Sempena Masuk Asasi UIAM

بسم الله ثم الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Alhamdulillah. Terima kasih, Allah. Kau izinkan aku, hambaMu, menuntut ilmu di Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk meneruskan pengajian dalam bidang Bahasa Arab, bidang yang aku minati. Namun begitu, aku berdoa dan berharap agar aku dapat menjejakkan kaki ke Institut Pendidikan Guru (IPG) seperti yang aku mula-mula hajati. Jika Kau tidak izinkan, aku mohon dengan limpah rahmatMu agar Kau sampaikan aku menjadi seorang pendidik. Amin.

Unit Pusat Universiti (UPU), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan bahawa saya menjadi pelajar Asasi Bahasa Arab di UIAM setelah permohonan kemasukan ke pengajian peringkat asasi dan diploma di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dibuat. Syukur, Alhamdulillah. Ada yang memohon untuk menuntut dalam pengajian yang sama seperti yang saya minta tetapi nasib tidak menyebelahinya. Saya sangka saya gagal untuk mendapatkan tempat pengajian di IPTA. Rupa-rupanya, Maha Pengasih Allah. Dengan rahmat Allah, Allah putuskan bahawa saya masuk UIAM.

Setelah berjaya kelak, saya mahu menjadi seorang guru. Begitulah cita-cita yang saya suarakan dalam Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 Peringkat Negeri Sabah yang telah berlangsung pada 19 Mei yang lepas di Grand Ballroom, 1 Borneo, Kota Kinabalu, Sabah. Ya, saya bercita-cita mahu menjadi seorang guru seperti cita-cita saya yang asal.

Tentang IPG. Jikalau saya mendapat tempat di IPG, saya akan keluar dari UIAM. Jikalau sebaliknya berlaku, saya kekal di UIAM ini. Saya tidak mahu merugikan diri sendiri. Yang penting, saya usaha sampai saya diizinkan Allah SWT untuk menjadi seorang guru. Jikalau saya kekal di UIAM, jalan untuk menjadi guru sekolah menengah berada di hadapan. Jikalau saya masuk IPG, jalan untuk menjadi guru sekolah rendah berada di hadapan. Jalan tetap ada. Cuma, saya perlu berusaha dan berdoa.

Pendek kata, saya kekal dengan cita-cita saya semenjak berada di sekolah rendah. Keluarga mahu saya menjadi seorang guru agama.

Ya Allah, aku redha seandainya aku kekal di UIAM. Aku jua redha sekiranya Kau izinkan aku berada di IPG.

Saya akan mendaftar pada petang 3 Jun di Pusat Asasi UIAM, Petaling Jaya, Selangor. Sekali lagi. Saya amat beruntung apabila Allah pilih saya untuk meneruskan cabaran mendatang di UIAM. Saya rasa saya seorang sahaja yang berasal dari Sabah dilayakkan mengikuti pengajian Asasi Bahasa Arab di UIAM. Jikalau ada pun anak Sabah yang lain yang dapat meneruskan pengajian di Pusat Asasi UIAM, mereka akan menuntut dalam bidang lain.

Saya akan masuk ke Pusat Asasi UIAM bersama beberapa orang sahabat seperjuangan di sini. Mohon kalian doakan kami di sini. Yang mendapat tempat di IPG nanti, tahniah saya ucapkan kerana terpilih menjadi Guru Pelatih.

Kepada yang telah mendapat tempat pengajian baru sama ada di IPTA, IPT swasta (IPTS), Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran mahupun Tingkatan 6, sama-samalah kita teruskan perjuangan dengan baik. Kita buat yang terbaik untuk kehidupan kita. InsyaAllah.

Saya mohon doa kalian semoga saya dapat menempuh cabaran yang lebih hebat yang mendatang, dan semoga saya sampai hajat saya untuk menjadi seorang guru.

Salam hormat dan wassalam.

Saya yang benar,
Awang Abdul Muizz Awang Marusin

Saya bersama sahabat di Pusat Asasi UIAM,
Mohd. Shafiq Hasbollah (Asasi Ilmu Wahyu)
Nurul Zaimah Afiqah Yatau (Asasi Ekonomi)
Mohd. Fuad Fauzi Mawardi (Asasi Fizik)

Comments

Post a Comment