Setiap yang di Malaysia Mesti Hormat Lagu Kebesaran

Saya baru sahaja menghadiri Istiadat Penutupan Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Peringkat Negeri Sabah pada hari Jumaat, 17 Mei 2012, di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah. Waktu itu, istiadat dirasmikan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Cuma, saya ingin menyuarakan kekecewaan atas tindakan segelintir hadirin, yang terdiri dari rakyat Malaysia mahupun rakyat negara asing, yang tidak menghormati Lagu Hormat DiRaja bagi Yang DiPertua Negeri Sabah, iaitu lagu Negaraku yang dimainkan separuh dan lagu Sabah Tanah Airku yang dimainkan penuh. Saya melihat tindakan ini bukan sahaja merendahkan martabat lagu kebangsaan dan negeri, bahkan tindakan ini secara tidak langsung merendahkan kedaulatan Yang DiPertua Negeri Sabah sebagai ketua negeri Sabah dan wakil raja negara (viceroy) di negeri Sabah.

Memang sudah menjadi kelaziman, setiap kali Yang DiPertua Negeri Sabah berangkat masuk ke majlis dan berangkat keluar dari majlis, Lagu Hormat DiRaja mesti dimainkan seperti yang diperintahkan menurut Seksyen 4 (1) (b), Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Setiap kali Lagu Hormat DiRaja dimainkan, semua yang berada di tempat lagu tersebut boleh didengar hendaklah berdiri memberi perhatian dan menghormati lagu tersebut sama seperti berdiri menghormati lagu Negaraku yang dimainkan penuh dan lagu negeri yang dimainkan penuh seperti yang telah disebut dalam Seksyen 8 (1), Akta yang sama.

Pada waktu itu, Pancaragam Polis telah membunyikan drum setelah pengacara majlis mengumumkan bahawa Yang DiPertua Negeri berangkat keluar dari majlis tersebut. Tetapi, ada segelintir bertindak terus berjalan dan keluar sehingga Lagu Hormat DiRaja tidak diberi perhatian. Jikalau mengikut Seksyen 8 (2) Akta tersebut, orang yang tidak menghormati lagu Negaraku, lagu negeri atau yang serupa dengannya boleh didenda RM 100 (Ringgit Malaysia Seratus Sahaja) atau dipenjara sebulan.

Saya mencadangkan agar ada anggota polis yang bertugas dalam majlis dan acara untuk memantau tahap masyarakat menghormati lagu kebangsaan, lagu negeri atau yang sewaktu dengannya, terutamanya ketika sesuatu majlis dan acara dihadiri oleh tetamu diraja atau wakil diraja.

Saya sebagai rakyat Malaysia malu dengan tindakan segelintir rakyat memandang enteng lagu kebangsaan, lagu negeri dan yang serupa dengannya. Perkara ini boleh menyebabkan semangat patriotisme rakyat semakin hari semakin luntur sedangkan Malaysia mahukan rakyatnya terus mencintai negara.

Kita sepatutnya mencontohi rakyat negara lain yang amat menghormati lagu kebangsaan mereka sama ada dengan cara berdiri tegak, meletakkan tangan kanan di dada kiri atau mengangkat tabik hormat. Pantang dalam kalangan mereka, warga negara lain, tidak hormat lagu kebangsaan mereka.

Oleh itu, hormatilah lagu kebangsaan, lambang kewujudan negara.

Comments