Dalam Hal Pendidikan Tingkatan 6

Mulanya, saya berterima kasih kepada semua pengguna Facebook yang menerima pelawaan saya untuk memberi pendapat tentang satu isu, iaitu dalam hal kemasukan semula ke SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) dan meneruskan pengajian di sana dalam Tingkatan 6.

Respon Pungutan Suara

Saya telah membuka ruangan pungutan suara pada 24 April. Seramai 19 orang merespon pungutan suara saya, setakat waktu ini. Saya mengajukan soalan berikut, "Apa pendapat kalian andaikan saya akan masuk, belajar semula di SMKAKK?"

Saya mengajukan 4 pilihan jawapan. Pilihan pertama, terpulang pada anda untuk memilih - lebih bersifat berkecuali. Pilihan kedua, carilah tempat yang lebih baik untuk anda - lebih bersifat membantah. Pilihan ketiga, anda masih diperlukan di sana - lebih bersifat menyokong. Pilihan keempat, lain-lain - mungkin ada jawapan tetapi memerlukan huraian yang lebih holistik.

Keputusannya, 10-0-7-2. 10 orang berkecuali, tiada membantah, 7 orang bersetuju (termasuk seorang yang memberi pandangan terhurai), manakala 2 orang tidak mengundi tetapi mempunyai pandangan terhurai. Saya menghargainya. Terima kasih. Bagaimanapun, saya tidak terlalu bergantung kepada pungutan suara. Namun begitu, saya sedia mendengar sebarang pandangan dan cadangan mengenai persoalan saya yang tersebut.

Saya juga telah menerima 3 maklumbalas terhurai. Terima kasih kepada orang-orang yang berkenaan. Berikut saya senaraikan pandangan terhurai yang saya terima, berserta ucapan terima kasih kepada yang memberi pendapat sebegini.

"Ikhlas saya kata. Suasananya menyeronokkan."

"Anda tidak mempunyai masalah dari segi kebanyakan matapelajaran dalam Tingkatan 6. Cuma, anda perlu menguasai matapelajaran Pengajian Am dan Bahasa Inggeris."

"Teruskan jika merasa selesa untuk belajar di sana. Pilih yang terbaik. Jangan terlalu bergantung dengan pendapat orang sebab payah nanti jika orang mahukan sesuatu tetapi kita tidak mahu."

"Tinggal anda yang menjadi harapan."

Keputusan BPSH, KPM

Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan senarai nama yang layak ke Tingkatan 6 sekolah-sekolah harian termasuklah sekolah-sekolah berasrama harian seperti SMKAKK. BPSH memutuskan agar saya meneruskan pengajian di SMKAKK dalam Tingkatan 6 Bawah. Begitulah jua keputusannya dengan yang lain sama ada yang menuntut di SMKAKK atau di sekolah lain, tahun lepas. Tetapi, tidak semua mendapat tempat di SMKAKK. Ada yang mendapat tempat di sekolah lain dalam bidang lain.

Saya tidak menjangkakan keputusan ini kerana keputusan ini dibuat oleh sistem atas talian automatik kendalian BPSH, KPM itu sendiri. Hal ini sudah diperjelaskan dahulu oleh Guru Tingkatan 6 SMKAKK itu sendiri. Namun begitu, nama saya adalah antara yang disebut-sebut masuk semula ke SMKAKK dalam Tingkatan 6. Oleh sebab itu, ada segelintir yang sudah bertanya tentang saya dan SMKAKK.

Keputusan BPI, KPM

Setakat ini, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), KPM belum mengeluarkan sebarang keputusan mengenai permohonan memasuki Tingkatan 6 sama ada di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor, atau di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Nilai, Negeri Sembilan. Dijangka keputusan itu akan dikeluarkan sekitar bulan Jun ini, kepada yang memohon.

Alasan Pemikiran

DARI HAL KAEDAH PENDIDIKAN TINGKATAN 6 DAN PEPERIKSAAN STPM

Dari segi sistem pendidikan dalam Tingkatan 6, saya merasa senang. Hal ini demikian kerana, sistem pendidikan Tingkatan 6 sekarang sudah sama seperti sistem pendidikan di Kolej Matrikulasi KPM. Sistem Tingkatan 6, mulai tahun ini, akan menggunapakai sistem peperiksaan berdasarkan semester. Menurut KPM, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diadakan pada setiap semester. Gred Purata setiap semester akan dikumpulkan dan dijumlahkan pada akhir Semester 3. Sebelum ini, peperiksaan STPM diadakan terus selepas selesai belajar di Tingkatan 6 Atas (Pra-Universiti 2).

Apabila mendengarkan penerangan yang menyenangkan ini, saya rasa amat selesa. Pelajar Pra-Universiti Sekolah selepas ini tidak perlu terlalu bersusah payah belajar sehingga tibanya peperiksaan STPM yang diadakan sekali sahaja. Nanti, bermula kumpulan Pra-Universiti Sekolah 2012/13 ini, peperiksaan diadakan setiap semester, iaitu pada hujung tahun 2012, pertengahan tahun 2013 dan hujung tahun 2013. Cuma, pelajar Pra Universiti Sekolah perlu berusaha lebih gigih untuk setiap semester, bukan hanya boleh tunggu dan mula gigih ketika menjelang peperiksaan.

Selain itu, sijil STPM yang ditarafkan sama dengan Diploma daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kini masih laku untuk meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama dan untuk memohon pekerjaan (sebagai staf Gred 27 dalam Perkhidmatan Awam) walaupun sistem pembelajaran dan penilaiannya berubah, tidak seperti Sijil Matrikulasi KPM yang hanya laku untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama sahaja.

Akan tetapi, apabila sistem pembelajaran dan penilaian STPM ini dimudahkan, kemungkinan pelajar cemerlang peperiksaan STPM akan bertambah sekaligus persaingan untuk merebut tempat untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama di IPT awam mahupun swasta dijangka lebih tinggi. Begitu juga dengan persaingan untuk mendapatkan kerja. Sedangkan persaingan mendapatkan kerja bagi pemegang Ijazah pun sudah terlalu tinggi sehingga ada pemegang Ijazah yang menganggur, inikan pula bagi pemegang STPM atau Diploma dan ke bawah.

Dari segi subjek-subjek dalam STPM, saya bersetuju dengan pandangan terhurai yang kedua dalam senarai yang di atas. Saya, pada pandangannya, InsyaAllah, mampu menguasai subjek Bahasa Arab, Usuluddin atau Sejarah dan Syariah. Cuma, Pengajian Am dan Bahasa Inggeris untuk Peperiksaan Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) perlu diberi perhatian khusus. Namun begitu, saya melihat tumpuan kepada semua subjek hendaklah diberikan secara adil.

DARI HAL KEWUJUDAN SAYA DI SMKAKK

Mengenai keadaan saya di SMKAKK. Terus terang saya katakan. Alhamdulillah dan terima kasih seandainya kehadiran saya dihargai dalam hal meningkatkan pencapaian akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Cuma, terus terang saya katakan. Saya kurang dihargai atas kesalahan dan kesilapan masa lalu, kepada yang menjadi mangsa dan terhadap pelbagai kesalahan. Cuma, saya berazam untuk terus memperbaiki diri dengan berbekalkan ilmu yang telah dipelajari, berserta doa dan sokongan daripada keluarga, guru-guru dan sahabat-sahabat sekalian.

Saya masih ingat dan merasa ada yang mengatakan, "Bagus lagi kalau Muizz masih di SMKAKK," berserta alasan-alasan tertentu atau tanpa alasan. Segelintir lagi ada mengatakan, "Tidak berguna Muizz ada di SMKAKK," berserta sebab-sebab tertentu atau tanpa sebab. Saya juga telah mendengar pandangan demi pandangan sebelum-sebelum ini, kebanyakannya datang daripada guru-guru SMKAKK di Pejabat Pra Universiti mahupun Bilik Guru Am juga di Bilik Tadbir. Sebahagian besar daripada mereka bermohon agar tidak lagi belajar di SMKAKK dalam Tingkatan 6. Suka saya katakan, jika anda meminta pendapat tentang saya dan SMKAKK, saya katakan, "Kewujudan saya seperti tiada; tiada, lebih baik."

Hujah pertama yang terlintas dalam hati saya - jangan masuk SMKAKK kerana takut ada yang tergugat dengan kewujudan semula saya di SMKAKK. Perlu saya ingatkan bahawa saya tidak pernah menggugat sebarang pihak dalam SMKAKK, bahkan saya sedang menggugat diri sendiri sepanjang berada di SMKAKK. Saya tidak mempunyai kedudukan di SMKAKK kecuali dalam akademik dan kokurikulum. Saya berkedudukan rendah dalam kepimpinan dan kedudukan saya dalam sahsiah adalah di tengah-tengah, tidak terlalu rendah, tidak terlalu tinggi.

Dengan terbuka, saya meminta maaf kepada yang merasa tergugat sepanjang kewujudan saya di SMKAKK. Mungkin ada yang tergugat tugas dan tanggungjawab mereka. Ya, saya faham. Saya bersalah kerana menjalankan sesuatu yang bukan sepatutnya saya yang buat. Mungkin ada yang tergugat dengan ciri-ciri yang saya miliki. Ya, saya tahu. Cuma, mohonlah, kalian benci orang; orang benci kalian. Kasihilah orang (yang pelbagai ciri) jika mahu dikasihi orang (yang juga pelbagai ciri) kerana kita semua bersaudara.

Janganlah segolongan itu mengejek segolongan yang lain. Jangan-jangan golongan yang diejek itu lebih baik daripada mereka yang mengejek.
(Surah al-Hujurat, ayat 11)


Yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.
(Hadis Rasulullah SAW)

Hujah kedua yang terlintas dalam hati saya - masuklah kerana tiada siapa lagi yang mampu menjaga surau, dan kepimpinan pelajar kini kurang mantap. (Maaf, saya tidak menyindir kepimpinan pelajar kini. Saya memuji dan menghargai kepimpinan pelajar kini yang dilihat lebih membawa kepada agama, seperti jua tahun sudah.) Saya kurang bersetuju. Suka saya ingatkan. Kepimpinan yang ada memikul amanah besar untuk menjaga sekolah, termasuklah surau, asrama, dewan dan sebagainya. Yang diberi amanah kenalah mantap dalam menjalankan amanah. Cuma, saya minta, orang lain pun bantu sama kepimpinan bagi mengekalkan kestabilan sekolah. Semua boleh bertindak dan bersuara. (Cuma kuasa khas yang kepimpinan atau orang tertentu ada dan diberi mandat, mereka sahaja boleh buat. Orang lain tidak boleh.) Banyakkan bersuara dan kuatkan suara yang menyeru ke arah kebaikan. Orang yang bersuara dan yang amar makruf ini pun kena bertambah, bukan dihadkan kepada segolongan tertentu sahaja. Jangan harapkan seorang sahaja untuk bertindak dan bersuara. Adat SMKAKK terkini, sekolah ini kita semua punya. Sekolah kita, tanggungjawab kita.

Setiap daripada kamu itu pemimpin, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab atas pimpinannya.
(Hadis Rasulullah SAW)

Tiadanya saya tidak bermakna kepimpinan harus dan berkeadaan lemah dan tidak bererti. Baguslah pimpinan kita berlembut dan baik. Orang yang dipimpin pun (lazimnya) suka orang yang lembut dan ihsan layanannya. Cuma, pertama, pimpinan kena pandai jua bertegas dalam sesuatu perkara; kedua, tidak semua hal harus diberatkan kepada seseorang atau kepada sekumpulan tertentu sahaja. Ya, amanah tetap amanah. Tetapi, tidak salah jika tugas yang bersifat umum (seperti saling memberi nasihat di surau) dilakukan oleh orang lain selain orangnya. Pernah jua saya katakan, jika orang atas tidak tegas, orang bawah kena tegas.

Oleh itu, pada pandangan saya, mengenai hal ini, lebih baik saya tiada di SMKAKK dan saya bersedia untuk masuk ke Tingkatan 6 di sekolah lain yang lebih baik (bagi saya) jika saya tiada pilihan lain. Tambahan pula, perlu saya ingatkan diri saya bahawa Tingkatan 6 adalah pilihan terakhir jika tidak mendapat tempat di IPT awam atau swasta. Pengetua SMKAKK pun selalu mengingatkan benda yang sama kepada setiap yang baru memasuki Tingkatan 6 di SMKAKK.

DARI HAL PILIHAN

Masuk ke Tingkatan 6 merupakan pilihan terakhir saya dalam pengajian tinggi jika saya tidak mendapat sebarang tempat di sebarang IPT. Saya kini sedang mengutamakan hasrat untuk memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG), dan keduanya ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam, termasuklah ke Darul Quran (DQ), dalam bidang bahasa Arab atau pengajian Islam. Saya tidak pula mengutamakan kemasukan saya ke IPT swasta. Saya juga mempunyai halangan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Kewangan menjadi faktor utama halangan untuk ke IPT swasta dan IPT luar negara.

Saya masih ingat saranan guru saya di SMKAKK agar memilih KISAS jika mahu masuk ke Tingkatan 6 kerana KISAS memiliki kepercayaan yang tinggi daripada orang ramai tentang pendidikannya. Maka, tentang memilih sekolah untuk Tingkatan 6, saya memilih KISAS dahulu (jika layak masuk) barulah SMKAKK bukan kerana saya tidak lagi mahu berada di SMKAKK, tetapi kerana saya tahu KISAS merupakan antara sekolah yang terbaik.

Kalau boleh saya ingin merasai alam baru, bukannya kembali ke takuk lama. Jika saya kembali ke takuk lama, maka saya memberi isyarat bahawa saya tidak mahu dan tidak akan berkembang untuk tempoh setahun setengah lagi, sedangkan orang lain sudah berada di takuk baru, yakni di tempat pembelajaran baru, dalam pengajian yang baru dan di peringkat yang lebih baru, sama ada di tanah air mahupun di perantauan. Orang yang berada di takuk lama biasanya amat mudah dan memang akan direndahkan oleh orang lain. Ya, kita harus merendah diri. Tetapi, kita bukannya boleh dipandang rendah, enteng dan hina (setaraf dengan tapak kaki orang) oleh orang lain.

Kesimpulannya, jika saya mahu belajar semula di SMKAKK, saya perlu berkira-kira semula dan berfikir tentang sistem pembelajaran dan penilaian, suasana kehidupan, pilihan tempat pembelajaran dan sebagainya. Perkara-perkara ini penting demi kepuasan hati dan minda yang sudah semestinya menginginkan tempat yang baik dalam meneruskan pengajian. Semua orang mahu berkembang, bukannya hanya berperam dalam sarang tidak berterbangan.

Pemikiran

Setelah tulisan ini dikeluarkan, saya mohon untuk berfikir sehingga suatu tempoh yang membolehkan keputusan dibuat secara muktamad dan dalam situasi menang-menang. Saya hanya akan mengumumkan hasrat saya selewat-lewatnya pada hari keputusan kemasukan ke IPT awam dikeluarkan.

Saya berpuas hati dengan pernyataan dan huraian yang panjang lebar (ala-ala alasan penghakiman mahkamah), dan saya bersyukur dan berpuas hati dengan pendapat dan saranan yang kalian berikan. Kalian semua memutuskan untuk memulangkan kepada saya untuk memilih dan membuat keputusan. Dalam erti kata lain, kalian semua secara sebulat suara memohon untuk berkecuali. Terima kasih kerana memilih untuk berkecuali secara sebulat suara.

Maka, seperti yang saya katakan, saya tidak terlalu bergantung dengan pendapat kalian kerana saya juga memerlukan perbincangan dengan keluarga dan guru-guru. Walau bagaimanapun, saya menghargai segala pendapat dan saranan yang saya terima.

Saya hanya akan putuskan pilihan saya yang sebenar selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari dari tarikh pernyataan saya ini dikeluarkan.

Berbincanglah dalam segala sesuatu. Jika kau telah membulatkan tekad, maka berserahlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang berserah.
(Surah Ali Imran, ayat 159)

KEPADA MANUSIA BERMUSYAWARAH
UNTUK MEMILIH TANPA BERBALAH
KEPADA ALLAH KAMI BERSERAH
SETELAH MEMUTUS, ALHAMDULILLAH

Comments