Kekal dalam UIAM

Saya sebenarnya sudah selesa untuk berada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Asasi Petaling Jaya. Di sinilah saya mula kenal dengan lebih mendalam tentang ilmu Islam dan Bahasa Arab. Saya baru semalam membaca tentang Tema Asas al-Quran, satu subjek wajib bagi semua mahasiswa Pusat Asasi UIAM (CFS IIUM).

InsyaAllah, saya di sini masih mampu faham dan masih boleh menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Cuma, saya tidak jamin bahawa saya akan dilepaskan daripada mengambil matapelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab kerana untuk mendapat ganjaran sebegitu bukan mudah. Cuma, jika perkara demikian berlaku, kemungkinan tempoh pengajian hanyalah setahun.

InsyaAllah, saya masih kuat untuk berada di UIAM ini walaupun ujian yang lebih besar masih berada di hadapan. Saya jua redha bahawa saya kekal di sini dan tidak dapat memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG).

Sebenarnya tidak banyak bezanya antara saya berada di UIAM dengan saya berada di IPG. Sama sahaja. Halatuju tetap sama. Cuma prospek cita-cita itu lebih besar (pada pandangan saya) di UIAM ini berbanding di IPG. Walaupun jaminan kerja diberikan terhadap guru-guru pelatih IPG, namun saya tidak pernah menyesal untuk masuk ke tempat yang memang tidak akan memberikan jaminan kerja. Soalan seterusnya, rezeki itu hak Allah SWT. Sesiapa yang masuk ke IPG kemudian hari, mungkin beberapa tahun dari sekarang, nasibnya akan sama seperti nasib mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) lain.

Saya baru-baru ini mengunjungi Jabatan Bahasa di Bangunan Tadbir CFS IIUM bersama sahabat saya, Muhammad Afif Ismail. Saya berjumpa seorang pensyarah di situ. Apabila saya bertanyakan tentang prospek kerjaya setelah diijazahkan dalam bidang Bahasa Arab, sebenarnya prospek cita-cita itu lebih luas di sini walaupun jaminan kerja tiada. Dengan segulung ijazah daripada UIAM, saya boleh jadi guru, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), jurubahasa serentak, pensyarah, tutor universiti dan sebagainya. Cuma, usaha itu perlulah.

Jika saya masuk IPG, ya, mungkin hasrat untuk menjadi guru tercapai. Cuma, halatujunya hanyalah untuk menjadi guru. Tidak boleh menjadi yang lain-lain. Jadi guru dulu sesudah diijazahkan oleh IPG barulah boleh menjadi yang tinggi sedikit darinya. Begitulah cerita sebenarnya.

Tahniah kepada yang diterima masuk ke IPG. Saya difahamkan antara yang diterima masuk ke IPG dalam kalangan sahabat-sahabat saya termasuklah Syahrul Azlan Sobri, Nurmadihah Mardhiah Mohd. Zulkifli, Mohammad Sazali Saini dan Shah Rehan Lee Sapili. Saya mahu dengar lagi jika ada sesiapa dalam kalangan kita dapat masuk IPG. Bersyukurlah kalian kerana kalian sudah menjadi guru - guru pelatih.

Saya, dengan keberadaan saya di UIAM Petaling Jaya, saya masih boleh menjadi guru bahkan lebih dari itu. Semoga Allah merestui kita semua. Amin.

Awang Abdul Muizz Awang Marusin,
Pelajar Asasi Bahasa Arab,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

11 Jun 2012

Comments

  1. tahniah... teruskan usaha... rezeki Allah di mana-mana saja...
    semoga Allah memberi yg trbaik buat saudara..inshaallah..aamiin..ya Allah...

    ReplyDelete

Post a Comment