Perutusan sempena Hari Belia 2012

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله العالمين
والصلاة والسلام على رسول أمين
وعلى أله وصحبه أجمعين

Alhamdulillah. Segala puji dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan kita melalui usia sebagai remaja dan belia. Selawat dan salam ke atas Junjungan Agung Rasulullah SAW, kaum keluarganya dan sahabatnya yang mulia.

Izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Belia buat seluruh belia dan beliawanis di Malaysia, khususnya saudara dan saudari, sahabat-sahabat saya, para remaja dan belia. Sama-samalah kita merasa beruntung kerana Allah mengizinkan kita untuk merasai zaman kehidupan sebagai remaja mahupun belia.

Saudara dan saudari, para remaja dan belia,

Sempena Hari Belia, saya berpesan kepada diri saya dan semua tentang peranan sebenar belia menurut al-Quran. Firman Allah SWT:

نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية أمنوا بربهم وزدناهم هدى

Kami (Allah) ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) khabar tentang mereka dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya para pemuda itu beriman kepada Tuhan mereka, lalu kami tambahkan kepada mereka petunjuk.
(Surah al-Kahfi, ayat 13)

Ayat al-Quran secara tersuratnya menceritakan tentang golongan Ashab al-Kahfi, suatu golongan yang diangkat martabatnya oleh Allah SWT. Pun begitu, secara tersiratnya, Allah SWT mahukan dan menyukai pemuda yang beriman kepadaNya. Bukan setakat itu sahaja, bahkan Allah SWT mahukan pemuda di atas dunia ini bertaqwa, meningkatkan amal ibadat, selalu mematuhi suruhanNya dan selalu meninggalkan laranganNya. 

Berdasarkan ayat tersebut, saya berpesan kepada diri saya dan semua, sebagai remaja dan belia, marilah kita meneruskan amanah kita kepada Allah SWT dengan mempertingkatkan iman dan taqwa kepadaNya, menuruti segala perintahNya, meninggalkan segala laranganNya serta mempertingkat amal ibadat.

Saudara dan saudari, para belia dan remaja,

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Umum mengetahui dan menyedari bahawa remaja dan belia adalah generasi yang berikutnya bagi negara. Remaja dan belia merupakan pewaris kepimpinan negara. Remaja dan belia jugalah pewaris kestabilan negara. Semua yang ada kini akan diwariskan dan diharapkan pula kepada golongan remaja dan belia. Kata ulama dunia, Dr. Yusof al-Qaradhawi, "Jikalau mahu melihat negara pada masa hadapan, lihatlah pada golongan belia pada masa kini."

Dunia berputar dan terus beredar selaras dengan perubahan zaman. Semakin berubah zaman, semakin berubahlah corak kehidupan dan kenegaraan. Negara kini sedang menuju ke arah mencapai wawasan yang tersendiri tanpa perlu lupa pada kehendak asal ajaran agama dan kemahuan asal budaya bangsa. Lantaran itu, negara berharap agar remaja dan belia pada hari ini dan hari berikutnya terus berpegang kuat kepada ajaran agama dan budaya bangsa, menjunjung cita-cita dan aspirasi agama, bangsa dan negara, serta mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Negara juga mahukan belia yang cerdik dan pandai, tinggi budi pekerti, berminda kelas pertama, memacu transformasi dan bersifat patriotik.

Negara kini bersyukur kepada Allah SWT dan berbangga kerana ada remaja dan belia negara berjaya sekaligus mencipta nama di pelbagai bidang di astaka dunia. Sebagai seorang belia, remaja dan sahabat, saya juga bersyukur dan berbangga kerana saya dan sahabat-sahabat berjaya mencipta dan mewangikan nama diri, keluarga, sekolah, agama, bangsa dan negara di pelbagai bidang di pelbagai peringkat. Tahniah buat kita semua. Saya berharap agar kita dan seluruh remaja dan belia terus mencipta nama baik di pelbagai bidang di pelbagai peringkat.

Akan tetapi, negara kini melahirkan dan menyuarakan kekesalan kerana ada remaja dan belia yang merosakkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah serta perkara yang menyalahi ajaran agama, budaya bangsa dan undang-undang negara. Benar dikatakan bahawa setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan. Namun begitu, sebagai remaja dan belia yang masih diberi kesempatan yang lama, marilah, sama-sama kita memperbetul dan menambahbaik diri kita agar hidup kita terus bermanfaat dan berguna kepada diri dan warga sekeliling.

Saudara dan saudari, para remaja dan belia,

Akhir kata, beruntunglah kita sekiranya Allah SWT mengangkat kita semua, remaja dan belia Malaysia, ke persada berkat dan restuNya kerana usaha murni kita menggunakan zaman remaja dan belia dengan perkara yang disukai oleh Allah SWT. Teruskan usaha, kuatkan semangat, kerana jalan masih panjang. Perjuangan belum selesai. Tahniah buat semua remaja dan belia kerana peranan dan usaha kita sebagai remaja dan belia diraikan oleh negara dalam satu Hari Belia.

Selamat Hari Belia. Terima kasih, Allah. Terima kasih, saudara dan saudari. Terima kasih, sahabat. Terima kasih, semua. Terima kasih, Malaysia.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam hormat,

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
15 Mei 2012

Comments