Friday, 4 May 2012

Pasukan Penyelamat Tonggak Kesejahteraan Negara

1. Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu adalah orang-orang Islam.

2. Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dalam bulan Jamadilakhir ini, saya berpesan pada diri saya sendiri dan sidang jemaah sekalian. Bersama-samalah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan, keredhaan dan perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

3. Izinkan saya menyampaikan khutbah Jumaat kali ini dengan tajuk “Pasukan Penyelamat Tonggak Kesejahteraan Negara.”

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

4. Sejarah ketamadunan manusia telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Kesejahteraan bererti kita bebas daripada segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian hidup. Alhamdulillah, kita amat bersyukur kepada Allah SWT kerana negara kita masih berada dalam suasana yang aman dan damai walaupun negara kita pada ketika sedang menghadapi beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara. Dengan kesejahteraan dan ketenteraman yang kita kecapi hasil kurniaan Allah SWT, maka dapatlah kita melakukan setiap urusan kehidupan dengan lancar dan tenang sehingga datangnya banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 112:

...dan Allah memberikan satu contoh. Sebuah desa yang aman damai lagikan tenteran yang didatangi dengan rezeki yang mewah dari setiap tempat, tetapi penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu. Maka, Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebab apa-apa yang mereka telah lakukan.

Tuan-tuan yang mulia,

5. Memelihara kemakmuran dan keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, budaya bangsa dan nasab keturunan. Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim AS semasa meneroka pembukaan Makkah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah berdoa agar Makkah dikurniakan oleh Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran. Kita juga telah menyaksikan betapa sukarnya dan malangnya negara-negara yang dilanda bencana alam dan kebakaran-kebakaran berprofil tinggi sehingga meragut nyawa dan melibatkan kerugian jutaan ringgit. Merenung kembali banjir besar yang melanda di sebelah selatan dan pantai timur negara pada suatu ketika benar-benar menguji ketahanan dan mengerah pengorbanan pasukan keselamatan seperti tentera, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan sebagainya.

6. Mengambil kesempatan bersempena Hari Anggota Bomba kali ke-13 yang jatuh pada hari ini, 4 Mei, mimbar ingin menarik perhatian jemaah Jumaat sekalian untuk bersama-sama mengimbas kembali tragedi-tragedi pahit yang telah menimpa negara serta pengorbanan warga bomba dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran awam terpelihara seadanya.

Tuan-tuan yang mulia,

7. Demi tugas dan tanggungjawab yang digalas, para anggota bomba terpaksa meninggalkan keluarga tercinta dan mempertaruhkan nyawanya untuk menempuh api kebakaran yang kepanasannya mencecah ribuah darjah Celcius bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap. Mereka jua menyelam hingga ke dasar lautan dan sungai untuk untuk mencari mangsa yang hilang. Mereka jua bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa bencana seperti tanah runtuh, banjir lumpur, tsunami, runtuhan bangunan tinggi dan pelbagai lagi kerja-kerja menyelamat. Jerih perih dan kepayahan yang tidak mengenal erti waktu pagi dan petang, siang dan malam ini bukanlah kerana untuk meraih pingat seperti Pingat Jasa Bomba atau kepentingan tertentu seperti bonus gaji yang tinggi, tetapi semua itu dilakukan untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.

Tuan-tuan yang mulia,

8. Mungkin masih ada yang tidak menyedari kepentingan pasukan penyelamat umumnya dan JBPM khususnya dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di Malaysia ini. Tahun lalu sahaja menyaksikan sebanyak 61 194 panggilan kebakaran dan menyelamat dicatatkan. Dalam erti kata lain, setiap minggu, JBPM menerima purata 1 275 panggilan. Angka tersebut sudah terang lagi bersuluh membuktikan betapa besarnya peranan, tanggungjawab dan pengorbanan yang diraih dari setiap anggota bomba.

9. Sehubungan dengan itu, mimbar ingin menegaskan bahawa kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan dan bahaya kebakaran perlu dipertingkatkan. Hal ini demikian berikutan dalam tempoh 2007 hingga 2012, panggilan untuk kebakaran dan penyelamatan telah mencatatkan lonjakan sebanyak 41 peratus. Keadaan ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh setiap lapisan masyarakat. Janganlah kita memandang enteng dan bersikap sambil lewa dalam aspek yang melibatkan keselamatan dan pencegahan kebakaran di sekeliling kita. Sebagai misalan, masyarakat perlu menjaga dan melindungi pili-pili bomba dan alat pemadam kebakaran di persekitaran kita serta melaporkan segera kerosakan benda-benda tersebut. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama menjaga dan mengawasi kemudahan tersebut agar tidak disalahgunakan untuk tujuan lain. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab dibenci oleh Allah SWT sebagaimana dalam firmanNya:

...dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi ini setelah Allah menyediakan segala-gala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadanya dengan perasaan bimbang (takut tidak diterima) dan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang baik.
(Surah al-A’raaf, ayat 56)

10. Dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, terdapat halangan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh anggota bomba disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat. Statistik JBPM menunjukkan sebanyak 534 panggilan palsu diterima pada tahun 2011, atau secara puratanya, 44 panggilan palsu sebulan. Masalah ini telah merencatkan dan mengganggu tugas-tugas bomba dalam memastikan perkhidmatan berkualiti dan pantas dapat diberikan. Daripada Abu Sirmah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:

Barangsiapa yang membawa mudharat kepada orang lain, maka Allah akan memudharatkannya pula; dan barangsiapa yang menyusahkan orang lain, maka Allah akan menyusahkannya pula.
(Hadis riwayat Abu Daud)

11. Bayangkan sekiranya bomba telah menerima satu panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian lalu didapati panggilan itu palsu dan dusta semata-mata, pasti bomba merasa kecewa. Bayangkan lagi jika dalam waktu yang sama kejadian kebakaran yang realiti berlaku di tempat lain. Pasti kita sukar dan mungkin tidak dapat kita bayangkan perasaan keluarga mangsa yang sepatutnya dapat diselamatkan namun tewas terkorban rentetan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang suka mengambil kesempatan atas kesempitan. Rentetan itu, mimbar ingin menyeru kepada semua jemaah agar menyedari kepentingan talian kecemasan 999 yang disediakan khas untuk panggilan kecemasan. Berilah penerangan dan pendidikan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan agar talian kecemasan tersebut tidak disalahgunakan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

12. Mimbar sekali lagi menyeru jemaah dan seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar mensyukuri dan menjaga kesejahteraan yang dinikmati pada masa ini. Janganlah kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat keselamatan orang lain. Ingatlah bahawa tanggungjawab keselamatan kebakaran dan penyelamatan bukanlah tanggungjawab JBPM semata-mata. Perkara ini tanggungjawab kita bersama. Ambillah iktibar daripada apa-apa yang telah berlaku di luar sana bagi memastikan kesejahteraan ummah dan pembangunan negara terus berkekalan. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT. Semoga kehidupan kita terus dilindungi daripada segala malapetaka yang boleh membawa ke arah kehancuran kepada rakyat Malaysia yang cintakan kesejahteraan. Ingatlah bahawa memelihara nikmat kesejahteraan merupakan sebahagian daripada ajaran Islam yang bersifat membawa kepada keamanan sejagat.

Firman Allah SWT:

Sesiapa yang datang dengan kebaikan, maka dia akan memperoleh yang lebih baik daripadanya dan mereka akan memperoleh keamanan pada hari kiamat.
(Surah an-Naml, ayat 89)

13. Akhir khutbah, mimbar, seluruh jemaah dan seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam menghargai seterusnya merasa terhutang budi dan jasa terhadap seluruh warga bomba atas usaha dan kerjaya yang murni untuk membantu menyelamat orang yang memerlukan bantuan kebombaan dan penyelamatan serta mensejahterakan masyarakat dan negara. Selaras dengan akronim BOMBA yang boleh dipanjangkan sebagai “Bila Orang Memerlu, Bomba Ada”, mimbar meletakkan harapan yang tinggi agar semua warga bomba terus kental dan kuat semangat untuk terus merealisasikan misi JBPM untuk terus komited memberi perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang profesional bagi menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar dengan menggunakan sumber secara berkesan dan teknologi terkini. Semoga Allah menghargai budi dan pengorbanan warga bomba sekalian seperti yang terakam dalam al-Quran dalam Surah al-Insaan, ayat 22:

Sesungguhnya kebaikan ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan segala usaha kamu diterima dan dihargai.


Khutbah dikeluarkan oleh JHEAINS, disumbangkan oleh JBPM dan disunting oleh saya. Khutbah ini telah disampaikan oleh saya pada 4 Mei 2012 di Masjid Kariah Nurul Ikhwaniah, Berungis, Tuaran, Sabah.

0 comments:

Post a Comment