Pelihara Nasab, Jauhi Zina


"Sesungguhnya Islam bukan sahaja mengharamkan manusia daripada melakukan zina. Malah, Islam turut melarang keras umatnya daripada melakukan sebarang perkara yang memungkinkan perzinaan."

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu adalah orang-orang Islam.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Saya berpesan pada diri saya dan semua, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Sesungguhnya dosa akan mencemari kesucian fitrah seseorang insan apabila dia meninggalkan suruhan Allah dan melanggar laranganNya. Justeru, kita mesti berusaha menghindari sebarang perkara yang mendatangkan dosa dan murka Allah di samping membersihkan diri daripada segala dosa yang telah dilakukan dengan taubat nasuha. Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Tahrim, ayat 8)

InsyaAllah, mimbar pada hari ini ingin membicara dan menyeru sesuatu: Pelihara Nasab, Jauhi Zina.

Tuan-tuan yang mulia,

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak menyedari bahawa negara kita sedang dan sering berdepan dengan krisis moral dan kebejatan sosial yang kian membimbangkan. Selain daripada gejala pembuangan bayi, kenyataan ini turut disokong oleh bilangan anak luar nikah yang semakin meningkat hari demi hari, tahun demi tahun.

Perkara ini didasarkan kepada statistik Jabatan Pendaftaran Negara yang mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf mencecah 234,647 orang sepanjang tahun 2006 hingga 2010. Jumlah ini membabitkan 80,979 orang (atau 34.5 peratus) ibu beragama Islam dan mewakili 9 peratus daripada keseluruhan 2.48 juta kelahiran dalam tempoh berkenaan.

Lebih mendukacitakan lagi, anak-anak yang suci bersih ini menerima nasib yang malang apabila dibuang dengan hina. Ada di antara mereka ditinggalkan di tepian jalan dan ada pula yang dibuang ke dalam tong sampah bagi menutup perbuatan aib akibat perbuatan zina yang amat terkutuk. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sebanyak 506 kes pembuangan bayi sejak tahun 2004 dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008.

Statistik-statistik yang mimbar sebutkan tadi sudah jelas lagi bersuluh memberi isyarat bahawa perbuatan zina semakin menjadi-jadi dalam masyarakat. Senario ini juga seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka yang melakukan dosa besar itu tidak sedikit pun gusar atau bimbang akan implikasi negatif perbuatan mereka. Malah, ada di antara mereka yang bangga dan tidak segan silu melakukan perkara-perkara muqaddimah zina (permulaan perbuatan zina) secara zahir seperti berdua-duaan, berpelukan, berciuman dan sebagainya dalam kalangan lelaki dan wanita yang ajnabi (bukan mahram).

Sidang jemaah sekalian,

Sesungguhnya Islam bukan sahaja mengharamkan manusia daripada melakukan zina. Malah, Islam turut melarang keras umatnya daripada melakukan sebarang perkara yang memungkinkan perzinaan. Firman Allah SWT:

...dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan ke arah kerosakan. (Surah al-Israk, ayat 32)

Tafsir Pimpinan ar-Rahman, dalam menafsirkan ayat ini, menjelaskan bahawa Allah SWT melarang manusia daripada menghampiri sebarang jalan yang membawa kepada zina, apatah lagi perbuatan zina itu sendiri kerana perkara ini bukan sahaja satu perbuatan yang terang kekejiannya, tetapi juga menimbulkan pelbagai kerosakan dan bencana dalam masyarakat. Antaranya, termasuklah merosakkan nasab keturunan, mengembangkan penyakit yang berbahaya dan menimbulkan permusuhan.

Dalam erti kata yang lain, kalimah la taqrabu yang bererti jangan mendekati bukan sekadar melarang manusia melakukan zina. Malah, mendekatinya juga menganjurkan sesuatu yang menjurus ke arah perbuatan zina pun amat dilarang. Hal ini demikian kerana, manusia secara fitrahnya dihiasi dengan nafsu seks dan lazimnya manusia sukar mengawal naluri seks serta godaan nafsunya untuk melakukan sesuatu yang ditegah Islam melainkan jika seseorang itu mempunyai ketahanan iman serta ingat akan azab Allah di dunia dan di akhirat.

Tuntasnya, ayat 32 Surah al-Israk itu tadi mengajar kita beberapa perkara.

PERTAMA, jangan sesekali mendekati zina kerana biasanya manusia akan tewas dengan desakan nafsu seks.

KEDUA, jangan biarkan diri terdedah kepada suasana zina seperti berdua-duaan, mendedahkan aurat, melihat video dan gambar pornografi dan sebagainya.

KETIGA, jangan mengadakan majlis atau sesuatu yang boleh mendorong ke arah perzinaan seperti parti sosial yang dihiasi dengan acara tari-menari, minuman keras dan sebagainya.

KEEMPAT, semua bentuk iklan, poster, laman sesawang atau sebarang yang bersifat penerangan dan perhubungan yang mengeksploitasi wanita sebagai daya tarikan melalui pendeahan aurat dan gerak-geri yang menggiurkan, hendaklah diharamkan.

KELIMA, semua pihak harus memainkan peranan membendung gejala zina dengan membudayakan budaya amar makruf nahi munkar dengan mengajak masyarakat kepada perkara yang baik di samping mencegah segala bentuk maksiat dan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menceritakan perihal seorang lelaki Muslim bernama Maiz bin Malik datang mengadap Rasulullah SAW ketika berada di masjid. Kata Maiz, “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.” Mendengar kata-kata Maiz itu, Rasulullah SAW memalingkan mukanya daripadanya seolah-olah tidak melayannya. Namun, Maiz mengulangi sekali lagi kata-katanya itu sehingga 4 kali. Lantas, Rasulullah SAW memanggilnya dan bertanya, “Apakah kamu gila?” Maiz menjawab tidak. Baginda bertanya lagi, “Apakah kamu pernah berkahwin?” Maiz mengiyakan. Lalu, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat, “Bawakan dia pergi dan rejamlah!” Hadis Riwayat Muslim. Sabda Rasulullah SAW dalam pernyataan yang lain, “Semoga Allah ampunkan Maiz bin Malik.” Semoga Allah mengampunkan Maiz bin Malik.

Sementara itu, dalam riwayat daripada Sulaiman Buraydah, diceritakan tentang seorang wanita dari Kabilah al-Ghamidiyyah datang berjumpa Rasulullah SAW dan mengaku bahawa dia telah mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang untuk melahirkan dan menyusukan anak itu terlebih dahulu sehingga tamat tempoh susuan. Setelah itu, barulah dia akan direjam sepertimana yang disyariatkan.

Kedua-dua kes yang diketengahkan ini memperlihatkan betapa orang yang bersalah kerana berzina ingin sekali membersihkan dirinya daripada dosa lantas bersedia menerima serta menjalani hukuman yang sepatutnya daripada Rasulullah SAW. Perkara ini mencerminkan tahap kesedaran serta keinsafan yang tinggi terhadap balasan penzina di akhirat kelak yang sudah pasti lebih dahsyat, menyakitkan dan sangat pedih. Lalu, mereka membersihkan dosa dengan mengakui kesalahan dan bersedia dihukum menurut syariat Allah SWT di dunia walaupun pada dasarnya perkara ini memudaratkan diri sendiri.

Namun, hakikatnya pada zaman ini, belum kedengaran (bahkan mungkin tiada) kedengaran orang yang berzina sama ada lelaki mahupun wanita tampil mengakui dosanya dan bersedia menerima hukuman zina yang sewajarnya. Yang sering kita dengar ialah cubaan menyembunyikan perbuatan zina yang dilakukan sehingga ada yang tergamak membuang dan membunuh bayi yang lahir hasil hubungan luar nikah. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang didakwa melakukan zina melantik peguam untuk membelanya sebagai usaha mengelak diri daripada disabitkan bersalah kerana berzina ataupun melakukan penyatuan luar nikah.

Sidang jemaah yang dikasihi Allah,

Para penzina dan mereka yang membuang atau menyembunyikan bayi boleh terselamat daripada hukuman dunia atas pelbagai upaya dan helah mengelakkan diri daripada menerima azab Allah SWT di akhirat kelak sekiranya belum sempat bertaubat. Sementelahan itu, mereka yang terjebak dengan maksiat tidak harus bahkan ditegah mensia-siakan sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki untuk membersihkan diri daripada segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan selama ini dengan kembali ke pangkal jalan memperbetulkan semula halatuju hidup sesuai dengan hidayah Islam. Tuan-tuan yang mulia, sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Walau sebesar dan sebanyak mana pun dosa yang dilakukan oleh hambaNya, nescaya Allah akan menerima taubat hamba-hambaNya jika benar-benar insaf akan kesalahannya dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

Katakanlah, (wahai Muhammad), “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan dosa dan kemungkaran), jangan putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa, kesemuanya; dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar, ayat 53)

Selanjutnya, sabda Rasulullah SAW, "Setiap anak Adam itu (tidak lari daripada) kesalahan; dan sebaik-baik pesalah itu adalah orang-orang yang bertaubat." (Hadis Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Jumaat, 6 April 2012.
Masjid Nurul Ikhwaniah, Kampung Berungis, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dengan suntingan.

Comments