Mensyukuri Pencapaian SMKAKK

Alhamdulillah. Saya tersenarai bersama berpuluh warga SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) yang lain untuk menerima pengiktirafan sempena Ihtifal Anugerah Cemerlang (IAC) SMKAKK 20/2012 yang akan diadakan esok di Dewan Ibnu Taimiyyah (IT) SMKAKK. Majlis esok akan dirasmikan oleh Canselor Tahunan, Pn. Hjh. Nor Hayati Lebai Isa, Timbalan Pengarah Pelajaran (Pengurusan Pendidikan Islam), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), mewakili Pengarah Pelajaran (Pendidikan Islam) KPM, Tuan Hj. Abdullah Mad Din. Saya berpendapat bahawa hadiah yang akan saya terima nanti adalah suatu pengiktirafan akademik sekolah kepada saya setelah 5 tahun berusaha sesungguh mungkin untuk mencipta kejayaan yang signifikan.

Merentet sejarah yang bakal dicipta sempena IAC SMKAKK 20/2012, esok. Sudah semestinya bonda Pengetua, Pn. Jaimis Saiman, akan membacakan Prospektus Tahunan SMKAKK secara ringkas dan padat. Segala rekod baik dan buruk sekolah dan seisinya sudah terfail di dalam arkib sekolah. Bagaimanapun, data-data yang menunjukkan pencapaian dan peningkatan sudah tentu akan dibentangkan di Dewan IT SMKAKK esok. Tambahan pula, Rasulullah SAW sudah berpesan dalam hadisnya supaya banyakkan cerita mengenai kebaikan yang menyenangkan hati.

Syukur, Alhamdulillah. Akademik SMKAKK masih di tahap yang cemerlang dan tersendiri. SMKAKK menang dalam pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari segi kualiti prestasi. SMKAKK juga telah berjaya menaikkan Gred Purata Sekolah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SMKAKK juga berhasil membersih dan mencantikkan dengan menunjukkan peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Tahniah kepada semua warga kerana mencipta rekod yang indah kiranya ini. Semua ini akan diiktiraf dalam IAC SMKAKK 20/2012, esok. IAC SMKAKK 20/2012 akan menyaksikan lebih daripada 13 orang pelajar PMR 2011, 10 orang pelajar SPM 2011 dan 5 orang pelajar STPM 2011 akan diberi pengiktirafan kerana kecemerlangan dalam setiap peperiksaan awam 2011. Lebih daripada 42 orang pelajar akan menerima pengiktirafan kerana kecemerlangan dalam Peperiksaan Sumatif Akhir Tahun 2011. Manakala lebih daripada 3 buah Panitia Akademik akan turut diiktiraf kerana peningkatan dalam subjek-subjek tertentu dalam setiap peperiksaan awam. Antara matapelajaran yang akan diiktiraf termasuklah matapelajaran Ekonomi Asas, Prinsip Perakaunan dan Sains Am SPM.

Syukur, Alhamdulillah. SMKAKK juga unggul dalam bidang kokurikulum. Beberapa nama berjaya diukir melalui penyertaan dan pencapaian dalam program-program berbentuk sokongan akademik, kepimpinan dan kesukanan di pelbagai peringkat sehinggalah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya, beberapa orang warga Pengakap SMKAKK yang mewakili negeri Sabah berjaya menyertai aktiviti bersifat diplomasi dan hubungan antarabangsa dengan Pengakap Korea Selatan. Seorang pelajar SMKAKK mendapat Tempat Keempat dalam acara Syarahan Agama Sekolah Menengah (Lelaki) di Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan. Seorang pelajar SMKAKK juga berjaya melangkah mewakili Sabah ke Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia apabila berjaya mendapat tempat ketiga acara Catur kategori Lelaki Bawah 15 Tahun dalam pertandingan yang sama di peringkat negeri. Setiap tahun juga, beberapa warga SMKAKK dikurniakan Pingat Perak dan Gangsa Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Malaysia.

Ada lagi beberapa penyertaan dan pencapaian lain yang ingin dikongsi. Bagaimanapun, saya tidak mampu menyebutnya satu persatu. Namun begitu, semua pencapaian kokurikulum SMKAKK sudahpun difailkan dan sebahagian besarnya diterakan dalam Majalah al-Qudwah 2011 dan sebahagian besar juga telah dikurniakan pengiktirafan dalam Hari Anugerah Kokurikulum 2011 yang telah diadakan beberapa hari sebelum sesi persekolahan 2011 dibubarkan.

Melihat kepada sumbangan dan kepemimpinan seluruh warga sekolah. Sekolah, pada tahun sudah, berjaya dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang respektif dan supportif. Pemimpin-pemimpin ini pula [tanpa mengira pemimpin itu pentadbir, warga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru mahupun pelajar] dibantu pula oleh orang lain yang sanggup untuk membantu memimpin dan menstabilkan sekolah dan seisinya. Kepimpinan dan kepemimpinan penting demi melestarikan kestabilan sekolah serta demi memastikan bahawa sekolah sentiasa maju dan unggul selaras dengan visi, misi dan falsafah sekolah. Tanpa memikirkan segelintir pihak yang kontra terhadap kepimpinan dan kepemimpinan, yang sedia ada pun dianggap sudah mampu membawa sekolah bergerak selangkah demi selangkah.

Jutaan terima kasih kepada semua yang memimpin dari kalangan pentadbir, warga PIBG, guru mahupun pelajar sehingga sekolah terus bergerak dengan stabil. Sebagai ingatan, pemimpin itu bukan hanya setakat orang yang teratas. Pemimpin itu kita semua yang memimpin dan menabur bakti sebaik mungkin demi mendapat redha Allah dan RasulNya SAW dan demi kecemerlangan diri dan sekolah. Sebagai meraikan kepimpinan dan kepemimpinan, sempena IAC SMKAKK 20/2012, beberapa nama yang dianggap sebagai pemimpin dan penabur jasa akan diiktiraf dengan anugerah khas, termasuklah Anugerah Khidmat Bakti dan Anugerah Pelajar Mithali.

SMKAKK juga berjaya merealisasikan beberapa hubungan diplomatik dalaman dan luaran. Hubungan diplomatik penting dalam kemajuan sesebuah sekolah. Beberapa buah agensi awam dan swasta sudi mengadakan hubungan dua hala dan hubungan pelbagai hala untuk membantu SMKAKK terus cemerlang. Beberapa buah sekolah lain sekitar negara pun sudi menjalinkan dan melestarikan ukhuwwah dengan SMKAKK sebagai manfaat dua hala dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan sekolah. Namun begitu, perkara ini adalah kedua dalam senarai hubungan. Hubungan antara kita, warga SMKAKK, terus kita raikan tanpa sebarang jurang perbezaan. Saya fikir sekolah ini berjaya kerana perpaduan dan semangat diplomasi. Maka, saya berharap agar SMKAKK terus melestari dan mentransformasi tradisi-tradisi ini menjadi sesuatu yang kontemporari agar SMKAKK terus berjaya bersama rahmat dari Ilahi.

Tuntasnya, saya bersyukur untuk hidup di SMKAKK dengan aman, stabil dan maju biarpun ada batu loncatan juga hijab halimunan yang sering menghalang diri ini dan yang lain untuk terus maju dan sejahtera. SMKAKK adalah tempat saya untuk meneruskan kecemerlangan setelah saya memulakan dan menyambung kecemerlangan di SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS), jiran SMKAKK. Terima kasih banyak-banyak, semua, kerana mendorong, menyokong dan mendoakan saya sehingga suatu kecemerlangan dapat diukir dengan indah dalam lipatan sejarah. Semoga Allah membalas jasa semua dengan kebaikan, rahmat dan kasih sayangNya hendaknya.

Saya juga bersyukur melihat SMKAKK yang semakin hari semakin maju ke hadapan dalam pelbagai aspek. Yang telah maju hendaklah terus maju, dan yang masih terkebelakang hendaklah kita ke hadapankannya selangkah demi selangkah sehingga perjuangan kolektif ini seiring, sejalan dan sehaluan. Dirgahayu, SMKAKK, setelah SMKAKK maju dan megah di persada negara selama 20 tahun. Semoga hajat SMKAKK terus tercapai dengan bantuan dan hidayah Allah SWT untuk usia zaman yang seterusnya, dan semoga SMKAKK kekal menjadi gedung ilmu dan cita-cita yang berjasa kepada semua.

Tahniah kepada semua yang diiktiraf esok, InsyaAllah. Semoga Allah turut mengiktiraf semua yang diiktiraf dengan segunung berkat daulatNya.

Comments