Selepas Ini ke Pengajian Tinggi

Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang masih memberikan peluang kepada kita semua untuk meneruskan kehidupan dan melanjutkan diri mengharungi masa depan yang mendatang.

Berbekalkan keputusan 4A, 3A-, 2B+ dan 1B yang saya perolehi dalam SPM 2011, saya berdoa semoga Allah SWT sampaikan saya meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Perhatian - cita-cita saya yang sebenarnya adalah untuk menjadi seorang pendidik di masa yang mendatang. Hal ini demikian kerana, saya tahu bahawa kedudukan guru amat tinggi berbanding kedudukan penjawat yang lain. Tanpa guru, tiadalah negara; tanpa guru, tiada yang akan menjadi guru juga menjadi penjawat yang lain.

Untuk itu, saya telah mengisi pelbagai permohonan sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Saya berpendapat bahawa saya bertindak sedemikian kerana dua perkara. Pertama, untuk mendapatkan pekerjaan, bukan lagi tempat belajar yang menjadi keutamaan. Yang diutamakan kini ialah pencapaian keseluruhan sepanjang berada dalam pengajian. Perkara ini boleh disebut sebagai meritokrasi yang kini dipandang tinggi dan penting oleh kerajaan kini. Kedua, keputusan yang ada kini tidak menjamin kemasukan saya ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

Keutamaan permohonan dan kemasukan, saya susun seperti berikut:


  1. Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) di IPG. Permohonan dibuat melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
  2. Program Asasi di IPTA. Permohonan dibuat menerusi Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
  3. Program Diploma di IPTA. Permohonan dibuat menerusi UPU, KPT.
  4. Program Diploma Tahfiz al-Quran di Darul Quran (DQ). Permohonan dibuat melalui DQ.
  5. Program Asasi atau Diploma di institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Permohonan dibuat melalui pengurusan akademik di setiap IPTS. IPTS tersebut ialah Kolej Universiti INSANIAH (KUIN) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
  6. Kelas Pra Universiti di (Pra-U) Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Permohonan dibuat melalui Bahagian Pendidikan Islam (BPI), KPM.
  7. Kelas Pra-U di tempat lain, mungkin di sekolah sendiri. Permohonan ditiadakan. Pemilihan dibuat secara automatik.

Saya pun tidak memohon untuk masuk ke Kolej Matrikulasi KPM kerana tidak mengambil subjek Matematik Tambahan (MT) dalam SPM 2011. Saya memilih subjek Ekonomi Asas (EKO) ketika SPM 2011. Ketika di sekolah, saya yang menuntut dalam aliran sastera ikhtisas (perakaunan) diberi pilihan sama ada untuk mengambil MT atau EKO. Maka, saya memilih EKO.

Ada yang memohon agar saya meneruskan pengajian di Mesir, Jordan dan Arab Saudi. Namun begitu, saya bukan tidak mahu meneruskan pengajian ke luar negara. Atas beberapa sebab yang menjadi halangan, buat masa yang terdekat ini, saya hanya ingin meneruskan pengajian di Malaysia, bumi yang tercinta. Jikalau diizinkan Allah, saya tetap mencuba untuk meneruskan pengajian di luar negara.

Namun, sebelum itu, saya dipesan untuk melatih pasukan debat Bahasa Arab sekolah. Saya akan cuba sebaik mungkin. Cuma, saya bimbang saya tidak kesampaian untuk melakukan perkara yang demikian kerana tarikh mendaftar di pelbagai tempat ini berbeza, jika layak mendaftar ke sana. Pendaftaran masuk ke DQ ialah pada 7 Mei. Pendaftaran masuk ke IPTA ialah pada 27 Mei (untuk program Asasi) dan 2 Jun (untuk program Diploma). Pendaftaran masuk ke IPG ialah pada 18 Jun. Pendaftaran masuk ke Pra-U sekolah-sekolah mungkin pada 13 Jun atau lebih awal dari itu. 

Jika saya tidak sempat melatih mereka, saya memohon beribu kemaafan. Walau bagaimanapun, saya bersedia untuk menghantar nota taklimat kepada mereka. Tambahan pula, saya sudah menyediakan jurnal kepada Kelab saya pada tahun lepas sebagai rujukan kepada yang seterusnya.

Kepada pasukan debat sekolah saya yang kini, semoga Allah izinkan kalian untuk sampaikan diri ke pertandingan tersebut dan untuk buat yang terbaik bagi diri, sekolah dan negeri Sabah.

Comments