Friday, 11 May 2012

Halatuju Mendatang

Muqaddimah

Segala puji bagi Allah yang melimpahkan rezeki kepada hamba-hambaNya. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, kaum keluarganya dan para sahabatnya yang dimuliakan.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada ayahbonda, kaum keluarga, guru-guru, sanak saudara, sahabat handai dan semua yang mengenali dan mensahabati diri ini atas doa dan sokongan yang diberikan kepada saya.

Pada 21 Mac lepas, saya mendapat keputusan 4A, 3A-, 2B+ dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011. Selain itu, dalam penilaian Bahasa Inggeris (Kertas SPM 1119) Sijil Am Pelajaran Cambridge Tingkat Biasa (Cambridge GCE-O Level), saya mendapat gred C6; dalam penilaian Pengiktirafan Antarabangsa Dewan Perniagaan dan Perindustrian London Tahap 2 (LCCI-IQ Level 2), saya mendapat Gred 1. Alhamdulillah. Semua sijil ini akan dikeluarkan tahun hadapan, kecuali sijil LCCI-IQ Tahap 2 yang dijangka akan dikeluarkan hujung tahun ini setelah permohonan dibuat.

Berikut saya senaraikan permohonan demi permohonan yang saya lakukan secara rasmi setelah menerima keputusan SPM, dan hasilnya setakat hari ini.

Permohonan ke IPTA

Saya ada memohon kemasukan ke kursus Asasi dan Diploma di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Permohonan dibuat secara atas talian melalui Unit Pusat Universiti (UPU) [sekarang Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP)], Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Berikut adalah antara pilihan saya dalam permohonan ke IPTA setelah diisi dan dikemaskini sehingga 3 kali.

1. Asasi Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
2. Tamhidi Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
3. Asasi Ilmu Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam, UIAM.
4. Asasi Pendidikan Islam, UM.
5. Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, USIM.
6. Asasi Syariah, Universiti Malaya (UM).
7. Diploma Pengajian Islam (Bahasa dan Kesusasteraan Arab), UniSZA.
8. Diploma Pengajian Islam (Dakwah), UniSZA.

Alhamdulillah. Pada 7 Mei, saya secara rasminya ditawarkan kursus Asasi Bahasa Arab di Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM). Pilihan Pertama dalam senarai permohonan. Sesi pendaftaran akan diadakan pada 3 Jun ini di CFS, IIUM, Seksyen 12, Petaling Jaya, Selangor.

Saya juga ada memohon kemasukan ke program Diploma Tahfiz al-Quran di Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Permohonan dibuat secara atas talian melalui DQ. Pada 10 April, saya telah dipanggil untuk temuduga kemasukan di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat Negeri Sabah (MTQQS), Kepayan, Kota Kinabalu. Alhamdulillah. Pada 26 April, saya diterima masuk ke DQ dan diarah mendaftar masuk pada 7 Mei.

Saya juga ada memohon kemasukan ke Kursus Bahasa Arab Sabah-Sarawak anjuran bersama Akademi Pengajian Islam(API), Universiti Malaya (UM); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS). Permohonan dibuat secara manual melalui SPI, JPNS. Sekitar 1-2 minggu lepas, API UM telah mengadakan temuduga di SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK). Saya mengisi borang pada hari temuduga dan terus ditemuduga pada hari berkenaan. Alhamdulillah. Kelmarin (10 Mei), ayah saya ditelefon mengatakan bahawa saya layak dan diterima masuk ke API UM, Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan.

Permohonan ke IPG

Saya juga ada membuat permohonan kemasukan ke Kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) di Institut Pendidikan Guru (IPG). Permohonan dibuat atas talian melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran (KPM). Saya telah dipanggil untuk temuduga kemasukan pada 7 Mei di IPG Kampus Kent, Tuaran, dengan opsyen diberikan ialah opsyen Bahasa Arab Pendidikan Rendah Sekolah Kebangsaan (SK).

Alhamdulillah. Pada pandangan saya, semuanya (setakat ini) berjalan lancar. Saya berharap agar saya dapat masuk IPG. Cuma, harapan untuk memasuki IPG kali ini amat tipis kerana hanya 1 200 pelajar yang akan dilayakkan memasuki IPG daripada kalangan ratusan ribu yang memohon dan sekitar 9 000 orang yang layak ditemuduga.

Permohonan ke IPTS

Kemasukan ke kursus Asasi dan Diploma di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti INSANIAH (KUIN) dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). Setakat hari ini, hanya KIPSAS yang menerima saya masuk untuk mengikuti kursus Diploma Pengajian Islam (Bahasa Arab dan Tamadun Islam). KUIS dan KUIN tidak merespon permohonan saya setakat ini.

Pilihan Sebenar

Saya sebenarnya mempunyai impian untuk menjadi seorang pendidik di masa hadapan. Selari dengan matlamat itu, saya juga mempunyai hasrat untuk masuk ke IPG. Namun begitu, harapan untuk masuk IPG semakin tipis. Nisbah pelajar yang akan diterima masuk dengan nisbah pelajar yang ditemuduga ialah 10:75, yakni hanya 10 pelajar yang layak masuk IPG daripada setiap 75 orang pelajar yang ditemuduga untuk kemasukan ke IPG.

Rancangan saya sekarang, begini. Saya akan mendaftar terlebih dahulu sebagai pelajar Asasi Bahasa Arab di UIAM, Petaling Jaya pada petang 3 Jun. Selepas itu, pada 5 Mei, saya akan memeriksa keputusan temuduga sama ada berjaya atau tidak. Jika saya berjaya memasuki IPG, saya akan mendaftar keluar dari UIAM dan harus pulang ke Tuaran, Sabah. Jika sebaliknya berlaku, saya terus kekal di UIAM dan saya ada rancangan lain dalam pengajian.

Saya terpaksa menolak kemasukan ke DQ setelah dilayakkan kerana secara kebetulan, tarikh mendaftar masuk ke DQ (7 Mei) bertindih dengan tarikh saya ditemuduga untuk melayakkan diri memasuki IPG, di Aras 3 Pentadbiran, IPG Kampus Kent, Tuaran.

Saya juga terpaksa menolak untuk memasuki UM kerana saya dan keluarga telah berpandangan bahawa saya lebih sesuai berada di UIAM, dan saya ingin memberi peluang pula kepada orang lain untuk meneruskan pengajian di UM, universiti yang unggul yang melahirkan ramai pemimpin berkualiti.

Saya juga tidak akan masuk ke IPTS memandangkan saya mendapat tempat yang lebih baik di IPTA; dan tidak akan masuk ke Tingkatan 6 di SMKAKK seperti yang ditawarkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, kerana saya rasa saya perlu meneruskan pengajian ke tempat yang lebih baik, dan akhirnya saya memang ditawarkan oleh UPU, JPT untuk memasuki UIAM. InsyaAllah.

Saya tidak memohon untuk meneruskan pengajian ke IPT antarabangsa kerana kekurangan sumber kewangan.

Biasiswa

Saya ada memohon Biasiswa Peneraju Tunas Potensi, Yayasan UEM. Cuma, saya tidak dipanggil untuk ditemuduga sekaligus tidak layak menerima biasiswa ini.

Di samping itu, saya tidak memohon biasiswa Yayasan Sabah, Yayasan Negeri Sembilan juga biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kerana setakat ini, saya belum berkeperluan dengan biasiswa tersebut. Keluarga saya, InsyaAllah, masih mampu menampung kos pengajian saya – jasa dan pengorbanan besar dalam berusaha mencapai kejayaan. Saya hanya memerlukan biasiswa di tahun lain, terutamanya apabila berjaya melanjutkan pengajian untuk mendapatkan ijazah pertama. Sekarang ini, jika saya berada di CFS IIUM kini, saya hanya melakukan persediaan untuk pengajian peringkat ijazah.

Pengajian peringkat asasi sama tarafnya dengan pengajian peringkat Matrikulasi KPM. Jikalau dibandingkan pelajar Asasi IPTA dan Matrikulasi KPM dengan pelajar Tingkatan 6 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan Sijil Tinggi Agama (STAM) serta pelajar Diploma, pelajar STPM, STAM dan Diploma lebih beruntung. Jika mereka tidak berjaya meneruskan pengajian, mereka sudah boleh mencari kerja. Dalam sistem Perkhidmatan Awam, warganegara berkelulusan STPM, STAM dan Diploma layak diberikan kerja sebagai penjawat awam gred 27 hingga 40.

Walau bagaimanapun, saya ‘dihadiahkan’ oleh JAKIM dengan Biasiswa Pengajian Tahfiz al-Quran sempena pengajian di DQ, berjumlah sekitar RM 12 ribu untuk kesemua 6 semester. Cuma, oleh sebab saya menolak untuk masuk ke DQ, maka saya meninggalkan hadiah sedemikian rupa.

Alhamdulillah. Saya juga ditawarkan Bantuan Kewangan Pelajar Asasi seperti jua pelajar-pelajar Asasi/Tamhidi IPTA yang lain oleh Bahagian Biasiswa, KPT. Apabila saya telah mendaftar secara rasminya sebagai pelajar Asasi UIAM, saya (begitu jua pelajar Asasi/Tamhidi IPTA yang lain) akan menerima biasiswa sebanyak sekitar RM 8-9 ribu untuk semaksima 4 semester.

Jika saya diterima masuk ke IPG, saya juga akan menerima biasiswa daripada KPM. Pelajar IPG ditawarkan biasiswa pengajian berjumlah puluhan ribu ringgit untuk 3 semester Program Persediaan Ijazah Sarjanamuda Perguruan (PPISMP) dan 8 semester Program Ijazah Sarjanamuda Perguruan (PISMP). Elaun untuk pelajar PPISMP berjumlah sekitar RM 400 sebulan manakala elaun untuk pelajar PISMP (sebenar-benar Guru Pelatih) berjumlah sekitar RM 600 hingga RM 700 sebulan.

Kesimpulan

Di mana-mana pun saya berada, saya tetap akan teruskan perjuangan. Saya memang bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik. Saya mohon doa dan sokongan kalian untuk cita-cita saya ini, semoga Allah bantu saya dan sampaikan cita-cita saya untuk menjadi seorang pendidik.

KepadaMu, ya Allah, saya sebagai hambaMu redha dengan segala Qadha dan QadarMu. Cukuplah diriMu, ya Allah, sebaik-baik penolong, pelindung dan pembela.

Memang adat hidup bercita,
Diri bersungguh dan usahalah;
Memang ibadat padaNya dipinta,
Diri berserah dan berdoalah.

Wa Allahu a’lam.

2 comments:

  1. wow.panjang cerita awak.syok je bace.apa-apa pun,good luck k. kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum ... saya nak bertnya adakah kalau minx IPG akan ada biasiswa ?? saya mndapat 9A dlm spm 2014 dan cita2 saya nak jadi cikgu ... mohon pencerahan utk saya minta biasiswa

    ReplyDelete