Lebuhraya Pengembaraan

Di sebuah lebuhraya
di situlah ku menapak pengembaraan
bilang mereka
jauh perjalanan, luas pemandangan.

Perjalananku mana mungkin
pembaris dapat mengukurnya
kerna aku bisa merasa
bahawa lebuhraya yang ku lalui
jauhnya Tuhan Maha Mengetahui.

Semakin jauh ku menapak kaki
semakin luaslah suasana pemandangan
semakin dekat waktu mengadap Tuhan.

Aku akan sampai ke daerah tujuan, mogakan
dengan berkat dan rahmat Tuhan
kerna kepanjangan usia hayat
tidak menjamin ketersampaian ke sana.

Kembaraku melalui lebuhraya perjuangan
untuk sampai ke daerah kejayaan
berlandskapkan restu dan rahmat Tuhan
berumahkan kekayaan ilmu, harta dan budi.

Tuhan,
aku ingin sampai ke sana
sampaikan aku ke sana
biarpun kembaraku hanyalah bersoloan.

Dalam perjalanan dari Terminal Wawasan ke Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah
(Jalan Mat Salleh, Kota Kinabalu, Sabah).
Jumaat, 25 Mei 2012, jam 5.23 petang.

Comments