Surat Terbuka kepada Junior Hafiz

Assalamualaikum, Junior Hafiz.

Saya menulis ini bukannya untuk memalukan kamu, tetapi saya menulis supaya orang lain, terutamanya para junior di sekolah, mengambil iktibar daripada penulisan saya ini.

Saya tidak terkejut untuk berbual juga bertemu dengan kamu yang memang kontra dengan diri saya. Tetapi saya terkejut dan kecewa untuk berbual dengan kamu yang memulakan perbualan di Internet (chatting) dengan cara yang menyakitkan hati saya. Saya merasa amat kecewa dengan kamu kerana sikap kamu.

Ya, saya tahu dan saya faham sebab kamu memanggil saya hanya dengan nama, bukan seperti kebiasaannya. Kamu tahulah saya ada masa lalu saya yang tidak baik sehingga saya pada ketika itu tidak patut dihormati dan dilayan sebagai seorang pelajar. Ya, saya mengaku saya ada masa lalu saya yang tidak baik. Tetapi,  persoalannya, adakah logik sekiranya masa lalu dijadikan ukuran untuk penghormatan? Bukankah Rasulullah SAW ada bersabda:

كل ابن ادم خطاء وخير الخطائين التوابون 

Setiap Anak Adam tidak terlepas dari berbuat dosa. Namun, sebaik-baik pendosa itu orang yang bertaubat.
(Hadis riwayat Ibnu al-Adi)

Lalu, saya berhijrah ke tempat baru untuk memperbaiki, menambahbaik dan memantapkan diri dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Kamu (ketika berada di Tingkatan 1) pernah menyebut tentang saya yang masa lalu di hadapan saya dan memanggil saya dengan nama. Sekarang kamu ulang lagi setelah jasad saya tidak lagi melata di sekolahmu. Terus terang saya kata, kamu memang kurang ajar. Sampai sekarang.

Baru-baru ini pun, di tengah-tengah Jabatan Pelajaran Negeri melalui Sektor Pendidikan Islam, pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah mengiktiraf kewujudan saya – bukan mahu berbangga, tetapi ini adalah hakikat dan pengiktirafan itu penting kerana pengiktirafan melambangkan kewujudan seseorang di sekolah kerana pendaftaran masuk yang diluluskan dan disertai pula dengan rekod persekolahan yang memuaskan – walaupun sesudah tamatnya persekolahan saya, kamu pula yang “agung sendiri” (membesarkan diri sendiri dengan “keagungan” dan keangkuhan kamu) untuk tidak mengiktiraf kewujudan saya di sekolah kamu. Kamukah itu Pendaftar Pendidikan sampai kehadiran saya, kamu tidak restui?

Kalau mengimbau rekod kamu, kamu, kalau boleh, saya tarafkan kamu sama dengan telapak kaki saya, atau kamu layak disamatarafkan dengan lembu, sebab lembu bebal, menurut al-Quran. Kamu diberi telinga tapi tak nak mendengar nasihat dan kebaikan.

Hafiz,

Kesopanan dan kesusilaan kamu semakin hari semakin rendah harganya bahkan mungkin sudah percuma. Dalam erti kata lain, kesopanan kamu itu makin hilang darjatnya di hati kamu walhal Islam menarafkan kesopanan dan kesusilaan pada taraf yang amat tinggi. Bukan saya mahu cakap saya ini ahli masyarakat yang baiklah. Tetapi, seharusnya kamu tahu bahawa pentingnya budi bahasa.

Saya tidaklah meminta agar saya dihormati dan disanjung tinggi. Akan tetapi, kamu perlu dan harus menghormati seseorang yang lain sesuai dengan taraf dan kedudukan. Kalau kamu, junior, tidak hormat saya, senior, bagaimana senior mahu menghormati  kamu? Seorang senior tidak boleh hormat seorang junior sekiranya seorang junior tidak menghormati seorang senior, selaras dengan kelaziman yang pernah Rasulullah SAW sabdakan:

من لا يرحم لا يرحم

Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks penghormatan, sama sahaja, orang yang tidak menghormati tidak akan dihormati. Yang lebih bahaya lagi, Rasulullah SAW ada menyebut:

من لا يرحم الناس لا يرحمه الله

Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, jangan harap Allah mengasihinya.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jikalau begitulah sikap kamu, jangan harap Allah menghormati dan mengasihi kamu. Teruskanlah dengan kemuliaan dan ketinggian dirimu sendiri. Suatu hari nanti, baru kamu tahu tinggi rendahnya langit. Jadi, hormatilah dan kasihilah orang yang lebih tua dari kamu.

Hafiz,

Amalan hormat-menghormati ini bukanlah ajaran saya. Tetapi, amalan ini sebenarnya merupakan ajaran Islam dan tradisi Melayu. Sedangkan Malaysia melalui kerajaan kita kini pun selalu menyeru agar selalu mengamalkan amalan saling hormat-menghormati, inikan Rasulullah SAW, lagilah, mahu umatnya terus berakhlak mulia sesuai dengan peranannya kepada manusia seperti dalam hadisnya:

أنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.
(Hadis Riwayat Saleh)

Hormat-menghormati merupakan satu amalan dalam memupuk rasa berbudi bahasa. Bukankah budi bahasa budaya kita? Allah memandang indah budi bahasa seperti dalam hadis Rasulullah SAW yang lain:

إن الله جميل يحب الجمال

Sesungguhnya Allah itu indah dan cintakan keindahan.
(Hadis riwayat Muslim)


Kamu sepatutnya hormat seorang senior dengan cara yang menyenangkan hatinya dan diajarkan dalam Islam. Cara kamu berhubungan dengan saya menyakitkan hati saya. Hati saya terguris rentetan "kemuliaan" yang kamu miliki. Rujuk hadis ini, baru kamu tahu tinggi rendahnya iman kamu ketika mengamalkan perhubungan dan pertemanan.

 لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Tidak dikira beriman seseorang antara kamu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya.
(Hadis riwayat asy-Syaikhani)

Hafiz,

Saya masih ingat bahawa kamu memulakan perbualan tanpa salam. Saya terhina. Kalau kamu tidak memberi salam tapi menyapa dengan cara penghormatan yang sepatutnya, tidaklah mengapa sangat. Kamu ini, sudahlah kamu tidak beri salam di permulaan bicara, hormat senior pun tiada. Mungkin pada kamu, tidak layak saya didoakan kesejahteraan, tetapi saya layak didoakan kecelakaan. Adakah kamu merasa bangga dengan perangai yang kamu ada?

Lain kali, kalau berbual (chatting) di Internet, bersopanlah. Allah suka orang yang sopan. Kalau senior boleh bersopan dengan kamu, kenapa kamu tidak boleh? Tidak salah pun bersopan. Kalau kamu penyantun dan penyopan, orang suka kamu dan makin ramailah yang mencontohimu. Ya, kamu ramai kawan tetapi membawa falsafah kehidupan berhaluan kiri. Kamu sudahlah nakal, kamu cemarkan lagi nama kamu dengan tingkahlaku yang membuatkan orang lain tidak suka. Siapa yang mahu dekat dengan kamu dengan diri kamu yang begini?

Kalau ikutkan nafsu, bukan keburukan kamu sahaja saya benci, dengan kamu-kamu sekali saya benci. Tetapi, membenci manusia hukumnya haram. Rasulullah suruh benci keburukan, bukan orang itu yang buruk. Saya tak selamanya berperilaku buruk, kamu juga.

Hafiz,

Setelah kamu membaca surat ini, terpulanglah. Saya tidak rugi jikalau surat ini membuatkan kamu memutuskan hubungan dengan saya dan marah dengan saya selama-lamanya. Saya lebih suka untuk bersahabat dan mendekati junior-junior yang baik perilakunya, penyantun dan mudah didekati, dengan harapan semoga saya mempunyai kebaikan yang mereka ada bersama redha dari Ilahi.

Saya bagi kamu kata dua, sama ada kamu terus merasa angkuh dan besar dengan keadaan kamu (dan kawan-kawan kamu) yang kini atau kamu kena selalu sedar bahawa Allah Maha Besar dan Maha Agung, lalu kamu berhijrah ke arah yang lebih baik dan bersyukur kerana menjadi orang baik. Pilihlah. Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memaafkan kamu.

Wallahu a'lam wassalam.

Comments