Himpunan Jutaan Belia 2012

Intro

Tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Belia dana Sukan (KBS) kerana berjaya menganjurkan Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara (HBN) 2012 pada 23-27 Mei 2012 di Putrajaya. Sekitar hari ini, KBS mengesahkan bahawa program yang mengandungi sekitar 500 buah acara ini telah dihadiri dan dijayakan oleh sekitar 2 juta orang belia. Bilangan sebenar yang hadir ke HBN 2012 tidak dapat dipastikan. Mungkin pengunjung yang datang ke HBN mungkin lebih daripada 2 juta orang.

Cuma, izinkan saya membangkitkan beberapa isu yang hangat diperkatakan sempena Himpunan Jutaan Belia ini.

Kuliah Ustaz Azhar Idrus di PICC

Dalam HBN kali ini, bangkit satu isu bahawa Ustaz Azhar Idrus (UAI) dihalang menyampaikan kuliah Maghrib di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang sepatutnya berlangsung pada 26 Mei. Lantaran itu, kuliah tersebut dipindahkan ke Masjid as-Salam, Puchong Perdana, Puchong, Selangor.

Menurut akhbar Harakah kelolaan PAS, antara alasan pembatalan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada HBN 2012. Ditakuti akan berlaku pertembungan program dan kesesakan lalulintas yang teruk di Putrajaya. Antara pihak yang melaksanakan pembatalan kuliah tersebut, menurut Harakah lagi, adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Jailani Ngah yang menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan membawa arahan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak, meminta JAKIM menghalang kuliah tersebut.

Pada hemat saya, mungkin ada sebab lain UAI tidak dibenarkan untuk berkuliah di PICC. Yang sebenarnya, di PICC pada tarikh tersebut, komuniti iluvislam.com kelolaan Karangkraf melangsungkan Konvensyen Super Parents. Konvensyen tersebut berlangsung pada 26 dan 27 Mei (kelmarin dan hari ini).

Alasan Barisan Nasional (BN) takut kehadiran pengunjung ke kuliah UAI menggugat bilangan pengunjung ke HBN 2012 adalah alasan yang tidak logik bagi saya. Pertama, kerana BN bukanlah penganjur bagi HBN 2012. Memanglah kerajaan dipandu oleh parti BN. Tetapi, penganjur sebenar HBN 2012 bukanlah parti BN. HBN 2012 dianjurkan oleh KBS dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengandungi ahli dan pimpinan yang pelbagai anutan agama, budaya bangsa dan fahaman politik, yang bergabung tenaga membentuk dan menggerakkan Sekretariat HBN. Kedua, kerana PICC hanya mampu menampung kehadiran ribuan orang sahaja bagi sebarang aktiviti yang dikelolakan. Tambahan pula, PICC telah meluluskan program yang saya sebutkan di atas terlebih dahulu. Program sedemikian juga merupakan program berunsurkan Islam.

Alasan kesesakan jalan raya di Putrajaya adalah logik bagi saya kerana HBN dikunjungi oleh jutaan orang sepanjang 5 hari pelaksanaannya. Ruang parkir kenderaan terhad kepada puluhan ribu buah kenderaan. Pun begitu, kesesakan jalan raya tidak boleh dijadikan alasan dan mungkin bukanlah alasan munasabah menghalang kuliah tersebut.

Pada pandangan saya secara peribadi, kuliah UAI boleh diadakan di PICC. Akan tetapi, masih terdapat banyak masjid di sekitar Putrajaya yang membolehkan kuliah itu diadakan dengan kebenaran urusetia masjid tersebut termasuklah Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Jikalau PICC menghalang, saya
sarankan agar sebuah masjid lain di Putrajaya dijadikan tempat baru kuliah tersebut menggantikan PICC. Saya rasa Allah lebih memberkati majlis ilmu di masjid kerana masjid berperanan sebagai pusat ilmu Islam. Lagipun, Allah suka orang-orang yang mengimarahkan masjid.

Seandainya program kuliah UAI diadakan sebagai salah satu acara dalam beratus acara sempena HBN, saya yakin ramai yang akan hadir. Tetapi, jika program tersebut berlaku, bilangan penunjung yang hadir ke HBN tidak akan terjejas teruk. Hal ini demikian kerana yang mengunjungi HBN tidak semuanya orang Islam. Jikalau ramai orang Islam pun, hanya sebahagian sahaja yang mahu hadir ke aktiviti berunsukan Islam.

Pada kelaziman masa kini, setiap kali majlis ilmu dibuat, hanya sebahagian daripada keseluruhan golongan tersebut yang mahu hadir ke majlis ilmu tersebut. Yang lain tidak mahu hadir dan masing-masing dalam kalangan mereka mempunyai sebab-sebab yang mungkin munasabah, mungkin tidak. Dari kalangan yang hadir ke majlis ilmu, hanya segelintir yang mahu mendengar dan mahu mengamalkan ilmu tersebut dan menyampaikannya kepada orang lain. Beginilah umat Islam di Malaysia.

Lain kali, UAI boleh bincang elok-elok dengan JAKIM, KBS dan MBM untuk memasukkan kuliah UAI sebagai salah satu acara dalam HBN akan datang. Dalam hal ini, logiklah jika Sekretariat HBN dipersalahkan. Akan tetapi, Putrajaya masih mempunyai banyak masjid untuk dijadikan tempat berceramah bagi UAI.

Perlumbaan Drag

Perlumbaan drag adalah sebuah aktiviti baru yang kini sedang mendapat tempat di hati para belia juga di hati Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Dalam HBN kali ini, perlumbaan drag dijadikan acara sempena HBN.

Namun begitu, negara dikejutkan dengan insiden kemalangan dalam perlumbaan drag. Menurut Berita Harian, 4 orang penonton cedera dan 13 orang penonton yang lain cedera selepas dilanggar oleh sebuah kereta yang menyertai perlumbaan drag tersebut. Antara punca kemalangan ialah kereta tersebut melanggar garisan had menonton bagi penonton. Ada jua yang mengatakan bahawa penganjur acara sukar mengawal ribuan penonton yang menyaksikan perlumbaan ini.

Menurut sumber pro Pakatan Rakyat (PR), antara punca kemalangan adalah kerana BN menghalang kuliah UAI diadakan di PICC yang sepatutnya diadakan pada 26 Mei. Maka, menurut mereka, Allah membalas kekerasan hati mereka dengan musibah berbentuk kemalangan dalam perlumbaan drag ini. Mereka mengucapkan tahniah kepada BN kerana menggadaikan kuliah agama untuk membunuh anak-anak muda dengan penganjuran acara ini. Sekali lagi BN (yang tidak menganjurkan HBN 2012) dipersalahkan dan menanggung dosa-dosa atas kemalangan tersebut hanya kerana UAI tidak dibenarkan menganjurkan kuliah Maghrib di PICC. Ada penyokong PR menyeru PR agar memboikot penganjuran HBN pada tahun seterusnya.

Untuk menarik hati Kerajaan agar UAI dibenarkan berkuliah di PICC walaupun Kerajaan menolaknya, bukanlah dengan cara cercaan dan makian. Islam tidak mengajar hal demikian, bahkan Islam menghalang. Islam mengutamakan budi bicara.

Namun begitu, mungkin Allah boleh takdirkan bahawa kemalangan itu berlaku atas sebab pembatalan kuliah Maghrib UAI oleh Sekretariat HBN. Akan tetapi, walaupun HBN 2012 menyajikan banyak acara yang mempunyai kandungan yang tidak sihat, HBN 2012 masih menyajikan banyak acara ilmiah dan bermanfaat kepada pengunjung. HBN 2012 turut mengandungi dua tiga acara berunsurkan Islam termasuklah uji bakat pertandingan Adik-adikku; majlis bacaan Surah Yaasin dan Tahlil; serta bacaan khutbah Jumaat mengenai belia.

Rentetan kemalangan dalam perlumbaan drag, menteri tetap meneruskan hasrat mengkomersialkan aktiviti ini kepada keseluruhan belia di Malaysia. Saya setuju dengan pendapat menteri bahawa aktiviti ini diadakan untuk mengelakkan belia berlumba secara haram di jalanan. Beliau mengklasfikasikan aktiviti ini sebagai sebuah sukan permotoran baru. Di samping itu, menteri mahu perlumbaan drag ini diselia dan dikawal pelaksanaannya di masa yang akan datang.

Perlumbaan drag ialah perlumbaan di trek pendek dan lurus, dengan pelumba dikehendaki menghabiskan cabaran dalam tempoh paling singkat menggunakan kereta atau motosikal yang menggunakan enjin berkuasa tinggi dan mengeluarkan bunyi bising.

Persembahan Pentas

HBN 2012 menyaksikan banyak persembahan pentas yang melalaikan. Kelmarin (27 Mei), Utusan Malaysia dikecam kerana menulis berita yang memaparkan bahawa antara 500 aktiviti dalam HBN termasuklah konsert yang berperanan dalam pengisian rohani.

Konsert yang disajikan dalam HBN kali ini tidak menghasilkan pengisian rohani. Dalam HBN 2012, dikhabarkan konsert nasyid tidak diadakan. Mungkin maksud lain boleh diberikan dalam frasa "pengisian rohani" iaitu pengisian patriotisme atau pengisian emosi.

HBN 2012 jua kali ini dikecam oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana menyajikan persembahan pentas yang mengandungi nyanyian dan tarian yang melalaikan. HBN 2012 dikhabarkan menyediakan konsert nyanyian dan tarian pop Korea (K-Pop) yang kini menjadi minat para belia dan remaja. Dahulunya pop Jepun (J-Pop), sekarang K-Pop. Budaya yang tidak sihat memang patut dicantas dan dibanteras secara perlahan-lahan. Suatu masa nanti, saya percaya bahawa minat terhadap K-Pop dalam kalangan belia akan semakin luntur dan mungkin akan luput ditelan zaman.

Acara seperti ini memang patut dikecam atas kesedaran bahawa Islam mahukan belia yang berfikiran sihat dan maju di dunia dan akhirat. Cuma, atas rasa keterbukaan Kerajaan, Sekretariat HBN tetap menganjurkan acara seperti ini untuk melayan citarasa belia masa kini. Keterbukaan boleh cuma perlu berpada-pada.

Pengisian Program

Dalam Islam, majlis dibahagikan kepada majlis baik dan majlis buruk. Majlis baik adalah majlis yang diadakan untuk menyelesaikan sesuatu urusan yang dihalalkan dalam Islam dan diadakan dalam suasana mengingati Allah SWT. Majlis buruk pula adalah majlis yang diadakan untuk menyelesaikan sesuatu urusan yang dimakruhkan atau diharamkan dalam Islam dan diadakan dalam suasana lalai daripada mengingati Allah SWT.

Ada suara mempertikaikan HBN 2012 kerana HBN 2012 disifatkan sebagai program yang buruk. Mohon dijelaskan. Memang tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada kesemua sekitar 500 buah acara dalam HBN 2012 mengandungi kandungan yang tidak sihat dan tidak bermanfaat kepada pembangunan belia. Akan tetapi, masih ada sebahagian daripada ratusan acara bermanfaat kepada pembangunan belia.

HBN 2012 memberi banyak pilihan acara untuk dikunjungi dan disertai oleh para pengunjung terutamanya para belia. Jika belia mahukan kandungan acara yang lebih sihat, sila kunjungi tempat yang menyediakan acara yang sihat seperti aktiviti sukan, aktiviti berunsurkan kemahiran, aktiviti berunsurkan semangat patriotisme dan sebagainya.

Dalam HBN kali ini, syarikat Media Prima Bhd. (MPB) berjaya membentuk pakatan dengan Sekretariat HBN untuk menganjurkan karnival Jomheboh di Putrajaya serentak dengan HBN 2012. Cuma, tempat penganjuran sahaja berbeza walaupun dalam satu Wilayah Persekutuan yang sama. HBN 2012 diadakan di Presint 1 dan 19, manakala Jomheboh diadakan di Presint 2. Walaupun Jomheboh diklasifikasikan sebagai majlis yang buruk dalam Islam, MPB masih bersemangat menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan sebahagiannya bermanfaat untuk disertai pengunjung.

Janji PM terhadap Belia

PM dalam ucapan perasmian Himpunan Jutaan Belia HBN 2012 berjanji untuk menyerahkan dan mewariskan negara dalam keadaan yang baik kepada generasi belia untuk diwarisi. Saya harap PM menunaikan janjinya selagi beliau memimpin kerajaan.

Kata Dr. Yusof al-Qaradhawi, jika mahu lihat negara pada masa hadapan, lihatlah pada generasi belia di masa kini. Jikalau PM mahu menyerahkan dan mewariskan negara dalam keadaan baik kepada belia, belia perlulah dipastikan bahawa intelek, emosi, rohani dan jasmani belia dibangunkan dan ditambahbaik. Apabila keempat-empat elemen kehidupan belia ini berada dalam keadaan baik, maka PM kini bolehlah menunaikan janji berkenaan.

Dalam al-Quran, belia yang mendapat pengiktirafan penuh Allah SWT adalah belia yang beriman dan bertaqwa kepadaNya dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Belia berkualiti ada Allah sebutkan dalam Surah al-Kahfi.

Sekarang, kita semua boleh melihat bahawa ada belia yang kuat satu, dua atau tiga elemen kehidupan tersebut tetapi lemah pada tiga, dua atau satu elemen kehidupan. Ada jua belia yang kuat kesemua elemen kehidupan tersebut dan ada yang sebaliknya. Dalam hal ini, belia harus diberi bimbingan dan motivasi. Barulah belia terus berpotensi untuk meneruskan kelangsungan negara.

Outro

Antara beberapa kesimpulan yang dapat saya katakan mengenai HBN 2012.

Pertama, Sekretariat HBN hendaklah memperbanyakkan aktiviti yang berfaedah dan yang lebih menjurus kepada pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani para belia.

Kedua, kita menyokong sikap keterbukaan kerajaan. Akan tetapi, sikap keterbukaan perlu dipandu dengan rasa beragama dan rasa bertuhan.

Ketiga, pembangunan belia adalah tanggungjawab semua, bukannya tanggungjawab satu pihak semata-mata. Pembangunan belia

Keempat, untuk memperbetulkan sesuatu perkara, sesebuah pihak perlu mengambil langkah lain yang bersifat positif dan baik untuk kesemua pihak.

Kelima, cercaan dan makian tidak menyelesaikan atau memperbetulkan sesuatu perkara kerana cercaan dan makian yang kita lemparkan berbalik kepada diri kita sendiri. Islam mengajarkan umatnya untuk berbincang bukannya menjadi ekstremis dengan berbuat perkara demikian.

Keenam, belia memerlukan suntikan keseimbangan keempat-empat elemen kehidupan belia agar negara terus aman dan stabil seperti yang belia sendiri harapkan. Ketandusan salah satu elemen kehidupan belia memungkinkan terjejasnya kestabilan negara.

Ketujuh, adalah bersalahan sekiranya pihak sana semuanya salah, kita sahaja yang betul. Sepatutnya terbalik, itu lebih baik; ataupun memberi sangkaan bahawa kita ada yang salah, ada yang betul, dan begitulah jua sangkaan kepada pihak sana.

Terima kasih, KBS, kerana meraikan belia dengan HBN. Cuma, belia kini mahukan diri mereka dibangunkan secara sihat dan positif.

Wallahu a'lam.

Comments