Antara Temuduga dan Pilihanraya

Saya baru-baru ini ditemuduga untuk mengisi jawatan dalam Majlis Penyelarasan Pelajar Asasi (FSCC), Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (MRC) dan Persatuan Pelajar Asasi Bahasa Arab (BARSS) di Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM). Selanjutnya, saya akan ditemuduga pula untuk mengisi jawatan dalam Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM/RCC) bagi CFS IIUM.

Bagi yang akan masuk ke CFS IIUM nanti, kepimpinan dipilih melalui temuduga. Calon-calon ditemuduga untuk mengisi jawatan-jawatan penting di pelbagai organisasi di kampus ini. Kepimpinan di UIAM Kampus Petaling Jaya dipilih melalui temuduga kecuali di UIAM Kampus Gombak, Kampus Kuala Lumpur dan Kampus Kuantan yang memilih kepimpinan melalui undian tangan atau melalui pilihanraya. Begitulah jua dengan universiti yang lain.

Setelah temuduga diadakan, sebuah majlis mesyuarat akan dikendalikan oleh penemuduga untuk memilih calon yang paling sesuai untuk mengisi sesuatu perjawatan dalam organisasi. Sistem ini nampak lebih menjurus ke arah Islam. Pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, antara sistem pemilihan Khalifah yang digunapakai termasuklah melalui Syura. Syura memilih Khalifah. Sistem ini, dalam Malaysia, masih digunapakai. Di Negeri Sembilan, Undang Luak yang Empat bertindak sebagai Syura lalu mengangkat kerabat diRaja Negeri Sembilan yang terpilih dari kalangan Putera yang Empat sebagai Yang DiPertuan Besar.

Sistem demokrasi yang dipakai zaman ini hanya wujud setelah pembentukan falsafah demokrasi. Demokrasi membolehkan rakyat memilih pemimpin melalui undian. Calon yang mendapat undian majoriti layak memegang sesuatu jawatan. Sistem ini diamalkan hampir di seluruh dunia. Boleh lihat pada hari ini. Malaysia turut menggunapakai sistem ini, dari peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri hinggalah ke peringkat universiti.

Pemilihan pemimpin secara temuduga atau secara Syura membolehkan seseorang pemimpin dipilih berdasarkan penilaian yang lebih mendalam oleh ahli-ahli penemuduga yang berkelayakan. Biasanya pemimpin yang lebih berkualiti dilahirkan hasil pemilihan secara temuduga mahupun secara Syura.

Pemilihan pemimpin secara pilihanraya pula membolehkan seseorang pemimpin dipilih oleh golongan yang lebih ramai bilangannya berdasarkan penilaian yang terbuka dan sedia ada. Cuma, risikonya, jika pengundi memilih calon yang tidak pakar dalam kepimpinan untuk menjadi pemimpin, amat besar padahnya.

Pun begitu, untuk menjadi pemimpin, seseorang harus tahu cara kepimpinan, tugas dan bidang kuasa sesuatu organisasi dan sanggup menghadapi segala cabaran dan dugaan sepanjang menjadi pemimpin. Akan tetapi, sesuatu yang perlu diingat iaitu kita semua pemimpin. Kita dijadikan oleh Allah SWT di muka bumi ini sebagai khalifah.

Comments