MTQSS dan FKI Daerah Tuaran 2012

Siaran arkib mengenai MTQSS Daerah Tuaran 2012 dan FKI Daerah Tuaran 2012 disatukan dalam satu siaran kerana kedua-dua program berlaku pada 2 hari yang sama di tempat-tempat yang berbeza di daerah yang sama.

MTQSS Daerah Tuaran 2012

Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-sekolah (MTQSS) Daerah Tuaran telah diadakan pada 22-23 Mac 2012 di merata tempat, iaitu di SK Pekan Tuaran, SKPK Tuaran, Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran, PKG Daerah Tuaran dan SMK Badin. Majlis dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Puan Tah Nia Jaman. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengetua SMK Sungai Damit, Tuan Hj. Kusdi Ribut, yang juga Pengerusi Pengelola Majlis.

Sebanyak 5 acara dipertandingkan termasuklah acara Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Nasyid, Syarahan Agama dan Bercerita Kisah al-Quran. Adik saya, Dayang Nur Nashrah, mewakili SMK Badin dalam acara Hafazan al-Quran (SM-P). Adik saya menang johan. Alhamdulillah. Beliau akan mewakili daerah Tuaran dalam MTQSS Bahagian Barat Sabah pada 7 April di SMKAKK.

FKI Daerah Tuaran 2012


Festival Kesenian Islam (FKI) Daerah Tuaran telah diadakan pada 2 hari yang sama di Masjid an-Nur, Tuaran, dan IPG Kampus Kent, Tuaran. Festival dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hj. Hajiji Hj. Noor.

Antara acara yang dipertandingkan termasuklah Tilawah al-Quran, Marhaban dan Nasyid (Tradisi dan Moden). Tilawah al-Quran dan Marhaban diadakan di Masjid an-Nur pada 22 Mac, manakala Nasyid diadakan di Dewan Tun Mustapha, IPG Kampus Kent pada 23 Mac, bersekali dengan acara perasmian.

Acara Marhaban dimenangi oleh kumpulan ar-Raudhah dari Kg. Serusup. Acara Tilawah al-Quran dimenangi oleh Ust. Mohd. Raffe Ghalil Abbas (wakil Kg. Kauluan, Tamparuli) dan Pn. Dayang Noorziah Nordin (wakil Kg. Tajau); manakala acara Nasyid dimenangi oleh kumpulan Muhammad (nasyid tradisi, wakil Kg. Kota) dan kumpulan Fitri (nasyid moden, wakil Perumahan Laya-Laya).

Kesemua hadiah disampaikan oleh Datuk Hajiji. Turut hadir dalam perasmian ialah Pegawai JHEAINS Daerah Tamparuli, Ust. Suffian Kundu (mewakili Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim); Penolong-penolong Pegawai Daerah Tuaran; Setiausaha Politik Datuk Hajiji, En. Abdul Kassim Razali; dan Pegawai Pelajaran Daerah Tuaran, Puan Tah Nia Jaman.

Comments