Madah Seorang Saudara

(Buat warga SMKAKK dan SEMAI/SMKA TUNAS)

(i)

Waktu ku dilayan mesra oleh keluarga
aku gembira, cuma masih teringat
guruku pernah padaku besar jasanya.

Di tengah kesunyian aku teringatkan
wajah-wajah kalian yang dikasihi
kalianlah sahabat dan saudaraku.

Dengan beberapa insan waktu ini
hati sengsara meluahkan kerinduan
takut-takut tiada sudah waktu bertemu.

(ii)

Di tembok kenangan aku teringat
bahawa aku pernah melakar lukisan indah
wajah kalian yang berbungakan senyuman.

Merentet lembaran tawarikh peribadi
dengan doa, dukungan dan usaha
aku menulis jaya dan jasa di dalamnya.

Di lohong kesepian aku sedar
menginsafi bahawa aku banyak dosa
sehingga menghijab dinding persefahaman.

Dalam bilik kehitaman aku faham
bahawa terhinalah seorang aku
sehingga di mana pun aku sudah tiada.

(iii)

Dari atas mimbar ku pohonkan agar
diriku terus direstuiMu, Tuhan
dengan kebaikan dan koreksi terhadap diri.

Di atas sejadah imam ku pintakan moga
Kau terus menaungiku dan mereka
dengan rahmat dan kasihMu.

Kerana keluargaku membelaiku dengan cinta
kerana guruku mendidikku dengan kasih
kerana sahabatku mendekatiku dengan sayang.

(iv)

Pada masa muka nanti seketika
doa dan pintaku agar tertunai azam
pulang bersua mesra dengan kalian seketika.

Dalam waktu yang tersingkat
aku mahu mencari yang ghaib
aku mahu bertemu yang tafarruq.

Aku mahu mencium insan yang dikasihi
aku mahu mendakap insan yang disayangi
dalam biah ukhuwwah hasanah.

Kerana aku adalah saudara kalian
dan sahabat yang biasa hakikatnya
mogakan ukhuwwah kita diredhaiNya.

(v)

Meniti saki-baki kehidupan, kalian
aku memohon berbanyak kemaafan
kerana dosa dan salahku, banyaknya.

Semoga kalian memaafkanku seadanya
sehingga tenang menempuh perjalanan
yang pasti lebih dari jutaan batu.

Atas akauntabiliti persaudaraan
aku redhai masa silam
dan salah kalian telahku maafkan.

Hutang-hutangku, aku mahu langsaikan
atau aku minta dihalalkan dain itu
sambil hutang kalian sudah ku kosongkan.

(vi)

Sengaja mahu meninta bicara
sebagai rindu dan kasih seorang aku
kepada kalian yang di kejauhan.

KeranaNya ku sayang kamu
semoga Allah, Maha Pengasih
menyayangimu semuanya.

Perumahan Hospital Tuaran, Sabah.
Isnin, 21 Mei 2012, jam 12.31 tengah malam.

Comments