Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 Negeri Sabah

Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 Negeri Sabah berlangsung secara serentak di Kota Kinabalu dan Tawau.

Sesi yang diadakan di Kota Kinabalu meliputi peserta dari daerah pendidikan Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Nabawan, Papar, Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

Sesi yang diadakan di Tawau pula meliputi peserta dari daerah Telupid, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Labuk-Sugut, Tongod, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

DNPN 2012 Negeri Sabah bagi Kota Kinabalu berlangsung di Grand Ballroom, 1 Borneo, dengan Dialog dikendalikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr. Wan Zahid Wan Mohd. Noordin, dan mantan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Kamal DE Quadra. Dialog yang bermula pada jam 8.55 pagi dan tamat pada sekitar jam 1 petang tadi dihadiri sekitar 400 orang yang terdiri daripada guru-guru, pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik serta orang awam.Turut hadir, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Dr. Muhidin Yusin, timbalannya, Pn. Hjh. Maimunah Hj. Suhaibul, dan Tokoh Guru Kebangsaan 2012, Datuk Mary Yap.

Sebelum sesi dialog, Pengerusi Panel Dialog, Tan Sri Dr. Wan Zahid Wan Mohd. Noordin, mengingatkan para peserta bahawa sesi dialog adalah sesi untuk memberikan pandangan dan cadangan, bukannya sesi untuk soal jawab.

Berikut saya senaraikan isu dan dibentangkan oleh berpuluh orang yang bersuara pada dialog itu tadi berdasarkan bidang keutamaan.

  • Guru - Menjana transformasi dan menyuburkan semula profesion perguruan sebagai pilihan profesion utama. 
    1. Kuota guru dan pembantu tadbir bagi negeri Sabah untuk anak jati Sabah.
    2. Peningkatan kualiti guru dan pemimpin sekolah.
    3. Kebajikan guru.
    4. Kemudahan dan saraan guru dan pemimpin sekolah.
    5. Guru dan politik di dalam dan di luar sekolah.
    6. Pendedahan kepimpinan sekolah kepada guru-guru yang bakal memimpin sekolah.
  • Kepimpinan Sekolah - Menjana transformasi dan memperkaya keupayaan kepimpinan sedia ada dan pemimpin masa depan di sekolah-sekolah.
    1. Penjenamaan semula dan pembaharuan penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pengetua dan guru besar.
    2. Peluang kerjaya kepada Penolong Kanan di sekolah rendah dan menengah.
    3. Autonomi kepada ketua sekolah.
    4. Pentadbiran sekolah secara kolektif.
    5. Pemantapan kepimpinan pelajar.
  • Kualiti Sekolah - Meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dan memastikan setiap sekolah mencapai standard minimum infrastruktur asas.
    1. Progresif pembangunan infrastruktur pendidikan.
    2. Pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
    3. Keciciran pelajar.
    4. Pembinaan asrama desa dan rumah guru di sekolah-sekolah pedalaman.
  • Kurikulum dan Pentaksiran - Mengukuh dan menantarabangsakan kurikulum dan kerangka pentaksiran.
    1. Galakan pendidikan teknik dan vokasional kepada pelajar yang kurang mantap dalam akademik.
    2. Pembelajaran jarak jauh bagi pelajar yang rumahnya jauh dari sekolah.
  • Profisiensi Pelbagai Bahasa - Memperkukuh Bahasa Melayu, meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris dengan cepat dan meluaskan peluang untuk setiap murid mempelajari bahasa ketiga.
    1. Galakan kepada pelajar untuk mempelajari bahasa ketiga.
    2. Amalan bahasa pengantar mengikut bangsa terhadap sekolah.
    3. Penekanan Bahasa Arab terhadap pelajar-pelajar Islam.
  • Peluang Pasca Menengah - Meningkatkan kesediaan pelajar untuk pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan dalam pasaran kerja.
    1. Promosi pendidikan pra universiti di sekolah.
    2. Pemantauan terhadap institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
    3. Penambahan kuota kemasukan pelajar lepasan SPM ke Institut Pendidikan Guru (IPG).
  • Ibu Bapa dan Masyarakat - Menganjak sistem pendidikan daripada sistem sekolah kepada sistem pembelajaran dengan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta. 
    1. Penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
    2. Kerjasama awam-swasta.
    3. Kuasa eksekutif pentadbiran sekolah kepada PIBG.
    4. Hubungan antara kerajaan dengan sekolah mubaligh.
    5. Peranan ibu bapa dalam membentuk potensi pelajar.
  • Penggunaan Sumber yang Efisien dan Efektif - Mengurangkan pembaziran, merasionalisasikan program, menjimatkan kos dan meningkatkan kreativiti merentasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JPN dan PPD.
    1. Pengurusan kewangan sekolah mubaligh.
    2. Penggajian kakitangan bukan mengajar (KTBM) sekolah.
    3. Pembatalan Program Penutur Jati.
    4. Penjenamaan semula Kajian Semula Pendidikan.
  • Kapasiti dan Keupayaan Sistem Penyampaian - Meningkatkan sistem penyampaian dan follow-through, membina kapasiti kepimpinan dalam KPM, JPN dan PPD.
    1. Pengurusan dan pembangunan fizikal sekolah.
    2. Pemerkasaan PPD berskala kecil.
    3. Hal ehwal pelanggan dalaman dan luaran.
    4. Sekolah satu sesi. 
    5. Semakan terhadap Falsafah Pendidikan Negara.
  • Lain-lain
    1. Kepentingan pembangunan insan.
    2. Keseimbangan akademik dan sahsiah pelajar.
    3. Penubuhan persatuan bukan agama Islam.
Ahli panel Dialog memuji peserta Sabah yang mempunyai banyak idea yang baru dan bernas untuk dibentangkan kepada Kementerian Pelajaran.

Comments