Pelajar: Pendidikan dan Politik

Saya adalah seorang yang bebas, berkecuali dan tidak berpihak kepada sesiapapun (non-partisan) dalam isu-isu politik.

Saya gembira apabila mendengarkan pelajar cemerlang dalam pendidikan. Pada waktu yang sama, saya juga kagum dengan pelajar yang aktif dalam politik.

Cuma, pelajar seringkali diingatkan agar mendahulukan pendidikan daripada politik kerana tugas pelajar adalah menuntut ilmu sehingga berjaya. Perkara ini sudah ditegaskan berkali-kali oleh banyak pihak. Terbaru, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan para pelajar agar belajar bersungguh-sungguh dan mendahulukan pendidikan daripada politik.

Akhir-akhir ini, pelajar, terutamanya mahasiswa universiti, mendahulukan politik mengatasi pendidikan. Pelajar yang berpolitik itu terdiri daripada pelajar yang bijak pandai dan pelajar yang merudum dalam akademik. Kegiatan politik pelajar tampak jelas terutamanya apabila berpersatuan di universiti.

Benar. Mahasiswa universiti dibenarkan berpersatuan dengan syarat bahawa persatuan tersebut didaftarkan kepada pentadbiran universiti dan diluluskan oleh pentadbiran universiti. Begitulah jua pelajar sekolah. Pelajar sekolah turut dibenarkan berpersatuan dengan syarat bahawa persatuan tersebut didaftarkan kepada pengetua atau guru besar dan disahkan oleh pengetua dan guru besar. Tetapi, persatuan tersebut tidaklah boleh dijadikan manual dan sandaran untuk menyerlahkan kegiatan politik.

Saya dapati beberapa persatuan universiti dijadikan sandaran untuk menyokong sesuatu parti. Perkara ini bersalahan dengan tujuan asal sesuatu persatuan universiti ditubuhkan. Sesuatu persatuan universiti ditubuhkan untuk mencapai sesuatu tujuan dan matlamat yang khusus yang memberi manfaat kepada universiti. Setahu saya, tiada persatuan universiti ditubuhkan dan diluluskan pendaftarannya untuk memberi sokongan kepada sesuatu parti politik.

Pun begitu, Alhamdulillah. Kerajaan telah mendengar suara mahasiswa universiti yang meminta agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda bagi membolehkan mahasiswa universiti berpolitik.

Pindaan AUKU yang membenarkan mahasiswa universiti berpolitik di luar kampus (bukannya di dalam kampus) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pindaan tersebut sedang menunggu perkenan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, sebelum pindaan tersebut dikuatkuasakan. Terima kasih, Parlimen.

Saya berpesan kepada diri saya dan semua, terutamanya mahasiswa universiti. Kebebasan berpolitik yang diberikan kepada mahasiswa universiti di luar kampus tidak boleh disalahgunakan sesuka hati sehinggakan berpolitik di dalam universiti itu halal. Berpolitik, bagi mahasiswa, hanyalah dibenarkan di luar kampus.

Bagi pelajar sekolah, berpolitik sudah semestinya tidak dibenarkan seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961, sama ada ketika bersekolah mahupun di luar waktu persekolahan.

Sengaja saya memanjangkan sedikit cerita mengenai mahasiswa ataupun pelajar berpolitik untuk membuktikan bahawa kebebasan politik itu wujud tetapi bukanlah secara menyeluruh kerana isu utama bagi golongan yang dididik adalah pendidikan bukannya politik. Pendidikan amat diperlukan sebelum berpolitik. Politik tanpa pendidikan sudah pasti tidak bermanfaat. Sebab itulah golongan yang dididik amat dituntut untuk mendapatkan pendidikan terlebih dahulu.

Sedangkan orang yang berada di lapangan politik pun memerlukan pendidikan sebagai nilai tambah kepada kegiatan politik mereka. Tidak semua perkara diketahui oleh ahli-ahli politik. Jikalau ahli politik memerlukan pendidikan, seisi Malaysia apatah lagi.

Untuk merealisasikan hasrat agar Malaysia dan seisinya terus maju, pendidikan menjadi sandaran yang terutama, barulah politik. Tanpa pendidikan, tiadalah politik kerana politik hanya akan menjadi ilmu dan amalan hasil pendidikan. Ingat, makna pendidikan amat luas.

Konklusinya, pendidikan itu pertama bagi semua, lebih-lebih lagi kepada golongan yang dididik.

Comments