Wednesday, 21 March 2012

Perutusan Selepas Menerima Keputusan SPM 2011

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Yang Berhormat, Yang Berbahagia dan Yang Berusaha Datuk-Datuk,
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian.

Alhamdulillah, dengan izin dan rahmatNya, kita masih dihidupkan di atas dunia. Dengan izinNya jua, hari ini, kita dilimpahi rezeki dan kurniaanNya yang tidak terhingga.

Keputusan SPM 2011

Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan saya sehingga saya memperoleh 7A 3B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, hari ini.

Saya tetap redha di kala saya tidak berjaya mencapai sasaran dalam beberapa matapelajaran. Saya juga tetap redha di kala saya bukanlah yang terbaik dari kalangan yang terbaik (the best among the best), tetapi, saya bersyukur, Alhamdulillah, kerana saya sudah lakukan yang terbaik untuk diri saya, seperti yang saya kata kepada Pengetua, Pn. Jaimis Saiman, kelmarin, "Yang penting, saya sudah buat yang terbaik dan saya redha dengan segala keputusan yang akan saya terima nanti."

Kepada guru-guru subjek yang saya tidak berjaya mencapai jangkaan, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana merendahkan atau mungkin juga merosakkan reputasi dan visi subjek-subjek ini di sekolah. Bukan diri kalian yang salah. Saya yang salah kerana saya tidak berjaya untuk berusaha seperti yang guru-guru subjek-subjek ini harapkan. Bagaimanapun, yakinlah bahawa saya sudah lakukan yang terbaik untuk diri saya dan sekolah. Kepada guru-guru subjek-subjek lain yang saya telah capai jangkaannya, saya hari ini telah buktikan bahawa saya telah lakukan yang terbaik.

Penghargaan


Buat ayahbonda, keluarga dan sanak saudara, saya amat menghargai nasihat, sokongan dan dorongan yang diberikan sepanjang hidup saya. Semua itu memungkinkan saya meneruskan kehidupan kerana kalianlah orang-orang yang terpenting dalam hidup saya. Semoga Allah membalas jasa kalian semuanya. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih.

Kepada semua guru, saya merakamkan setinggi terima kasih (tidak terhingga) atas didikan, nasihat, ilmu, dorongan dan segalanya yang membolehkan saya berada dalam keadaan kejayaan yang selesa, mampu diterima dan disyukuri seadanya. Saya mohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan sepanjang saya berguru dengan guru-guru sekalian.

Saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kecemerlangan saya, dan yang mengucapkan tahniah kepada saya termasuklah YB Pembantu Menteri Negeri Sabah, Datuk Jainab Ahmad; YB ADUN Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abdul Aziz; pengetua-pengetua, Ketua 1 Ikatan Penulis Sabah, En. Sukor Usin (Ayahanda Hasyuda Abadi) dan lain-lain.

Prestasi Sekolah


Alhamdulillah, saya bersyukur kerana prestasi sekolah melonjak naik. Sekolah saya mencatatkan Gred Purata Sekolah dalam SPM 2011 sebanyak 3.76 berbanding 4.07 pada tahun 2010. Saya bersyukur, dan saya bersyukur.

Saya juga bersyukur apabila mendengar berita bahawa sahabat-sahabat saya berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada saudari Nur Qhairunnisa Jeperih kerana menjadi Pelajar Terbaik SPM 2011 di sekolah kita, SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK), dengan mendapat 9A 1B. Tahniah juga buat sahabat-sahabat yang memperoleh keputusan 8A, iaitu saudara Mohd. Shafiq Hasbollah, saudari Siti Nadhirah Hj. Berzanji dan saudari Dayang Nurul Fhatin Sulaiman; dan yang memperoleh 7A, termasuklah saudara Muhammad Farhan Samsuri, saudari Dayang Noor Hidayah Ahmad, saudara Mohd. Azim Mohd. Zahari, saudara Mohd. Rashdan Moktar dan saudara Mohd. Izharuddin Mohamad.

Mesej Diplomasi


Tahniah juga saya ucapkan kepada SMKA Tun Ahmadshah yang telah melahirkan dua orang pelajar 9A dalam SPM, iaitu saudari Nurmadihah Mardhiah Mohd. Zulkifli dan saudari Nur Hafizah Salamin. Tahniah juga saya ucapkan kepada mereka.

Tahniah juga saya ucapkan kepada SMKA Tun Ahmad Zaidi yang mencatatkan Gred Purata Sekolah sebanyak 3.10 dan melahirkan 5 orang pelajar 11A dan 5 orang pelajar 10A pada SPM kali ini.

Kepada orang dan sekolah yang lain yang berjaya mendapat keputusan yang membanggakan, sekalung tahniah jua saya ucapkan. Kepada yang kurang berjaya, gagal sekali bukannya kegagalan abadi. Hari ini biarlah rasa teruji kerana besok, InsyaAllah, Allah masih mengizinkan kita senyum lagi, kalau bukan di dunia, di alam ukhrawi  nanti.

--- Bahasa Inggeris ---


Victory Declaration


By the Name and the Grace of God, I did the best for myself and my school. Then, I announce and declare my victory in my contest in SPM 2011 examination by getting 7As and 3Bs.


Commemorating all the Congratulatory Messages


To all who congratulate me today for my good result, I proclaimed that I'm honoured to receive all congratulatory messages. I thank you all including Hon. Asst. Minister of State (MLA of Karambunai) and Hon. MLA of Gemencheh.


I wish you'll pray for my success for my admission in Teachers' College, then.


--- Bahasa Melayu ---


Terima Kasih


Saya berhasrat, selepas ini, untuk masuk ke Institut Pendidikan Guru. Saya berterima kasih kepada semua yang sudi berdoa, memberi sokongan dan dorongan sehinggalah saya berjaya melangkah ke tangga kejayaan yang seterusnya. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih.

Saya juga mahu berterima kasih kepada seorang sahabat saya yang baru sahaja menghantar pesanan ringkas (SMS) baru jam 2 petang tadi. Saya terharu untuk menerima ucapan cinta kamu kerana Allah dan saya bersyukur kerana dan untuk mencintaimu, sahabat, keranaNya jua. Saya doakan mudah-mudahan kita bertemu lagi dan kita diizikanNya untuk saling berkasih sayang keranaNya.

Pesanan


Akhir kalam, kejayaan dunia hanyalah di atas dunia. Allah menuntut kita untuk menyambung kejayaan hingga ke hari akhirat. Oleh sebab hari ini kita merasa kita sudah berjaya, maka marilah kita merakamkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Tanpa izin dan rahmatNya, mana mungkin kejayaan dapat tercipta walaupun kita sudah berusaha. Jangan cemburu dengan orang lain yang lebih berjaya daripada kita, kelak kita akan timbul rasa benci sesama kita. Akan tetapi, bersyukurlah, pandanglah orang lain yang lebih bawah daripada kita supaya kita bersyukur betapa besarnya nikmat dan rezeki yang Allah berikan kepada kita.

Kepada calon-calon SPM 2012, selamat berjuang hingga ke titisan dakwat pena yang terakhir. Saya berdoa semoga orang yang seterusnya berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang. Kepada yang lain, saya doakan semoga Allah menyayangi kalian semua.

Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Wassalam.

Salam hormat,
Awang Abdul Muizz bin Awang Marusin
21 Mac 2012

2 comments: