Wednesday, 2 May 2012

Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta

Selamat Hari Pekerja kepada semua yang bergelar pekerja di Malaysia. Semoga kerja kalian dibalas dengan rahmat Allah dan rezekiNya yang murah lagi diberkati.

Saya dengan sukacitanya menyambut baik Perintah Gaji Minimum untuk sektor swasta yang dijangka akan berkuatkuasa sepenuhnya pada tahun 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, pada 30 April, mengumumkan bahawa gaji bagi semua penjawat swasta di Malaysia, kecuali pekerja perkhidmatan domestik, ditetapkan pada RM 900 sebulan (atau RM 4.33 sejam) bagi penjawat swasta Semenanjung Malaysia (SM), dan RM 800 sebulan (atau RM 3.85 sejam) bagi penjawat swasta Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (SSL). Penetapan gaji minimum dibuat secara berbeza kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang amat ketara. Cuma, gaji minimum ini tidak dikuatkuasakan kepada penjawat swasta dalam perkhidmatan domestik seperti pembantu rumah, pengawal keselamatan, pemandu peribadi, setiausaha peribadi dan sebagainya.

Semua ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri setelah perundingan dibuat oleh Majlis Perundingan Gaji Negara yang dianggotai oleh akademia ekonomi dan wakil-wakil pekerja dan majikan. Bagaimanapun, gaji minimum ini boleh berubah dari tahun ke tahun. Untuk pengetahuan, pendapatan gaji minimum ini memberi manfaat besar kepada pekerja swasta dan memberi implikasi buruk yang besar kepada majikan. Ya, pekerja menerima manfaat manakala majikan memberi manfaat.

Merentet struktur upah di SSL. Memang logik jika upah di SSL itu rendah berbanding di SM. Firma (organisasi swasta) di SSL memerlukan dan menerima banyak barangan dan perkhidmatan dari SM. Majikan perlu menampung kos untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari SM serta kos-kos lain yang berkaitan dan bersampingan dengannya. Contohnya, kos pengangkutan, kos insurans barangan, kos utiliti dan sebagainya. Walaupun firma di SSL mampu memperoleh banyak keuntungan, namun gaji hanya dapat dibayar rendah kerana hasil-hasil yang ada perlu menampung kos-kos yang saya sebutkan tadi. Sebab itulah rendahnya struktur upah di SSL.

Merentet pula kos sara hidup di SSL. Kos sara hidup di SSL cukup tinggi kerana banyak barang dan perkhidmatan datang dari SM. Kos sara hidup adalah beban majikan dan pekerja yang menerima pendapatan berisiko mahupun tidak berisiko. Majikan juga mempunyai pendapatan seperti pekerja. Majikan bukan setakat perlu menanggung kos sara hidup tanggungannya (keluarganya), malah perlu menanggung kos sara hidup pekerja kerana majikan yang memberi gaji kepada pekerja.

Ada yang mengatakan bahawa gaji minimum RM 800-900 setiap bulan itu masih berada di bawah paras kemiskinan. Sedangkan kerajaan kita kini pun menetapkan bahawa sempadan kemiskinan ialah pada kadar pendapatan bulanan RM 3 000. Ya. Cuma, yang perlu difahami ialah, gaji minimum yang ditetapkan itu hanyalah gaji pokok, bukannya gaji bersih. Logiklah jika gaji minimum ditetapkan sedemikian. Kepada pekerja pangkat rendah, gaji yang diterima setara dengan bentuk kelulusan akademik yang dimiliki. Oleh itu, pendidikan itu penting dan menjamin masa hadapan yang cemerlang.

Terima kasih, Malaysia; Terima kasih, Allah.

0 comments:

Post a Comment