Surat Terbuka: Layan Utusan dengan Baik

Surat ini ditulis sebagai surat terbuka kepada warga yang dididik di sekolah lama saya.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara saudari, semua pelajar sekolah lama saya,

Saya masih ingat lagi. Pernah seorang Ahli Jawatankuasa Pertubuhan saya diutuskan oleh sekolah saya untuk menjalankan latihan koakademik di sekolah lama saya selama beberapa hari pada pertengahan tahun 2011. Cuma, saya sedih kerana ada 2-3 orang yang melayannya dengan makian. Yang saya sedih, utusan sekolah saya yang ini, ketika memasuki masjid, disambut bukan dengan salam; tetapi dengan makian.

Orang itu tidak tahukah bahawa memaki itu haram? Menyambut orang bukan dengan salam; menyambut orang dengan makian. Tiada Allah dan RasulNya SAW suruh. Yang Rasulullah SAW suruh ialah, [أفشوا السلام بينكم]; "Sebarkan salam sesama kamu," bukannya "Sebarkan makian sesama kamu," dan yang Allah suruh juga, [لا يسخر قوم من قوم عسى أن يكونوا خيرا منهم]; "Jangan kamu mencaci maki sesuatu kaum atas kaum yang lain; boleh jadi kaum yang dimaki itu lebih baik dari kaum yang memaki." Surah al-Hujurat, ayat 11.

Saya mohon kepada semua warga yang sana. Kita memang berjiran walaupun beza kejiranan itu adalah hampir 4-5 kilometer. Atas rasa kejiranan dan diplomatik, saya mohon agar utusan sekolah saya diberi layanan yang baik sebagai jiran dan saudara, bukan sebagai seteru dan kawan yang biasa-biasa.

Saudara saudari,

Pertamanya, saya berterima kasih kepada sekolah saya kerana mengizinkan saya untuk diutus atas nama diri dan atas nama sekolah, ke sekolah lama saya sepanjang tahun 2011. Saya tidak pernah merasa bersalah untuk menjadi "Konsul" sekolah lama di sebelah sini (sekolah baru); dan saya juga merasa tidak pernah bersalah untuk menjadi yang sama dan sebaliknya, sepanjang 2007 hingga 2010.

Merentet kalimah "Konsul", makna dan peranannya amat besar dalam hubungan. Konsul adalah wakil. Konsul berfungsi mempromosi dan memberitahu hal sebenar  sebarang perkara yang umum dan boleh diketahui tentang kawasan perwakilannya kepada kawasan yang diwakilinya, dan sebaliknya. Konsul juga bertindak sebagai wahana dalam mengekalkan hubungan dua hala dan hubungan pelbagai hala.

Keduanya, saya juga berterima kasih kepada sekolah lama saya kerana mengizinkan saya berada di sebelah sana sepanjang 2007 hingga 2010. Terima kasih juga kepada sekolah sebelah sana sekali lagi, kerana membenarkan saya masuk dan melawat sana sama ada secara dirancang mahupun secara mengejut. Saya masih ingat bahawa sepanjang 2011, saya mengunjungi sebelah sana 4 kali. Sekali, ketika meraikan Tuan Pengetua yang bertukar keluar pada Mac; 2 kali ketika berurusan mengenai hal ehwal kokurikulum pada September dan Oktober; dan sekali lagi ketika Sidang Bahasa Arab pada Oktober.

Saudara saudari,

Sebagai wakil sekolah lama di sekolah baru, saya telah cuba meyakinkan warga sekolah saya terhadap sekolah sebelah sana dan kecemerlangannya. Saya juga telah cuba melayan warga sana yang diutuskan dan juga mengunjungi sekolah saya dengan sebaik mungkin sepanjang 2011. Saya berterima kasih kepada warga sebelah sana yang menziarahi sekolah sebelah sini kerana sudi menerima layanan baik saya sepanjang 2011. Saya hanya mampu melayan warga sebelah sana yang ke sebelah sini sebaik mungkin dan setelah diberitahu, biasanya. Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak pernah memaki semua utusan dan pelawat dari sana yang diutus dan melawat sini.

Kepada warga sebelah sini, jangan risau jua, kerana sebagai warga sekolah sini, saya telah meyakinkan warga sana, sebaik mungkin, mengenai kita di sebelah sini dan keunggulannya.

Cuma yang saya kecewa ialah ketika menerima maklumbalas daripada utusan sekolah saya mengenai berita itu. Ya, saya tidak menafikan bahawa utusan-utusan dan pelawat-pelawat dari sekolah saya pernah dilayan dengan baik. Tetapi, asal saudara saudari tahu sahaja, saya pantang menerima laporan bahawa mereka ini (termasuk saya sendiri sebab saya juga utusan dan pelawat) dimaki, dilayan buruk dan tidak dihormati seperti yang sepatutnya.

Sekali lagi, saya tidak mahu hubungan dua hala terjejas. Kita bukan seteru ketat juga musuh tradisi. Cuma, satu sahajalah permintaan saya, saya hanya minta semua utusan dan pelawat dari sekolah saya dilayan baik. Sabda Rasulullah SAW, [من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم جاره ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه]; "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka muliakanlah jiran; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka muliakanlah tetamu." Bayangkan kita sebagai tetamu tidak dilayan baik oleh tuan rumah. Pasti kita kecewa kepada tuan rumah tersebut, walaupun pada hakikatnya kita (saya sendiri pun) tidaklah meminta sangat agar saya dilayan baik dan mulia macam seorang Senator, Wakil Rakyat, Profesor Adjung dan sebagainya.

Ingat, kita tidak bermusuh. Kita sahabat dan jiran. Mari, kata Allah, [واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا]; "Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan jangan berpecah-belah." Surah Ali Imran, ayat 103. Kata Allah lagi, [إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم واتقوا الله لعلكم تفلحون]; "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara. Maka, damaikanlah antara dua saudara kamu itu dan bertaqwalah kepada Allah. Semoga kamu berjaya." Surah al-Hujurat, ayat 10.

Saya minta maaf sekiranya tulisan ini ada berlaku rasa tidak puas hati antara kedua belah pihak. Saya hanya berkongsi rasa. Saya sudah lama mahu meluahkan tetapi baru sekarang masanya ada, walaupun hanya secara surat terbuka.

Wallahu a'lam wassalam.

Comments