Kita di Jalan Perjuangan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang menjadikan Islam ini agama kita dan yang menjadikan Malaysia ini negara kita. Selawat dan salam dipanjatkan ke hadrat Rasulullah SAW, ayahbondanya, kaum keluarganya dan para sahabatnya yang dimuliakan.

Pagi hari ini bermula dengan suram. Hujan, rahmat daripada Allah SWT kepada kita semua, turun mencurah-curah membasahi alam buana di sebelah sini. Turunnya hujan seolah-olah ada khabar duka dan durja yang terutus kepada Majlis di sebelah sini. Apa pun perutusan yang saya terima, saya redha kepada Allah kerana Dialah penentu segalanya setelah sekalian kita juga sekalian yang lain berusaha.

Tetapi, hujan itu tidak mungkin turun selamanya. Oleh itu, janganlah risau. Allah Maha Penyayang. Setelah hujan mencurah membasahi bumi sini, mentari tetap akan bersinar jua sekaligus membolehkan kita untuk senyum. InsyaAllah. Ingatlah, mentari yang bersinar cerah adalah mentari yang senyum. Maka, senyumlah, kerana senyuman itu sedekah yang paling terhormat.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Umum mengetahui bahawa perjuangan merupakan salah satu daripada cabang kehidupan insan. Cabaran dan peluang datang. Di waktu cabaran dan peluang mendatang, di situlah datang seruan untuk berusaha dan berjuang. Maka, saya ingin menyeru diri saya dan kita semua supaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menyempurnakan dan menjayakan sesuatu perkara lebih-lebih lagi perkara yang baik. Nazrey Johani pernah bermadah, "Gunakan kesempatan untuk kebaikan sebelum segalanya terlepas dari genggaman. Kelak menyesal nanti tak berkesudahan. Apa guna sesalan hanya menekan jiwa?"

Saya sudah menghampiri usia cukup umur untuk perundangan, iaitu 18 tahun. Saya rasa saya sudah lanjut usia - tua. Saya rasa perjuangan saya di alam persekolahan rendah dan menengah selama 11 tahun sudah terlalu banyak. Perjuangan itu bukan setakat dalam bidang akademik, malah dalam bidang kokurikulum, sahsiah, kepimpinan dan sebagainya. Saya yakin, sahabat-sahabat saya yang lain sudah atau sedang mengalami perjuangan 11 tahun dalam persekolahan, dan ada yang sudah mendahului saya. Bagi yang berada di pengajian tinggi, mereka ada perjuangan dan tempohnya yang tersendiri. Bagi yang sedang berkhidmat, mereka jua ada perjuangan tersendiri; dan bagi mereka yang telah bersara dari berjasa dalam perkhidmatan, mereka jua masih ada perjuangan tersendiri. Pendek kata, kita semua ada perjuangan kita sendiri. Tetapi, persoalan seterusnya, cara kita berjuang dan hasil perjuangan itu.

Kita ada pelbagai cara untuk berjuang sama ada menurut cara kita sendiri atau menurut garis panduan yang ada. Sudah nama pun kita ada pelbagai jenis perjuangan, maka cara kita berjuang pun pelbagai jua sebenarnya. Namun begitu, solusi paling umum dalam perjuangan ialah usaha dan doa, sudah pun begitu Islam ajarkan. Apa pun jua bentuk dan cara perjuangan, yang penting kita sudah buat yang terbaik sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Kata kebanyakan orang, kita berusaha, Allah menentukan. Berserah padaNya setelah berusaha.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari,

Apa pun hasil yang telah kita terima selepas kita berusaha, marilah, kita redhainya dengan redha kepada Qadha dan QadarNya. Jikalau hasil itu amat terbaik sehingga kita berpuas hati semudanya akan perjuangan tersebut, setinggi-tinggi tahniah diucapkan. Jikalau sebaliknya berlaku, tahniah juga diucapkan kerana kita semua tahu bahawa kita semua telah berusaha dan berjuang sebaiknya, sekurang-kurangnya terbaik buat diri kita. Perjuangan belum selesai. Medan perjuangan masih banyak, jalan perjuangan masih panjang dan cara perjuangan masih ada. Semua itu masih ada dan boleh kita gunapakai untuk memperbaiki dan seterusnya menambahbaik usaha dan perjuangan kita.

Kepada yang kurang berjaya atau kurang berhasil, janganlah terlalu bersedih. Gagal sekali bukannya kegagalan abadi. Kepada yang lebih berjaya atau lebih berhasil, janganlah terlalu bergembira. Mencipta kejayaan mudah. Namun, mengekalkan atau meningkatkan kejayaan amat sukar. Kepada yang sedang berjaya dan sedang berhasil, jangan terlalu merasa selesa. Hasilnya kita belum tahu sama ada yang terbaik atau terburuk. Teruskan perjuangan. Amir Shakirin pernah bermadah, "Kiasan hidup ibarat roda, kekadang di atas, di bawah, di atas semula. Redha dan syukur apa kehendakNya." Firman Allah SWT, "(Kata Luqman,) Wahai anak-anakku! Dirikanlah solat; serulah pada kebaikan dan cegahlah kemungkaran; dan bersabarlah atas apa-apa yang menimpamu." Surah Luqman, ayat 16. Oleh itu, bersabarlah dalam perjuangan. Sabar itu penguat diri untuk berjaya.

Kuatkan diri, tingkatkan azam. InsyaAllah, Allah pasti membalas perjuangan dengan kejayaan yang tersendiri. Jikalau Allah tidak membalas perjuangan itu di dunia ini, di akhirat balasan itu pasti, InsyaAllah. Firman Allah SWT, "Sesungguhnya inilah balasan untuk kamu dan usaha kamu dihargai." Surah al-Insan, ayat 22. Sejauh dan sebesar mana pun perjuangan itu, selagi baik, selagi itu Allah hargai. InsyaAllah.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Akhir perutusan, perutusan ini hanyalah untuk memperingatkan diri saya ini dan kita semua. Firman Allah SWT, "Maka berilah peringatan. Sesungguhnya kamulah orang yang memberi peringatan." Surah al-Ghashiyah, ayat 21. Kepada yang masih berjuang seperti diri saya ini, saya doakan semoga Allah SWT mempermudahkan kita dalam usaha dan perjuangan seterusnya membalas usaha dan perjuangan ini dengan ganjaran dan kejayaan yang setimpal. Kepada semua, sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT menyayangi kita semua dengan rahmat dan kasih sayangNya.

Sekian perutusan dan terima kasih.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam hormat,
Awang Abdul Muizz Awang Marusin
22 April 2012

Comments