalam debat itu tadi.

Sebelum terlupa, sengaja saya mulakan debat dengan satu ayat al-Quran untuk memaknakan perdebatan itu sendiri. Tidak semua orang terpilih dan diberi kuasa untuk mengatakan dan mempertahankan sesuatu perkara. Debat ini bayangan bagi sebuah institusi perundangan yang mulia seperti Parlimen yang mengandungi Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Institusi perundangan dikurniakan kuasa. Pendebatnya memiliki kuasa. Speaker jua mempunyai kuasa. Tetapi, perlu diingat, kuasa itu pemberian Allah SWT yang boleh diberikan kepada sebarang insan dan boleh ditarik balik daripada sebarang orang yang memilikinya. Akhirnya, saya akhiri dengan Tahmid yang menunjukkan bahawa Allah yang mengizinkan perdebatan ini kerana kita hanya merancang, Allah menentukan. Kita berusaha lalu meminta padaNya.

Tahniah dan terima kasih, sekali lagi.

Comments

  1. tahniah..6pak cool ja rleX ja..caya la awang..
    tahniah..cayOok!!

    ReplyDelete
  2. Hahaha...macam x biasa pulak terlebih semangat tuh~

    ReplyDelete

Post a Comment