Saturday, 28 April 2012

BERSIH 3.0

Saya adalah seorang yang bebas, berkecuali dan tidak berpihak kepada sesiapapun (non-partisan) dalam isu-isu politik.

Saya tidak menyokong perhimpunan BERSIH 3.0 oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) atas beberapa sebab yang tertentu.

Perhimpunan menurut Islam

Islam memang membenarkan perhimpunan. Ya, Rasulullah SAW ada sabdakan dalam hadisnya. Tetapi, merentet hadis tersebut, beberapa syarat dikenakan. Syarat-syarat tersebut boleh membuatkan hukum tentang sesuatu perkara boleh berubah. Antaranya, termasuklah niatnya, tujuannya, tempatnya, masanya, caranya dan sebagainya. Setelah berfikir panjang mengenai perhimpunan ini, tidak keterlaluan saya katakan bahawa perhimpunan ini tidak harus dihadiri.

Jikalau menurut Mursyid al-Am PAS, Tuan Guru Datuk Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat, BERSIH 3.0 hukumnya wajib. Tetapi, didapati tidak mempunyai dalil, hanya mempunyai sebab. Sesuatu hujah mesti bersebab dan berdalil.

Islam tidak mengutamakan demonstrasi sebagai jalan penyelesaian utama bagi sesuatu isu. Islam mengutamakan perbincangan. Al-Quran tidak menyebut pun tentang demonstrasi jalanan. Tiada. Al-Quran hanya menyebut dalam Surah Ali Imran, ayat 159, tentang perbincangan. Maka, perbincangan adalah lebih utama. Firman Allah SWT, "Ampunkanlah mereka, mohon ampunlah untuk mereka dan berbincanglah dalam segala sesuatu. Jika kamu telah membulatkan tekad, maka berserahlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang berserah." Islam mahu Al-Quran menjadi sumber rujukan terutama, barulah Hadis (as-Sunnah), Ijmak dan Qias.

Sesuatu perkara yang kita tidak berpuas hati boleh dibawa berbincang secara berhikmah. Kerajaan masih adil walaupun bukan dalam beberapa perkara.

Kesucian Tanah Haram

Saya difahamkan bahawa BERSIH 3.0 turut dibuat di Tanah Haram Makkah dan Madinah. Perlu saya ingatkan. Makkah dan Madinah tidak patut menjadi tempat penganjuran BERSIH 3.0 walaupun perhimpunan BERSIH 3.0 di Makkah dan Madinah tidaklah sehebat perhimpunan BERSIH 3.0 di Kuala Lumpur. Makkah dan Madinah adalah tempat beribadah seluruh umat Islam, bukannya tempat untuk mengotorkan nama Malaysia dalam bidang politik. Bayangkan. Kita sepatutnya datang ke Tanah Haram untuk beribadah mengharapkan rahmat dan kasih sayangNya, tetapi kita sudah ubah niat datang ke Tanah Haram untuk BERSIH 3.0. Seandainya BERSIH 3.0 tidak direstui Allah, pasti dosanya besar. Di Tanah Haram, besarnya pahala untuk umat Islam yang berbuat baik dan patuh kepada Allah. Sebaliknya, di Tanah Haram, besarnya jua dosa untuk umat Islam yang berbuat jahat dan ingkar kepada Allah.

Kepada umat Islam yang berada di Tanah Haram, khususnya rakyat Malaysia, gunakan kesempatan di Tanah Haram untuk beribadah dan menuntut ilmu dunia dan akhirat bersungguh-sungguh. Bukannya mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada diri dan kepada Tanah Haram itu sendiri.

Tuntutan Kumpulan

Kumpulan BERSIH mengemukakan 8 tuntutan kepada Kerajaan.

PERTAMA, BERSIHKAN SENARAI UNDI. Carilah negara yang undinya paling bersih di dunia. Bersih 100 peratus. Tiada. Jikalau Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai senarai undi terbersih di dunia, ketahuilah bahawa senarai itu masih belum bersih. Tentang senarai pengundi, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak boleh disalahkan seratus peratus. Masyarakat sendiri yang menjadi pengundi, berdaftar dengan SPR, perlu dipersalahkan. Jikalau pengundi menyusahkan SPR, maka SPR tidak dapat menjalankan kerja dengan baik, melainkan jika SPR sendiri terbukti benar dan jelas menyusahkan masyarakat, lebih-lebih lagi pengundi. Setakat ini, SPR sentiasa memberikan ruang kepada umum untuk menyemak dan memberi respon berkenaan nama-nama pengundi (termasuklah nama-nama yang diragui yang berjumlah sekitar 42 ribu orang).

KEDUA, MEREFORMASIKAN UNDI POS. Undi pos telah dan sedang direformasikan. SPR mendengar suara-suara pengundi Malaysia termasuklah dari kalangan pro BERSIH. Undi pos dikenakan kepada pengundi luar negara. Anggota polis dan tentera serta pasangan dibenarkan mengundi awal (tetapi bukan mengundi secara pos). Warga media yang bertugas ketika hari pilihanraya dibenarkan mengundi secara pos.

KETIGA, GUNAKAN DAKWAT KEKAL. Sekali lagi, SPR mendengar suara BERSIH. Kerajaan sudah meluluskannya. Fatwa Negara juga mengharuskannya setelah dianalisa. Maka, isu ini sudah tidak relevan kerana isu ini dianggap selesai. Penggunaan dakwat kekal akan dikuatkuasakan mulai PRU ke-13. Jikalau SPR gagal melaksanakannya, silakan membantah secara sopan dan berhemah kepada SPR.

KEEMPAT, AKSES MEDIA BEBAS DAN ADIL. Malaysia masih mengamalkan kebebasan bersuara walaupun kebebasan itu tidak mutlak. Kebebasan bersuara tidak boleh bersifat terlalu mutlak. Benar, Kementerian Dalam Negeri tidak memberi permit akhbar kepada akhbar-akhbar pro Pembangkang seperti Suara Keadilan dan Harakah. Akan begitu, akhbar ini masih bebas diedarkan dan dijual tanpa halangan pihak berkuasa. Satu lagi, rata-rata penyokong Pembangkang sudah mengedarkan berita secara sendiri-sendiri sama ada berita itu benar atau fitnah. Kerajaan tidak pernah menyekatnya. Walau bagaimanapun, satu perkara perlu diingatkan. Malaysia ada undang-undang seperti negara lain. Walaupun Malaysia masih memberi kebebasan dan keadilan media, tetapi undang-undanglah yang mengehadkannya. Undang-undang merupakan satu cara untuk mendisiplinkan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu patuh pada undang-undang.

KELIMA, MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI. Lebihkan produktiviti, kurangkan kontroversi. 21 hari. Pilihanraya di Malaysia hanyalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, bukannya untuk memilih Perdana Menteri. Lagipun, Malaysia masih diperintah oleh Raja-raja dan Wakil-wakil Raja. Maka, dalam sistem monarki berdemokrasi berparlimen, Malaysia hanya membenarkan pilihanraya untuk memilih wakil rakyat kawasan. Kempen 21 hari hanya munasabah untuk negara republik yang berskala kecil atau sederhana sahaja. Mungkin munasabah kempen 21 hari itu untuk pilihanraya umum (PRU). Tetapi, bayangkan jika berlaku pilihanraya kecil (PRK), kempennya 21 hari, sedangkan kawasan itu kecil, paling besar pun hanya satu daerah. Walau bagaimanapun, walaupun permohonan ini tidak realistik, kerajaan telah menambah bilangan hari berkempen daripada minimum 7 hari kepada minimum 10 hari.

KEENAM, KUKUHKAN INSTITUSI AWAM. Kerajaan kini sedang merangka banyak program untuk mengukuhkan institusi awam. Pengukuhan dari segi berkerajaan, berpolitik dan berekonomi. Sebahagiannya sudah berjaya. Semua itu dengan izin Allah SWT. Tetapi, jika masih tidak mantap usaha Kerajaan ini, maka peranan badan bukan kerajaan (NGO) -lah yang penting untuk membantu Kerajaan melicinkan dan menjayakan rancangan negara, bukannya meruntuhkan Kerajaan dan menumbangkannya.

KETUJUH, HENTIKAN RASUAH. Rasuah memang patut dihentikan tetapi usaha ini perlu di pelbagai peringkat dan di pelbagai pihak. Ya, menurut Rasulullah SAW, pemberi dan penerima rasuah layak masuk neraka. Tetapi, dalam hal rasuah, tidak boleh satu pihak sahaja dipersalahkan. Pesalah rasuah itu ada di setiap tempat dan masa tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik. Pelbagai pihak kini sedang memberi dan menerima rasuah. Namun begitu, satu perkara perlu diingat, bahawa rasuah semakin hari semakin dapat dibendung walaupun adalah mustahil agar rasuah dibasmi 100 peratus. Semakin ramai pesalah rasuah ditangkap, dibicarakan dan dijatuhkan hukuman. Perkara ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telus.

KELAPAN, HENTIKAN POLITIK KOTOR. Tiada satu pihak pun yang bersih 100 peratus dari segi amalan politik. Mustahil. Sesuatu organisasi tidak terlepas daripada kekotoran amalan politik. Jikalau dikata BN mengamalkan politik kotor, sebenarnya PR juga parti lain sama sahaja. Tiada beza. Budaya fitnah-menfitnah, kedua-dua pihak ada. Budaya tipu-menipu, kedua-dua pihak ada. Oleh hal yang demikian, kedua-duanya perlu berhemah dalam berpolitik.

InsyaAllah, kesemua tuntutan ini sudah didengar. Bukan setakat tuntutan daripada BERSIH, bahkan daripada pelbagai pihak yang mengharapkan sesuatu yang baru bermula PRU ke-13. Parlimen telah membentuk suatu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihanraya yang dianggotai oleh ahli Kerajaan, Pembangkang dan Bebas. Melalui PSC ini, segala keputusan dan pengesyoran disepakati dan dibawa pula ke Dewan Rakyat. Majoriti pengesyoran dan cadangan diterima oleh ahli Dewan Rakyat.

Pengerusi Bersama Kumpulan

Tidak salah Pembangkang menganjurkan perhimpunan. Tetapi, masalahnya sekarang, Jawatankuasa Pepandu BERSIH 3.0 diketuai oleh dua orang Pengerusi Bersama, Datuk S. Ambiga dan Datuk A. Samad Said, seterusnya dibantu oleh sebiilangan ahli Jawatankuasa dan disokong oleh berpuluh badan bukan kerajaan (NGO) (sama ada berdaftar atau tidak) termasuklah parti-parti pembangkang. Saya tidak mahu sentuh keperibadian Datuk A. Samad Said, Sasterawan Negara. Ya, sasteranya dihargai umum sepanjang zaman sehinggakan beliau diangkat oleh Negara sebagai Sasterawan Negara. Saya juga tidak mahu mengulas mengenai ahli Jawatankuasa Pepandu BERSIH 3.0, juga mengenai parti yang menyokong dan mendukung BERSIH.

Saya hanya mahu sentuh tentang Datuk S. Ambiga. Beliau merupakan mantan Presiden, Majlis Peguam. Maksudnya, terkini, beliau adalah seorang peguam dan politikus. Beliau menjadi peguambela Lina Joy ketika kes Lina Joy murtad mendapat penghakiman Mahkamah Tinggi hinggalah ke Mahkamah Persekutuan - membela orang Islam yang murtad. Kes kalah. Mengikut atau menyertai orang yang membela selain daripada yang dibenarkan dalam Islam, hukumnya haram.

Oleh itu, mengapa ikut telunjuk orang bukan Islam sedangkan orang Islam ada telunjuk dan halanya yang tersendiri yang lebih diredhai oleh Allah SWT?

Status Perhimpunan

Perhimpunan BERSIH 3.0 diharamkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Sebelum ini, PDRM dan DBKL telah menawarkan tempat lain selain Dataran Merdeka untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0. Antaranya termasuklah di Stadium Merdeka dan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Tetapi, Jawatankuasa Pepandu BERSIH 3.0 (Penganjur) tetap mahu mengadakannya di Dataran Merdeka sedangkan DBKL telah melarangnya melalui Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

Sebelum ini, undang-undang yang sama digunapakai untuk mengharamkan Perhimpunan Anti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang sepatutnya diadakan pada 21 April di tempat yang sama, yang kemudiannya program itu bertukar tempat ke Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari yang sama kerana mematuhi arahan DBKL.

Polis sudah memberi amaran bahawa hukuman boleh dikenakan kepada yang masih berdegil akan pengharaman tersebut di bawah Seksyen 118, Kanun Keseksaan.

Saya mahu mengingatkan diri terhadap sabda Rasulullah SAW, "Barangsiapa yang patuh kepada pemerintahku, maka dia patuh kepadaku (Muhammad SAW), dan barangsiapa yang ingkar kepada pemerintahku, maka dia ingkar kepadaku."

Kesan Perhimpunan

Perhimpunan BERSIH 3.0, pada pandangan saya, mendatangkan banyak implikasi negatif berbanding implikasi positif. Antara yang akan menerima tempias negatif ini termasuklah pesertanya sendiri, harta awam, orang awam dan negara ini sendiri. Melalui perhimpunan sebegini, ramai pesertanya akan ditangkap bukan kerana menghadiri perhimpunan itu, tetapi kerana berkasar dengan pihak berkuasa dan berdegil. Ramai peniaga akan menutup operasi perniagaannya kerana takut rusuhan. Banyak harta benda awam akan rosak sehingga negara menanggung kerugian, dan sebagainya.

Boleh fikir sendiri. Firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 46, "Sesiapa yang berbuat kebaikan, maka kebaikan itu adalah untuk dirinya; dan sesiapa yang berbuat keburukan, maka keburukan itu adalah ke atas dirinya; dan Tuhanmu tidak zalim kepada hamba-hambaNya."

Cintailah keamanan, kerana Islam itu sendiri bermaksud keamanan dan kesejahteraan. Cintailah kedamaian, kerana dengan kedamaianlah, bumi ini dirahmati Tuhan.

2 comments:

  1. Replies
    1. Betul tu. Mahu bermuamalah dalam politik, bukan demo caranya. Boleh bincang elok-elok, atau berhimpun secara aman dan berhemah (bukannya demo sampai mengganas), atau undilah parti yang disukai untuk memerintah.

      Delete