Bahaya al-Wahn dan Kelebihan al-Jamaah

Saya berkongsi satu tazkirah daripada Ustaz Muhammad Zamree Abdul Wahab daripada Madrasah Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah.

Tsauban RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

"Sebentar lagi akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan."

Maka seorang bertanya: "Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?"

Baginda SAW menjawab: "Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu."

Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?"

Baginda menjawab: "Cinta kepada dunia dan takut mati."

(Hadis Riwayat Abu Daud, bertaraf Sahih.)


Hadis di atas memaparkan perkhabaran Baginda SAW mengenai keadaan umat Islam di akhir zaman. Menarik untuk diperkatakan di sini bahawa jika diamati hadis yang tertera di atas, maka kita akan dapati Rasulullah saw menyebut "Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai" bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang sahabatnya.

Sebenarnya, sahabat RA yang bertanya tersebut telah beranggapan bahawa kemungkinan punca utama yang menjadi penyebab kepada berlakunya situasi yang menimpa umat Islam sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW dalam sabdanya tersebut adalah disebabkan oleh jumlah atau bilangan mereka yang sedikit. Walau bagaimanapun, sangkaan atau anggapan sahabat RA tersebut ternyata meleset kerana soal bilangan bukanlah sebab utama yang membawa kepada kelemahan umat Islam. Akan tetapi, menurut penjelasan Baginda SAW, ianya adalah disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri yang tidak lagi berpegang teguh kepada jati diri Islam yang tulen, sebaliknya lebih cenderung kepada sifat terlalu cintakan dunia dan takutkan mati (al-Wahn). Maka dalam hadis ini ternyata kualiti umat Islam jauh lebih penting dari kuantiti mereka.

Dalam sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah SAW telah bersabda, "Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan; dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah."

Hadis Sahih di atas telah diriwayatkan oleh sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama. Lafaz hadis di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud [lihat Sunan Abu Daud No. 4429]. Hadis ini disahihkan oleh al-Tirmizi, al-Hakim, al-Zahabi dan al-Juzani dalam kitab al-Abathil, Jilid (Jld.) 1, muka surat (ms.) 302; al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah, jld. 1, ms. 213; al-Syathibi dalam al-I’tisham, jld. 2, ms. 698; Tahqiq Salim al-Hilali, Ibn Taimiyyah dalam al-Majmu’ al-Fatawa, jld. 3, ms. 345; Ibn Katsir dalam Tafsir Ibn Katsir, jld. 1, ms. 390; Ibn Hajar dalam Takhrij al-Kasysyaf, ms. 63; al-‘Iraqi dalam al-Mughni ‘an Hamlil Asfar, No. 3240; al-Bushairi dalam Mishbahuz Zujaajah, jld. 4, ms. 180; Syaikh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, No: 203; dan lain-lain yang banyak jumlahnya.

Menerusi hadis di atas, Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada kita bahawa selepas kewafatan Baginda SAW, umat Islam akan berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh Baginda SAW tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak, kumpulan atau golongan. Walau bagaimanapun, di samping perkhabaran tersebut, Baginda SAW turut mengingatkan kita bahawa hanya satu kumpulan sahaja daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah ini yang akan berjaya memasuki syurga, iaitu al-Jamaah.

Hendaklah difahami bahawa maksud al-Jamaah dalam hadis di atas bukanlah merujuk kepada sesuatu kumpulan, puak, firqah, parti, gerakan, organisasi atau persatuan. Akan tetapi, yang dimaksudkan dengan istilah al-Jamaah dalam hadis tersebut ialah umat Islam seluruhnya yang bersatu di atas kebenaran. Manakala kebenaran itu pula sudah pastilah bersumberkan kepada petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah SAW yang sahih berdasarkan amalan dan pemahaman para sahabat ra atau generasi al-Salaf al-Soleh.

Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah yang sahih, maka akan didapati begitu banyak ayat dan/atau hadis yang menerangkan kewajipan dan keutamaan menjadikan pegangan dan amalan generasi al-Salaf al-Soleh sebagai ikutan oleh umat Islam dalam beragama.

Antaranya, sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Sebaik-baik umatku ialah kurunku (zamanku) kemudian kurun selepas mereka (Tabi’in), kemudian kurun selepas mereka (Tabi' Tabi'in)." Hadis Sahih ini diriwayatkan oleh Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Hadis No. 3650.

Ketika menjelaskan siapakah al-Firqah al-Najihah (golongan yang selamat) dan al-Tho'ifah al-Mansurah (golongan yang mendapat kemenangan), Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa (sahaja) yang berpegang di atas sunnahku pada zamanku dan sunnah sahabat-sahabatku." Hadis riwayat Ibnu Battah dalam al-Ibanah -  Kitab al-Iman, ms.166-167, dan at-Thabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir, Hadis No. 7140; dan al-Ajuri dalam asy-Syariah, ms. 25-26.

Kesilapan dan kegelinciran yang sering berlaku dalam kalangan segelintir umat Islam hari ini ialah apabila disebut sahaja istilah al-Jamaah maka secara automatik tergambar pada benak fikiran mereka bahwa al-Jamaah itu merujuk kepada sesuatu kumpulan atau golongan, kemudian dari kumpulan itu pula mereka cuba mengaitkannya dengan faktor kuantiti atau bilangan orang-orang yang menjadi pengikut atau pendukung kepada kumpulan tersebut. Bertitik tolak dari salah faham ini, maka lahirlah manhaj penilaian "semakin ramai pengikut sesuatu golongan atau kumpulan, maka kumpulan itulah yang sebenarnya yang paling betul."

Sebenarnya al-Jamaah dalam hadis di atas tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan faktor kuantitinya. Hal ini demikian kerana, sesiapa sahaja yang mengikuti kebenaran yang dibawa oleh Baginda SAW maka dia adalah termasuk dalam al-Jamaah yang diiktiraf Baginda SAW walaupun yang berpegang kepada kebenaran tersebut hanyalah keseorangan diri dan amat sedikit orang-orang yang mengikutinya. Hakikat ini adalah sepertimana jelas Abdullah bin Mas'ud RA, "Al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran sekalipun engkau bersendirian." Pernyataan ini dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Damshiq, jld. 46, ms. 409 dan dinilai sahih oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam al-Misykat al-Mashabih, jld. 1, ms. 56.

Selain itu, Imam Abu Syamah asy-Syafie ketika menghuraikan maksud al-Jama'ah berkata, "Acapkali datang perintah untuk berpegang teguh dengan al-Jama'ah, maka yang dimaksudkan (dengan berpegang teguh kepada al-Jama'ah ialah) senantiasa berpegang teguh dengan kebenaran dan para pengikutnya, walaupun orang yang berpegang teguh dengan kebenaran itu sedikit jumlahnya dan orang yang menyelisihinya banyak jumlahnya. Hal ini demikian kerana, kebenaran ialah ajaran yang diamalkan oleh al-Jama'ah generasi pertama semenjak Nabi saw dan para sahabatnya RA, dan tidak dipertimbangkan banyaknya jumlah pengikut kebatilan yang ada setelah mereka." [Abu Syamah As-Syafie, Al-Ba’its ‘Ala Ingkari Al-Bida’ Wal Hawadits, ms. 34]

Abu Hurairah RA telah meriwayatkan sebuah hadis, di mana beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Islam bermula asing, dan ia akan kembali menjadi asing sepertimana ia bermula; maka berbahagialah orang-orang yang asing itu." Hadis Sahih ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab al-Iman, Bab Bada al-Islam Ghariba, jld. 2, ms. 354, No. 370; dan Ibnu Battah dalam Kitab al-Iman, jld. 1, ms. 172, No. 605 dan lain-lain.

Dalam hadis di atas Rasulullah saw memberitakan kepada umatnya akan sifat "asing" yang bakal menimpa agama Islam dan orang-orang yang berpegang teguh kepadanya. Sebagaimana hadis-hadis sebelum ini, maka demikian jugalah dalam riwayat ini, Baginda SAW tidak sedikit pun mengaitkan faktor bilangan yang ramai atau kemasyhuran sebagai hujah bagi menjustifikasikan kebenaran sesuatu amalan atau pegangan. Yang baginda tonjolkan dalam riwayat di atas hanyalah mengenai kebahagiaan yang bakal diraih bagi golongan "asing".

Demikianlah keadaan golongan yang berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW di akhir zaman, di mana dengan sunnah tersebut mereka menjadi "terasing" dan terpinggir di tengah-tengah masyarakat mereka. Hal ini disebabkan oleh amalan dan pegangan mereka yang sudah tidak lagi "sehaluan" dengan amalan dan pegangan sebahagian besar masyarakat mereka. Maka, amat benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh al-Hasan al-Basri RAH dan Yunus bin Ubaid rah mengenai golongan ahli sunnah yang "terasing" ini :

“Sesungguhnya ahli sunnah, mereka adalah manusia yang sedikit jumlahnya pada zaman-zaman yang telah lalu, dan mereka juga sedikit jumlahnya pada masa yang akan datang. Mereka ialah orang-orang yang tidak pergi bersama-sama dengan golongan yang mewah dalam kemewahan mereka dan tidak pula pergi bersama-sama dengan ahli bid’ah dalam melakukan bid’ah-bid’ah mereka. Mereka tetap bersabar di atas sunnah mereka sehinggalah mereka menemui Tuhan mereka. Maka begitulah keadaan ahli sunnah, InsyaAllah. Maka hendaklah kamu seperti mereka.”

(Ali bin Hasan bin Ali bin Abdul Hamid, Ilmu ‘Usul al-Bida’, Dar al-Rayah, Riyadh, cetakan pertama, 1413H, ms. 273)

Yunus bin Ubaid RAH berkata, "Tidak ada suatu yang lebih asing daripada sunnah. Dan yang lebih asing lagi daripadanya ialah orang yang mengetahui sunnah itu sendiri." Diriwayatkan oleh Ibnu Battah dalam al-Ibanah, Kitab al-Iman, jld. 1, ms. 185, No. 20. Begitulah yang disebut sebagai yang benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam yang tulen lagi murni; yakni Islam sebagaimana yang dibawa dan dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat RA suatu masa dahulu.

Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah apabila pelbagai amalan sunnah Rasulullah SAW dipraktikkan di tengah-tengah masyarakat hari ini, dipandang "pelik" dan "asing". Malah lebih daripada itu, bagi masyarakat yang jahil, mereka akan menganggapnya sebagai amalan yang terkeluar dari ajaran Islam. Semua ini disebabkan bukan sahaja oleh faktor kejahilan mereka dalam memahami ajaran Islam yang sebenar atau kerana sifat "kepelikan" amalan tersebut, tetapi juga disebabkan oleh kurang atau sedikitnya orang-orang yang beramal dan berpegang dengannya berbanding dengan amalan lain yang dilakukan oleh majoriti umat.

Semua kebatilan tidak boleh berubah menjadi benar hanya kerana jumlah pengikutnya yang banyak. Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Islam itu muncul sebagai agama yang 'asing' (sedikit pengikutnya) dan suatu ketika akan kembali asing sebagaimana pertama kali muncul.”

(Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Iman, No. 146)

Renung-renungkan dan selamat beramal. InsyaAllah.

Comments